Friday, June 17, 2011

Ahli Parlimen BN turut bantah Lynas, hanya UMNO pertahan loji bahaya ini



KUALA LUMPUR 18 JUN : Beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) akan menyertai kempen menentang loji pemprosesan nadir bumi Lynas yang semakin meningkat, dengan harapan sokongan mereka akan menghalang pembinaan tapak nuklear yang kekal, lapor portal The Malaysian Insider.

Setakat ini, kempen terhadap loji bernilai RM700 juta itu di Gebeng dekat Pahang diketuai oleh Naib Presiden PKR Fuziah Salleh, dengan sokongan beberapa kumpulan tempatan dan juga dari Australia ekoran kebimbangan mengenai bahaya daripada sisa buangan yang kemungkinan berpunca daripada kerja-kerja pemprosesan nadir bumi.

“Loji itu sekarang mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen BN, untuk menentang (pembinaan) loji nuklear.

“Ia seharusnya satu pendekatan bersifat dwipartisan, (tetapi) ia (kini) menjangkaui kesetiaan politik,” kata satu sumber Barisan Nasional (BN) kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di Parlimen awal minggu ini.

Sumber itu menambah sudah ada kebimbangan yang semakin meningkat dalam BN mengenai faktor-faktor risiko, yang dikatakan adalah besar jika sebuah loji nuklear kekal diteruskan sebagaimana telah dirancang.

“Ini mengenai soal keselamatan penduduk Kuantan. Kita tidak tahu sejauhmana selamatnya loji itu. Lebih baik tidak meneruskan (projek itu).

“Juga ada kebimbangan kesan balas, BN akan menerima kesan dan implikasinya mungkin sangat buruk,” kata satu lagi sumber.

Bagaimanapun sokongan menentang projek itu suram kerana ketika satu taklimat di Parlimen kelmarin tidak kelihatan wakil rakyat BN menghadiri sesi tersebut.

Projek itu kini dihentikan ekoran kerja-kerja pemeriksaan oleh sebuah pasukan pakar antarabangsa.

Kerajaan mengarahkan kajian semula ke atas projek itu, yang sebelum ini dirancang akan memulakan operasi pada suku ketiga tahun ini, ekoran tekanan orang ramai.

Penduduk tempatan dan aktivis alam sekitar menentang loji pemprosesan itu ekoran kebimbangan mengenai pencemaran radiasi.

Bagaimanapun Lynas mempertahankan loji mereka selamat dan yakin operasinya akan dimulakan sebagaimana telah dirancang.

No comments:

Post a Comment