JOHOR BAHRU - Pemuda Pas mendesak satu suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk mengkaji pelaksanaan sistem pilihan raya di negara ini yang didakwa bermasalah.
Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda Pas, Suhaizan Kayat berkata, desakan itu dibuat selepas pihaknya mendapati Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar secara tidak langsung mengaku terdapat klon kad pengenalan pengundi dalam daftar pemilih sah.
Menurutnya, kenyataan Wan Ahmad disiarkan sebuah akhbar :The Star 24 Julai lalu di bawah tajuk ‘EC: Help Us Purge ‘Clones’ From Electorial Roll’ secara tidak langsung mengakui pengundi hantu benar-benar wujud.
“Selepas 16 hari Himpunan Bersih 2.0 berlangsung, akhirnya Wan Ahmad mengaku terdapat klon kepada kad pengenalan pengundi dalam daftar pemilih sah SPR.
“Kenyataannya dalam akhbar itu turut menyatakan beliau (Wan Ahmad) meminta parti politik dan individu tertentu tampil memberi maklumat kepada SPR demi membersihkan daftar pemilih yang secara tidak langsung mengakui kewujudan pengundi hantu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.:
Suhaizan yang juga Ketua Pemuda Pas Johor berkata, kenyataan itu juga dilihat sebagai ‘pusingan U’ SPR berhubung isu pengundi hantu yang tidak pernah diakui.:
“Selama ini, Pakatan Rakyat (PR) sering kali dituduh mengada-adakan cerita untuk melunturkan keyakinan rakyat kepada SPR.
“Bagaimanapun, pengakuan SPR dalam akhbar berkenaan cukup membuktikan pembersihan daftar pemilik dituntut dalam Bersih 2.0 adalah satu kejayaan,” katanya.
Suhaizan berkata, ‘Standard Operation Procedure (SOP) untuk kedua-dua agensi itu perlu dikaji semula kerana sistem pengkomputerannya menggunakan proses yang salah.
“Salah satu prinsip kepada konsep pangkalan data sistem komputer adalah tidak dibenarkan pertindanan ‘identifier’ kad pengenalan lama atau baru, tetapi JPN membenarkan pertindanan berlaku manakala SPR pula menerima data yang salah.
“Ini bukti kesalahan SPR dan JPN dan mana-mana pihak berhak membuat laporan polis berhubung kecuaian yang dilakukan oleh dua pihak ini,” katanya.SH
No comments:
Post a Comment