Tiada siapa percaya MCA sanggup tolak jawatan kerajaan, kata Guan Eng
KUALA LUMPUR, 4 Mei – Lim Guan Eng mendakwa MCA berbohong sambil menegaskan tiada siapa yang percaya komponen Barisan Nasional (BN) itu akan berada di luar kerajaan jika sokongan pengundia Cina kepadanya merosot pada pilihan raya umum akan datang.
Setiausaha Agung DAP (gambar) itu berkata sejarah telah menunjukkan bahawa pemimpin-pemimpin Cina dalam BN tidak dapat ‘mengelak’ diri mereka daripada keistimewaan dan ganjaran yang dinikmati hasil pemegangan kuasa.
Sehubungan itu, Lim menekanakn langkah Datuk Lee Kee Shin dari SUPP yang mengangkat sumpah sebagai pembantu menteri pembangunan insfrastruktur Sarawak semalam sebagai contoh klasik ugutan kosong digunakan untuk menakut-nakutkan pengundi Cina dan jika tidak, ia tidak akan ada perwakilan masyarakat Cina dalam kerajaan.
“Tiada siapa yang akan percaya bahawa MCA akan menunaikan kata duanya untuk menolak jawatan atau kedudukan jika pengundi (Cina) sekali lagi menolak MCA dalam pilihan raya umum.
“Lagi pun jika pengundi sudah menolak BN, mengapa tidak MCA keluar (sahaja) dari BN? Sama ada MCA menang besar atau kalah teruk dalam pilihan raya umum, MCA akan terus diberi empat jawatan menteri,” kata Lim dalam satu kenyataan.
Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, BN lazimnya menggunakan strategi yang sama sebelum pilihan raya untuk “beralih daripada DAP.”
Beliau menamakan ketua SUPP Sibu Datuk Wong Soon Koh dan Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon antara mereka yang pernah membuat janji pilihan raya untuk berada di luar tampuk kuasa tetapi secara senyap-senyap menerima jawatan kerajaan meskipun telah kalah dalam pilihan raya.
Koh dilantik sebagai senator dengan diberikan jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Wong pula disebut-sebut akan dilantik sebagai timbalan ketua menteri Sarawak.
Lim juga mengkritik Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kerana memberi ruang kepada Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk merasiskan keputuskan pilihan raya negeri Sarawak daripada melihatnya sebagai seruan demokratik untuk perubahan.
“Untuk mengesahkan lagi, perjuangan MCA bukan mengenai prinsip tetapi bagi jawatan, bukan berjuang untuk rakyat tetapi bagi jawatan,” kata Lim lagi.
Sabtu lalu, Najib berkata kaum Cina perlu membuat pilihan sama ada untuk memilih MCA pada pilihan raya umum ke-13 atau kehilangan wakil dalam Kabinet pusat dan negeri.
Kata Najib, masyarakat Cina telah diberikan mesej yang jelas dalam isu tersebut.
“Pengundi kaum Cina telah diberi mesej jelas berhubung perkara itu,” kata beliau.
Najib yang juga Pengerusi BN berkata beliau melihat MCA mahu memberi satu mesej kepada pengundi keturunan Cina bahawa mereka tidak boleh menyokong pembangkang dan dalam masa yang sama mahu penyertaan kuat dalam kerajaan.
Sehari sebelum itu, MCA, komponen kedua terbesar dalam BN, mengumumkan pendirian tidak akan menerima sebarang jawatan peringkat pusat dan negeri jika calonnya gagal mencapai keputusan terbaik pada pilihan raya umum ke-13.
Dr Chua Lek berkata, penolakan jawatan tersebut turut melibatkan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Ketua Kampung serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.
‘‘Keputusan yang diambil hari ini hanyalah (bermakna) kita tidak akan menerima apa-apa jawatan di peringkat Kabinet dan negeri, bagaimanapun MCA masih tetap kekal sebagai parti komponen BN.
‘‘MCA akan terus duduk dan menyokong BN kerana kita masih yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib khususnya dalam program transformasi ekonomi dan negara,” kata beliau.
‘‘Kami yakin kewibawaan Perdana Menteri selaku pemimpin masyarakat majmuk untuk mencapai gagasan 1 Malaysia,” katanya.
Dr Chua berkata, keputusan yang diambil itu secara tidak langsung akan menyuntik semangat kepada seluruh ahli MCA untuk menggandakan usaha bagi meningkatkan sokongan masyarakat Cina menjelang pilihan raya umum ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa.
Pada 8 Mac 2008, MCA memenangi 15 daripada 40 kerusi Parlimen dan 31 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi parti terbabit.
No comments:
Post a Comment