Sunday, May 29, 2011

Melayu Pulau Pinang miskin sejak zaman BN lagi

KULIM, 29 Mei: Fakta dan kedudukan sebenar mengenai orang Melayu di Pulau Pinang tidak boleh dipolitikkan kerana sememangnya orang Melayu adalah yang termiskin di negeri itu.

Namun begitu, ianya bukan masalah baru sejak diterajui oleh Pakatan Rakyat di Pulau Pinang pada tahun 2008 yang lalu kerana telah berlarutan semasa BN menerajui kepimpinan negeri lagi.


Walau bagaimana pun sebagai sebuah kerajaan negeri yang memerintah, pelbagai usaha dilakukan bagi membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat Melayu.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Ng Wei Aik
(gambar) berkata demikian ketika berucap dalam majlis ceramah sempena makan malam anjuran PKR Cabang Kulim-Bandar Baharu malam tadi.

"Usaha bagi mengurangkan jumlah miskin tegar dilakukan oleh kerajaan negeri dengan mengunjurkan tambahan pendapatan supaya mereka yang berada dalam kategori ini mendapat pendapatan bulanan dari RM400 kepada RM500.


"Dalam tempoh setahun pembasmian ini telah berjaya dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Pada tahun 2010 yang lalu sebanyak RM3.6 juta telah diperuntukkan bagi program ini," ujarnya lagi.


Malah katanya, DAP tidak pernah mengamalkan sikap melampau atau cauvanis sepertimana yang didakwa oleh BN dan konco-konconya.


"Sempena cuti sekolah pada bulan Mei ini, DAP kawasan Komtar yang diterajui oleh saya sebagai wakli rakyatnya, turut menganjurkan majlis berkhatan beramai-ramai.


"Ini membuktikan bahawa persepsi yang cuba dibawa oleh Umno dan BN bagi menjebak kita sebagai parti perkauman dan rasis adalah menyimpang dan tidak benar sama sekali," tambahnya lagi.


Beliau juga berkata, segala tohmahan dan serangan oleh Umno dan BN sebagai petanda bahawa pilihan raya umum ke-13 semakin hampir.


Tindakan terdesak BN ini juga, katanya akan diteruskan selagi mereka tidak berjaya merampas kembali kedudukan kerusi yang telah hilang dalam pilihan raya 2008 yang lalu.

No comments:

Post a Comment