Tuesday, July 5, 2011

BERSIH 2.0 mahu himpunan di Stadium Merdeka



KUALA LUMPUR, 6 Julai - Penganjur Bersih 2.0 mahu mengadakan perhimpunan aman itu di Stadium Merdeka pada 9 Julai, mulai jam 2 petang, kata Pengerusinya Datuk S Ambiga.

Selepas perhimpunan dua jam berkenaan, sepuluh orang wakil gabungan itu akan menyerahkan memorandum tuntutan pembaharuan pilihanraya kepada Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, kata Ambiga.

Bercakap kepada media sebentar tadi, Ambiga turut mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) sebagai inisiatif penambahbaikan sistem dan proses pilihan raya di negara ini.

Ambiga berkata beliau sudah mengutus surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan pertemuan bagi menetapkan lokasi perhimpunan aman itu setelah kerajaan melarang penganjur mengadakan perarakan beramai-ramai untuk menyampaikan memoradum itu kepada Istana Negara.

Bekan Pengerusi Majlis Peguam itu juga menuntut pihak berkuasa menghentikan segala hambatan dan tekanan pihak berkuasa ke atas penyokong sejak minggu lalu dan berterusan sehingga hari ini.

Lebih 150 orang termasuk wakil rakyat dari Pakatan ditangkap kerana memiliki dan memakai baju BERSIH. Malah enam penyokong Bersih termasuk Ahli Parlimen Sungei Siput Dr D. Jeyakumar ditangkap di bawah Ordinan Darurat kerana di dakwa kononnya terbabit dengan gejala subversif.

Ambiga juga mahu semua yang ditahan itu dibebaskan pada kadar serta merta.

No comments:

Post a Comment