Tuesday, July 12, 2011

Bersih: Demo gagal dihalang, mana molotov cocktail?

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi6xEAWHc5hKy_YJUnEdDRWMDnPj-yx66Gc11bb5MD9B20-I4eUySKcnk8PADIbjLfdhVTLxJqAARnG6SlVHDS1_Z32drNv4qaANVlmtq5sDu80cUneIHPBMDEXxDFqxOJ_bMsMbJYpxMui/s400/DSC_7955.JPGWira Rakyat

Polis menutup semua pintu masuk ke Kuala Lumpur mulai petang 8 Julai namun semua itu tidak menghalang kira-kira 50,000 penunjuk perasaan untuk membanjiri tengah Kuala Lumpur melaksanakan bantahan menuntut penganjuran pilihanraya yang bersih dan adil di Malaysia.

Kerajaan menggambarkan selama dua minggu tunjuk perasaan tersebut sama ganasnya dengan rusuhan berdarah di luar negara melalui slot iklan di semua stesen penyiaran dan akhbar. Seolah-olah Kuala Lumpur akan terbakar seperti kota Jakarta dalam kebangkitan Reformasi 1998.

Akibatnya kebanyakan pekedai dan pemilik kompleks membeli belah menutup perniagaan. Jalan masuk ditutup menyebabkan orang ramai tidak boleh mengunjungi ibu negara. Namun semua itu hanya merugikan peniaga dan orang yang tiada kena mengena dengan tunjuk perasaan.

Biar apa pun yang dilakukan, tunjuk perasaan aman tetap Berjaya dilaksanakan oleh Bersih. Kononnya polis berjaya menghalang huru-hara tetapi dengan kehadiran 50,000 penunjuk perasaan apa yang mampu polis lakukan jika mereka mahu membakar bangunan atau merompak perniagaan? Malah jika penunjuk perasaan itu benar-benar ganas, polis pun terpaksa berundur kerana jumlah polis dan penunjuk perasaan 1:10. Polis perlu mencari alasan lain yang lebih realitik untuk menghalang tunjuk perasaan aman.

Mana molotov

Beberapa hari sebelum tunjuk perasaan polis cuba mengeruhkan keadaan dengan penemuan molotov cocktail, parang dan mercun di Pertama Kompleks dan Gombak. Ini satu lagi tuduhan melulu yang cuba memperdaya rakyat sehingga menutup kedai pada 9 Julai. Jika tunjuk perasaan memang dirancang untuk menjadi ganas mustahil molotov tidak digunakan pada hari berlakunya demo. Polis sendiri ternyata gagal menghalang 50,000 penunjuk perasaan dan tentunya lebih sukar menghalang apa yang mereka bawa.

Molotov sangat mudah dibuat menggunakan botol minuman, petrol dan kain kapas. Bahan-bahan itu boleh ditemui di mana-mana sahaja dan boleh dibuat sejam sebelum tunjuk perasaan. Sebagaimana lazimnya tunjuk perasaan ganas di Korea Selatan, Greece, Jerman dan negara Amarika Latin yang tidak asing menggunakan molotov tidak ada jalan polis menyekat penggunaannya. Kecualilah tunjuk perasaan itu hanya beberapa ratus orang dan mudah dikawal.

Ternyata budaya tunjuk perasaan di Malaysia amat baik berbanding negara lain. Thailand misalnya menyaksikan tunjuk perasaan besar-besaran setiap tahun, begitu juga Indonesia. Tunjuk perasaan di sana bukan sahaja melibatkan kecederaan malah kematian. Polis juga ramai yang tercedera apabila penunjuk perasaan mengamuk membaling kayu, batu dan memukul polis pencegah rusuhan.

Penunjuk perasaan di Malaysia berundur apabila gas pemedih mata ditembak. Mereka tidak melawan ketika ditahan. Malah banyak yang luka dan lebam diterajang polis. Di manakah dalam dunia polis boleh mencari rakyat sebaik ini?

Tidak wajar tahan

Oleh itu, tidak wajar polis menahan sebegitu ramai penunjuk perasaan sehingga melebihi 500 orang. Alasan mereka demo melanggar titah Yang di-Pertuan Agong. Polis yang tidak mengeluarkan permit untuk perhimpunan di Stadium Merdeka tidak pula mengingkari titah. Titah diraja tidak mengatasi Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan perhipunan aman. Begitu juga Akta polis dan ordinan Darurat. Polis perlu sensitif dan memahami perkara itu.

Rakyat mengucapkan tahniah kepada penunjuk perasaan yang walaupun diganyang dengan pelbagai propaganda buruk selama dua minggu tetapi telap melakukan demo secara aman. Keupayaan mereka berkumpul walaupun semua laluan masuk ditutup memperlihatkan keupayaan mereka untuk berbuat lebih daripada itu jika mereka mahu.

Begitu juga dengan jumlah yang hadir, jika tidak disekat laluan masuk tentunya mencecah 100,000 kerana banyak penujuk perasaan dari Selangor yang tersekat di beberapa batang lebuh raya kerana cuba masuk ke Kuala Lumpur pada sebelah tengah hari. Terbukti Pakatan Rakyat yang mengumpulkan penyokong mampu mengawal mereka dengan baik dalam keadaan paling genting. Parti seperti inilah yang layak memerintah negara.

Cuma peniaga agak terkilan, sekiranya kerajaan tidak mendesak mereka menutup kedai dan jalan masuk tidak disekat kedai mereka pasti akan dibanjiri pengunjung selepas berakhir tunjuk perasaan untuk membeli-belah kerana separuh dari penunjuk perasaan datang dari negeri yang jauh.

No comments:

Post a Comment