Wednesday, June 8, 2011

PANAS : Najib dah jadi liabliliti UMNO, pemimpin UMNO mula berubah sokongan


Perbicaraan mahkamah berhubung kes pembelian kapal selam oleh kerajaan Malaysia yang didakwa mempunyai gejala rasuah bakal berlangsung di Perancis. Sekali lagi, Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Najib Razak dihantui kes pembunuhan Altantuya, yang didakwa berkait rapat dengan pembelian kapal selam dengan bayaran komisen yang tinggi.

Kini, arus inflasi semakin menderas. Model Ekonomi Baru pula sukar menampakkan keberkesanannya. Najib (gambar kiri) berdepan dengan perebutan sumber dalam UMNO. Sayap kanan dalam parti mungkin mengambil kesempatan untuk menekan agar Najib berundur – seandainya Najib gagal memulihkan keadaan, lebih-lebih lagi menjadi liabiliti dalam parti – berikutan skandal yang terpalit pada dirinya.


Untuk Najib, beliau berdepan dengan pelbagai rintangan – dalam pertimbangannya untuk mengumumkan pilihan raya umum awal sebagai strateginya membalas serangan.


Kes pembunuhan Altantuya


Berkali-kali PKR mengaitkan kes pembelian kapal selam dengan kes pembunuhan wanita Mongolia bernama Altantuya Shaariibuu. Ketiga-tiga orang tertuduh, Razak Baginda, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar didakwa mempunyai hubungan dengan Najib. Razak Baginda, adalah think tank untuk Najib; sementara Ketua Inspektor Azilah dan Koperal Sirul didakwa sebagai pengawal Najib.


Najib terpaksa menjawab isu ini setelah diserang bertalu-talu oleh Anwar Ibrahim dalam PRK Ijok pada tahun 2007. Najib mendakwa dirinya tidak mengenali Altantuya, dan Kementerian Pertahanan membuat kenyataan bahawa wang bernilai 114.96 juta Euro (kira-kira RM535.8 juta) yang dibayar kepada syarikat Perimekar Sdn Bhd bukan “komisen”, tetapi kos perkhidmatan koordinasi dan sokongan kepada Pasukan Projek Kapal Selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama enam tahun.


Syarikat Perimekar dimiliki isteri Razak Baginda (gambar kanan).


Selepas empat tahun, kes ini hampir melabuh tirai, dengan Razak Baginda dibebaskan, sementara Azilah dan Sirul dijatuhkan hukuman mati. Kedua-dua tertuduh boleh membuat rayuan, namun perbicaraan belum berlangsung sebagaimana yang diketahui buat setakat ini.


Sebelum Najib mengorak langkahnya untuk menjadi PM, beliau dihujani tuduhan daripada Raja Petra Kamaruddin (RPK) dan penyiasat persendirian Balasubramaniam a/l Perumal, yang membuat akuan bersumpah untuk membabitkan Najib dan isterinya Rosmah Mansor dalam kes Altantuya (gambar kiri).


RPK melarikan diri ke luar negeri, dan tampil di TV3 pada April 2011 – semasa pilihan raya negeri Sarawak – untuk menafikan bahawa dirinya yang membuat tuduhan terhadap Najib dan Rosmah, sebaliknya hanya mendedahkan maklumat yang diterimanya dari sumber.


Bagaimana sekalipun pertikaian selanjutnya tentang “pengakuan” RPK ini, yang penting adalah Najib telah mendakwa bahawa nama dirinya “dibersihkan” lantaran daripada wawancara TV3 tersebut.


Sejauh manakah impak isu ini, yang dibangkitkan semula selepas empat tahun berlalu?


Perbicaraan bakal bermula di Perancis


Pengarah SUARAM, Cynthia Gabriel berkata kepada MerdekaReview, perbicaraan kes pembelian kapal selam ini akan bermula dalam tempoh sebulan dua akan datang mengikut prosedur mahkamah Perancis. Lebih banyak maklumat dalaman yang terperinci bakal didedahkan pada ketika itu.


Cynthia (gambar kanan) menjelaskan bahawa buat masa kini rakyat gagal memperolehi dokumen-dokumen ini daripada kerajaan Malaysia lantaran daripada Akta Rahsia Rasmi (OSA).


Namun, dokumen berkenaan boleh diperolehi daripada Perancis setelah perbicaraan mahkamah bermula, malah hakim boleh memanggil saksi untuk memberi keterangan di mahkamah.


Sebelum ini, Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi mendakwa bahawa dirinya sedia memberi keterangan di mahkamah Perancis seandainya dibenarkan kabinet. Bagaimanapun, Cynthia berkata mahkamah di Perancis tidak boleh mewajibkan kehadiran Menteri Malaysia di mahkamah kerana melibatkan isu kedaulatan negara.


Setakat ini belum diketahui apakah maklumat dalaman yang bakal didedahkan. Namun demikian, PKR baru-baru ini mendakwa bahawa ada “pihak ketiga” yang menemani Razak Baginda dan Altantuya dalam lawatan mereka ke Macau. Tanpa menamakan identiti “orang ketiga” itu, PKR mendesak Najib agar menunjukkan passportnya untuk membuktikan dirinya tidak terlibat.


Kita tidak lupa bahawa Najib pernah bersumpah atas nama Allah bahawa dirinya tidak kenal Altantuya – di depan kira-kira 900 orang pemimpin akar umbi UMNO, pada Julai 2008. Seandainya apa-apa bahan bukti dalam mahkamah Perancis menunjukkan bahawa Najib mengenali Altantuya, maka beliau bakal berdepan dengan krisis integritinya.


Najib mungkin menjadi liabiliti UMNO


Di samping itu, Model Ekonomi Baru (MEB) yang diketengahkan Najib mencungkil saraf golongan sayap kanan dalam UMNO, yang menentang hebat rancangan ekonomi tersebut. Najib perlu menjelaskan bahawa ia sekadar “cadangan”, selepas bahagian pertama MEB dikemukakan – memperlihatkan rintangan yang dihadapinya dalam parti.


Najib kini tersepit dalam dilema. Politik naungan telah lama berakar umbi dalam UMNO. Najib tidak boleh kembali ke pangkal jalan untuk meneruskan pendekatan perkauman yang ekstrem, pada masa yang sama “Najibnomics“-nya yang tidak meneliti masalah struktur juga gagal mentransformasikan ekonomi negara. Negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 setakat sasaran – realitinya rakyat terus bergelut dalam suasana inflasi yang menekan.


Mereka yang menguasai sumber pada masa yang sama menggenggam kuasa. Perebutan sumber bertambah rancak apabila sumber semakin berkurang. Kenaikan tarif elektrik, pengurangan subsidi untuk bahan api, cukai perkhidmatan yang melonjak dari 5% hingga 6% – segala-gala ini membuat rakyat merasakan bahawa khazanah negara semakin kekosongan dipunggah, dan kerajaan kini perlu menyedut wang dari rakyat.


Zahid Hamidi berpaling tadah?


Kini, pergelutan dalam UMNO sendiri menjadi menarik. Kenyataan Zahid Hamidi yang mendakwa dirinya bersedia untuk memberi keterangan di mahkamah – dengan syarat dibenarkan kabinet – juga menarik. Beliau meletakkan semua beban atas bahu Najib, sebagai Ketua Kabinet – untuk menentukan sama ada beliau boleh atau tidak untuk tampil di mahkamah Perancis.


Zahid (gambar kiri, kanan) dilihat sebagai “orang Najib” dalam pemilihan UMNO pada tahun 2009. Menteri Pertahanan ini kelihatan telah meninggalkan kem Najib. Perlu diingatkan, skandal kapal selam gagal selam, kecurian enjin jet – pendedahan ini memperlihatkan bahawa “ada pihak yang melepaskan khabar” – tentang skandal yang berlaku ketika Najib merangkap jawatan Menteri Pertahanan.


Baru-baru ini Zahid dikatakan calon yang bakal memainkan peranan “Muhyiddin Yassin” dalam usaha menjatuhkan Abdullah Ahmad Badawi – seandainya usaha baru diperlukan untuk menjatuhkan Najib Razak. Ini kerana Najib berdepan dengan cabaran untuk mengembalikan majoriti dua pertiga dalam PRU ke-13, malah kuasa kerajaan negeri Selangor yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.


Cabaran buat Najib


Najib kini perlu berhati-hati untuk membuat percaturannya. Soal selidik yang diumumkan Merdeka Center pada 4 Disember 2010 menunjukkan bahawa sejumlah 59% rakyat tidak berpuas hati dengan prestasi Najib membanteras rasuah. Lebih-lebih lagi, ketiga-tiga kaum menganggap kerajaan Najib perlu mendahulukan isu membanteras rasuah. Apa yang menarik, seandainya perbicaraan kes pembelian kapal selam ini menunjukkan bahawa Najib turut terlibat dalam amalan rasuah – maka beliau semestinya berdepan dengan tekanan rakyat dan UMNO agar beliau berundur.


Nampaknya Najib tidak mempunyai ruang yang lebih selesa. Meskipun Najib dan Timbalannya, Muhyiddin Yassin memainkan peranan berasingan untuk menyasarkan undi dari komuniti berlainan – iaitu Najib dengan 1Malaysia-nya, dan Muhyiddin dengan “Kemelayuan”-nya, tapi jelas, Muhyiddin kelihatan lebih disenangi dalam UMNO.


Dalam keadaan sedemikian, mungkinkah Najib mengambil langkah untuk mempercepatkan pilihan raya umum, menggunakan kuasa yang ada pada Presiden untuk melantik calon, lantas menyingkirkan orang yang tidak taat kepadanya? Dan seandainya beliau berbuat demikian, apakah keadaan seperti PRU ke-12 bakal berulang – iaitu sabotaj daripada peringkat akar umbi kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Presiden UMNO?


Saf pimpinan PAS yang baru lahir dari pemilihan mungkin menjadi faktor pertimbangan Najib. Seandainya PRU diadakan tahun ini, mungkin PAS belum sempat mengatur langkahnya untuk bersedia.


Jikalau dilihat tarikh yang ada, bulan puasa bermula pada akhir Julai, dan masyarakat muslim bakal menyambut Hari Raya pada awal September. Tempoh ini bukanlah tempoh yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya. Jikalau PRU diadakan pada awal Julai, maka Najib perlu mengambil kira kemungkinan rakyat melepaskan kemarahan melalui undi lantaran kenaikan tarif elektrik.


Justeru itu, tempoh antara September hingga Oktober mungkin masa yang sesuai, kerana pantai Timur sering dilanda banjir mulai November.


Menurut pemimpin di akar umbi UMNO, mereka telah bersiap sedia 24 jam untuk PRU sejak dua, tiga bulan yang lalu. Namun tarikh PRU ke-13 kekal menjadi teka-teki.


Untuk Najib, bukan senang untuk mencari satu tarikh yang menjamin kemenangan BN. Kenaikan harga barang, ketegangan hubungan antara sekta dalam UMNO, saf pimpinan baru PAS yang menyuntik semangat kepada Pakatan Rakyat, cetusan isu perkauman dan agama yang mencungkil ketidakpuasan masyarakat… Sehingga bila “suasana baik” boleh dikekalkan dengan Program Transformasi yang direkacipta Najib?Jalan Pulang

2 comments:

  1. MALAY OBSERVER09 June, 2011 08:04

    HA HA INI PELUANG WAK SEMBAB NK JADI PM DGN SEGERA MCM DIA JATUHKAN PAK LAH DULU.... AWAS ORG2 NAJIB CARILAH DAHANM YG BARU UTK BERPAUT...

    ReplyDelete
  2. MAKA BERPUAK2 LAH AHLI UMPORNO. 1 PUAK NAJIB DAN 1 PUAK WAK .... MAKA AKAN ADE PERANG DINGIN BEREBUT KUASA AKAN HANCURLAH UMPORNO....

    ReplyDelete