Sunday, May 22, 2011

UMNO ketagih 'candu' keuntungan

BN Ketagih 'Candu' Keuntungan -Rafizi Ramli


SHAH ALAM : Golongan buruh dan pekerja hari ini tertindas kerana kerajaan Umno Barisan Nasional mengalami ketagihan 'candu' keuntungan hasil manipulasi terhadap golongan pekerja bagi memastikan mereka kekal hidup mewah dan senang-lenang.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli berkata, bukan sahaja membiarkan kebajikan pekerja terbiar malah masalah yang berkaitan dengan pekerja juga sering disembunyikan kerajaan Umno-Barisan Nasional.

"Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini melabel rakyat ketagih 'candu' subsidi, tetapi yang sebenarnya berlaku ialah golongan kroni Umno-BN inilah yang ketagihan 'candu' keuntungan berlebihan dengan cara menekan golongan pekerja,"katanya pada Kongres Buruh Berlandaskan Buku Jingga, di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, Shah Alam, di sini hari ini.

Mengulas lebih lanjut hal ini, Rafizi berkata kerajaan Umno-BN juga mengambil pendekatan lepas tangan apabila menganggap masalah pekerja bukanlah masalah kerajaan, tetapi adalah masalah pekerja semata-mata.

Sambil merujuk kepada sejarah, Rafizi menjelaskan masalah pekerja di Malaysia bermula sewaktu pemerintahan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang mementingkan golongan pemodal semata-mata.

"Tun Mahathir mengambil pendekatan ini untuk melemahkan pekerja dengan memastikan golongan yang kaya ini mendapat keuntungan yang lebih, bagi mereka yang penting adalah pemilikan ekuiti.

"Langkah-langkah BN yang mahu menarik pelabur menyebabkan mereka memberi jaminan dan meyakinkan pelabur bahawa gaji pekerja akan kekal rendah," kata Rafizi.

Menurut Rafizi, tahap kenaikan gaji di Malaysia juga jauh lebih rendah berbanding dengan negara-negara lain di Asia.

Justeru itu, Pakatan Rakyat berbekalkan kerangka ekonomi yang berteraskan konsep kesamarataan seperti yang termaktub dalam Buku Jingga, menjamin nasib rakyat akan lebih terbela sekaligus menamatkan episod keutamaan ekonomi kepada pemilik ekuiti semata-mata seperti yang dilaksanakan oleh Umno-BN.

Tambahnya lagi, di bawah inisiatif Buku Jingga, kerajaan Pakatan Rakyat akan melaksanakan dasar gaji minima yang ditagih golongan pekerja sejak sekian lama bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

"Itu yang berbeza antara kerangka ekonomi Pakatan Rakyat menerusi buku jingga dengan kerangka ekonomi yang menekan oleh Barisan Nasional.

"Jaminan kita dalam Buku Jingga pada masa 5 tahun di Putrajaya, (melalui polisi gaji minima) purata pendapatan isi rumah adalah RM4,000 sebulan. Kita bukan target pemilikan ekuiti 30 peratus yang cuma 10 orang Melayu dapat," kata Rafizi.

Inisiatif kedua yang akan dilakukan Pakatan Rakyat adalah merapatkan jurang gaji di antara eksekutif yang mengisi jawatan tinggi dengan golongan pekerja.

Kayu ukur yang digunakan menurut Rafizi, dikenali sebagai 'pekali gaji'. Mengambil contoh di Eropah, pekali gaji yang ideal adalah lima kali sahaja, kata Rafizi.

Tetapi di Malaysia, mengambil contoh gaji Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang dibayar RM425 ribu sebulan dan gaji seorang tukang paip Syabas yang hanya dibayar beberapa ratus sahaja, jurangnya adalah beratus-ratus kali ganda, kata Rafizi.

Justeru, usaha merapatkan jurang ini akan menjadi agenda utama Pakatan Rakyat apabila mereka mengambil alih pemerintahan negara daripada Umno BN kelak, kata Rafizi.

Forum ‘Buruh Mengikut Pandangan Buku Jingga’ ini, antara lain dibarisi panelis Mantan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud, Ahli Jawatankusa PAS Pusat, Mohamad Sabu dan Pengasas Zentrum Future Studies, Prof Dr.Abu Hassan Hasbullah.

Sekurang-kurangnya 2,000 peserta hadir dengan baju serba jingga memenuhi ruang dewan.

No comments:

Post a Comment