Friday, July 15, 2011

500 ahli PSM, NGO desak enam tahanan EO dibebaskan



KUALA LUMPUR 15 JULAI : Badan Bukan Kerajaan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Kajang hari ini menghantar satu memorandum dan petisyen yang ditandatangani oleh 500 individu mendesak agar enam tahanan Ordinan Darurat (EO) PSM dibebaskan segera.

Menurut wakil PSM Kajang Ganesan Dhanapal, mereka yang ditahan kerana terlibat dengan bersih sepatutnya dibebas kerana Himpunan Bersih telah tamat 6 hari lalu.

"Memang kita, PSM, Jerit dan SUARAM tidak berpuas hati dengan penangkapan mereka. Mulanya mereka ditangkap kerana Bersih tapi himpunan sudah berlalu mereka masih tak dibebaskan.

"Kami kumpul tandangan bersama PSM dari seluruh Malaysia untuk desak mereka dibebas. Penahanan ini tidak munasabah," kata Ganesan kepada TV Selangor hari ini.

25 Jun lalu, 31 aktivis PSM ditahan di Pulau Pinang dan direman di bawah Seksyen 122 kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

2 Julai lalu, enam daripadanya termasuk Dr. D Jeyakumar dilepaskan tanpa tuduhan tetapi ditangkap semula di bawah EO sejurus menjejakkan kaki ke luar balai polis dan ditahan sehingga kini.

Oleh itu hari ini, kira-kira 30 ahli PSM Kajang, Jerit dan SUARAM berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar tersebut.

Bagaimanapun keadaan menjadi sedikit tegang apabila sekumpulan polis yang diketuai oleh ASP yang hanya dikenali sebagai Hata telah mengarahkan banner yang dibawa mereka ditutup.

Lebih parah lagi, Hata turut mengatakan pegawai hanya dapat menerima memorandum tersebut di kawasan tempat letak Kereta berhampiran.

Bagaimanapun setelah perang mulut terjadi antara koordinator SUARAM Nalini E dan Wakil Cawangan Perhubungan Awam Bukit Aman, DSP Venu Gopal, pegawai tersebut bersetuju menerima memorandum di hadapan Bukit Aman, tempat berkumpul wakil NGO tersebut.

Memorandum itu kemudiannya diserahkan oleh wakil PSM Lecthmi Doraisamy yang mahukan polis bertindak dengan lebih profesional.

"Kami menegaskan kepada pihak polis agar jangan salah guna kuasa yang diberikan.

"Kami mahu pihak polis tidak menjadi pak turut BN terutamanya Umno, " kata Lecthmi.

PSM kini sedang menunggu permohonan bagi mendapatkan perintah 'habeas corpus' yang akan didengari pada 22 Julai hadapan menerusi peguam mereka, Edmund Bon.

No comments:

Post a Comment