Sunday, June 26, 2011

Kekal 4, ambil semula 1, tawan 6


KUALA LUMPUR 26 JUN : Pakatan Rakyat meletakkan sasaran untuk menguasai 11 negeri pada pilihan raya umum ke-13, iaitu tambahan enam lagi daripada yang dimenangi gagasan itu pada PRU-12 yang lalu.

Menurut penasihat DAP, Lim Kit Siang, selain mempertahankan negeri-negeri yang berjaya diperintah seperti Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan, parti itu juga berhasrat untuk menawan kembali Perak Darul Ridzuan.

Manakala lima yang lain ialah Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Johor, Terengganu dan Perlis daripada tangan Barisan Nasional (BN).

“Pakatan Rakyat ada tiga sasaran di peringkat negeri dalam pilihan raya umum akan datang.

“Pilihan raya umum ke-13 akan menjadi pertempuran abad ini memandangkan sasarannya bukan sahaja 11 negeri di Semenanjung, tetapi juga kuasa persekutuan di Putrajaya,” kata Kit Siang pada satu majlis di Teluk Intan, Perak malam tadi.

Teks ucapannya diedarkan kepada media pagi ini.

Semalam Najib ketika merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Selayang mengingatkan ahlinya bahawa dalam sesebuah pilihan raya tiada istilah naib johan atau tempat kedua.

"Dalam pertandingan biasa, naib johan masih ada hadiah, tetapi dalam politik, kita akan terima padah. Kita sudah tahu nasib menjadi parti yang kalah, bagaimana pahitnya bila kalah. Maruah, imej semua terjejas dan kita perlu sentiasa muhasabah diri.

"Kita perlu sedar, sejarah silam kegemilangan parti bukan jaminan untuk kekalkan kekuasaan. Semuanya berlaku kerana perubahan landskap politik serta pemikiran masyarakat yang sudah berubah, berbanding sebelumnya," kata Najib.

Malah terdahulu, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, Najib menggesa seluruh kepimpinannya untuk menjadikan pilihan raya negeri Sarawak sebagai panduan dan iktibar menjelang pilihan raya umum berdasarkan post mortem yang dibuat.

Mengulas hal itu, Kit Siang yang dihubungi Tv Selangor berkata, barisan kepimpinan Najib nampaknya semakin lemah dan tidak progresif dalam mengatur strategi menghadapi pilihan raya umum kerana lambat bertindak.

" Pilihan raya negeri Sarawak diadakan pada 16 April, ianya sudah berlalu lebih dari dua bulan.Nampaknya kalau Najib kata itu benar (baru habis post mortem), pergerakan mereka sangat perlahan. Mereka sudah hilang dinamik dan nampaknya tidak siap sedia untuk mengatasi masalah-masalah yang boleh dilihat dalam pilihan raya Sarawak,"katanya.

Malah katanya, ingatan keras Najib yang merujuk kepada pilihan raya negeri Sarawak adalah ekoran kegagalan jentera Umno-Barisan Nasional yang turut dilambak
dengan masalah dalaman untuk memberi kemenangan besar kepada parti itu.

" Kalau di Sarawak kita lihat bagaimana kempen raksaksa yang dijalankan oleh BN di mana RM1.2 bilion digunakan untuk projek-projek Sarawak dan diumumkan ketika kempen berlangsung ditambah pula dengan perbelanjaan RM500 juta ringgit untuk kempen itu, namun ia tidak cukup berkesan.

" Walaupun BN berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga tetapi trend ini tidak begitu positif kepada BN untuk menghadapi pilihan raya umum ke 13, ada kemungkinan Pakatan Rakyat boleh menang lebih kerusi,"kata Kit Siang lagi.

Untuk rekod, pada pilihan raya negeri Sarawak, Pakatan menang di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekaligus mengukuhkan kedudukannya di Bumi Kenyalang itu.

No comments:

Post a Comment