Tuesday, May 17, 2011

Pemuda UMNO nak raih publisiti



KUALA LUMPUR 18 MEI : Tindakan Pemuda Umno meminta kerajaan untuk tidak menaikkan harga petrol RON95 boleh ditafsirkan melalui dua sudut pandang yang berbeza, kata Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin.

Pertamanya tentu sekali ia bersifat serius memandangkan gesaan berterusan Ketua Pemuda Umno itu di laman sosial milik beliau yang mungkin akan menjadi usul utama Mesyuarat Agong Pemuda Umno Malaysia kali ini.

Namun yang keduanya, tindakan berkenaan boleh diibaratkan seperti seekor kucing mendesak kawannya yang juga kucing untuk jangan memakan ikan, kata Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard dalam satu kenyataan media.

Walaupun katanya SAMM menyambut baik gesaan Pemuda Umno itu namun khuatir jika ia hanya sandiwara semata untuk meraih populariti menjelang pilihan raya umum.

“Memahami pemuda Umno sebagai sebuah organisasi politik yang bertanding dalam pilihan raya mungkin saja tindakan ini ekoran untuk meraih populariti kerana mereka sedar kemarahan rakyat kepada parti penguasa yang amat tinggi ekoran siri kenaikan harga yang seolah tidak mampu dikawal regim.

“Namun itu urusan mereka, bagi SAMM selaku organisasi yang cuba menjadi organisasi massa muda sudah tentu turut bersama desakan tersebut bukan sahaja tidak menaikkan tetapi menurunkan semula harga minyak dengan penstrukturan semula subsidi negara dengan mengurangkan bantuan korporat,” katanya.

Malah Chegu Bard juga turut menyindir tindakan ahli-ahli parlimen BN termasuk pemuda Umno yang menyokong kenaikan harga bahan bakar sebelum ini.

“Masalah sebenar negara ialah bukan harga pasaran dunia, selaku pengeluar minyak yang nilai kegunaan domestik masih jauh kurang dari yang dieksport maka sudah tentu kenaikan harga petroleum dunia boleh menjadi rahmat.

“Masalah utamanya ialah pembaziran dalam pengurusan, ketirisan, rasuah, salah guna kuasa dan pengaliran wang haram yang didalangi oleh mereka yang rapat dengan regim merupakan punca sebenar negara hilang daya saing dan daya mampan untuk menjaga kepentingan rakyat seperti mengawal harga bahan bakar,” katanya.

Tambahnya SAMM memandang serius kenaikan harga bahan bakar yang begitu membebankan pengguna.

“SAMM juga tidak menolak ini mungkin saja propaganda menjelang pilihan raya umum Menteri akan mengumumkan di mana kononnya harga minyak akan dinaikkan tetapi oleh kerana desakan pemuda Umno maka harga minyak kekal.

“Lebih malang lagi seperti biasa selepas pilihan raya harga naik mendadak pula,” katanya.

No comments:

Post a Comment