Ketua Menteri Sarawak disiasat dakwaan rasuah balak: SPRM
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa pihaknya sedang menyiasat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, berhubung dakwaan rasuah balak.
Ketua Pesuruhjaya, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, berkata SPRM kini dalam proses mengumpul maklumat berhubung perkara berkenaan.
Abu Kassim menjawab pertanyaan sama ada SPRM akan mengambil tindakan sebagaimana dilakukan Agensi Pencegahan Rasuah Switzerland, yang baru-baru ini membekukan aset Taib Mahmud atas dakwaan rasuah balak.
Menurut sumber berita asing, Ketua Jabatan Hal Ehwal Luar Switzerland, Micheline Calmy-Rey, dilaporkan menyedari tentang dakwaan itu dan telah mengemukakan maklumat mengenai aset Taib di Switzerland kepada badan kawal selia, FINMA (Lembaga Penyelia Pasaran Kewangan Switzerland) untuk siasatan lanjut.
Mengulas pemantauan projek mega, Abu Kassim berkata, SPRM akan terus memantau projek-projek berkenaan dari masa ke masa.
"Tanggung jawab kami adalah untuk memantau sebarang projek dari masa ke masa. Saya tidak boleh nyatakan projek mana tetapi tugas kami memantau dan mencegah rasuah dalam kerajaan," katanya ketika ditanya sama ada SPRM telah mengenalpasti projek lain.
Setakat ini, SPRM dijangka memantau tiga projek mega iaitu Menara Warisan Merdeka setinggi 100-tingkat yang bernilai RM5 bilion; sistem transit laju massa (MRT) bernilai RM36 bilion; dan projek Bukit Bintang City Centre (BBCC) bernilai RM6.7 bilion. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment