DUNGUN - Kenaikan harga beberapa barang keperluan asas seperti sayur-sayuran, ayam, gula dan minyak masak secara mendadak bukan sahaja membebankan pengguna, sebaliknya peniaga turut merasai tempiasnya.
Bagi mereka, biarpun pelbagai alasan diberikan kerajaan, namun sebagai rakyat biasa, kesannya pasti dirasai.
Penjual makanan, Azimah Mamat, 44, berkata, sejak menjalankan perniagaan menjual nasi campur lebih 10 tahun lalu, inilah kali pertama harga barang naik secara mendadak sehingga berkali ganda.
Azimah berkata, akibat kenaikan harga bahan mentah, dia terpaksa menaikkan harga jualan kerana tidak dapat menanggung kos pengeluaran yang begitu tinggi.
“Jika dahulu cili besar harganya hanya RM4.50 sekilogram, kini sudah mencecah RM12 sekilogram, bayangkan harganya naik lebih sekali ganda.
“Sebagai mata pencarian utama, kita tiada pilihan, terpaksa menaikkan harga jualan biarpun kadangkala mendapat rungutan daripada pengguna, jika tidak kita rugi,” katanya.
Penjual nasi kerabu, Norhafiza Mohd, 21, berkata, dia tiada pilihan biarpun kadangkala merasakan sesuatu tidak patut untuk meletakkan kos pengelua-ran tersebut kepada pengguna.
“Kadangkala saya kasihan kepada pelanggan terutama pelajar kerana mereka mendapat duit poket dari ibu bapa,
“Dahulu, kita boleh jual sebungkus nasi dengan harga RM3.50, tetapi apabila harga ayam naik, harga beras naik, harga minyak, kelapa, cili dan sayur-sayu-ran naik, takkan kita nak jual harga lama, rugilah, kalu rugi baik tak payah niaga,” katanya.
Pengunjung pasar malam, Norizati Mokhtar, 21, berkata, sebagai pengguna dia terpaksa akur dengan harga yang ditetapkan peniaga.
Namun, dia menyarankan agar pengguna lebih bijak membuat pilihan dan keputusan sama ada membeli makanan di kedai atau masak sendiri.
“Jika pelajar seperti saya, beli di kedai lebih praktikal kerana kesuntukan masa, tetapi kita kenalah cari tempat yang murah.
“Bagi yang sudah berkeluarga dan memiliki anak ramai pula, kena masak di rumahlah untuk menjimatkan kos,” katanya. - SH
No comments:
Post a Comment