Thursday, May 19, 2011

RON 95 bakal dimansuhkan selepas BN menang PRU 13 ?


BN akan mansuhkan Ron95?

JITRA – PKR mendakwa Kerajaan Pusat bawah Barisan Nasional (BN) akan memansuhkan penggunaan minyak petrol RON95 dan menggantikannya dengan RON97 sekiranya menang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Naib Presiden PKR, Tian Chua mendakwa, perkara sama pernah dibuat Kerajaan Pusat sebelum ini sewaktu rakyat negara ini menggunakan dua jenis minyak petrol iaitu jenis RON92 dan Superb sebelum RON92 dimansuhkan untuk digantikan dengan RON95.

Menurutnya, kenaikan harga RON97 yang dibuat secara berperingkat sebelum ini seharusnya dijadikan petanda bahawa Kerajaan Pusat kini sedang merancang mewujudkan jenis minyak petrol baru bagi menggantikan RON97 setelah mendakwa tidak menampung bebanan tanggungan subsidi bahan bakar itu yang semakin tinggi.

“Jika sebelum ini, pengguna minyak petrol didedahkan dengan jenis RON92 dan jenis Superb di mana harga RON92 tidak pernah diselaraskan sebelum pemansuhan dibuat, sebaliknya harga jenis Superb yang mengalami beberapa kali kenaikan harga.

“Berdasarkan tren Kerajaan Pusat sedia ada, saya yakin BN tidak akan menaikkan harga minyak petrol RON95 buat masa ini untuk mengekalkan sokongan rakyat. Bagaimanapun, jangan terkejut apabila RON95 akan dimansuhkan dan digantikan dengan RON97 selepas mereka menang PRU ke-13 nanti,” katanya sewaktu menyampaikan ceramah di Markas Pas Kubang Pasu Padang Tok Kesop.

Beliau berkata sedemikian ketika mengulas keputusan Kerajaan Pusat akan mengkaji semula semua harga produk petroleum termasuk petrol RON95 bulan depan bagi menentukan harga sedia ada akan kekal atau sebaliknya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kajian semula oleh kementerian itu bersama-sama agensi lain seperti Kementerian Kewangan dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) akan menentukan sama ada harga sedia ada kekal atau dinaikkan berdasarkan tanggungan subsidi kerajaan.

Tian Chua berkata, dari segi perbandingan kualiti penggunaan RON92 dan RON97 tidak jauh beza kerana bukan semua jenis kenderaan boleh menggunakan minyak jenis itu, terutamanya kenderaan model baru dan berprestasi tinggi.

Menurutnya, Kerajaan Pusat seharusnya meneliti semula penyaluran subsidi kepada syarikat-syarikat pengeluar tenaga persendirian (IPP) di negara ini dan memindahkan sebahagian besar peruntukan itu untuk menampung pembiayaan subsidi bahan bakar yang semakin meningkat naik.

“Kerajaan Pusat perlu memikirkan bagaimana untuk mengurangkan bebanan rakyat berikutan kenaikan harga barang yang semakin meruncing dan sebarang keputusan menaikkan harga bahan bakar tidak relevan buat masa ini,” katanya.

Sementara itu, Tian Chua menggesa semua parti politik tidak menjadikan agama sebagai alat untuk mendapat kepentingan politik masing-masing.

Menurutnya, PKR sebulat suara bersetuju menerima agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan bersedia mempertahankan sebarang usaha untuk menukarkan kepentingan agama itu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan negara.

SH

No comments:

Post a Comment