Tuesday, July 12, 2011

Populariti Najib jatuh menjunam, Muhyiddin senyum melebar

http://img820.imageshack.us/img820/3831/najibmuhyidin440x.jpgKUALA LUMPUR, 12 JULAI – Populariti Datuk Seri Najib Razak jatuh ke titik paling rendah sejak memegang jawatan Perdana Menteri selama 27 bulan.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata kebolehpercayaan rakyat terhadap Najib telah jatuh mendadak akibat kegagalan menangani perhimpunan aman Bersih 2.0 pada Sabtu lalu.

“Semua ini adalah kerana ‘kelap-kelip’ pertukaran kepimpinan yang menyerupai kehancuran pendahulunya Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya dalam satu kenyataan.

Kit Siang turut menyamakan strategi Najib sama seperti bekas Presiden Amerika Syarikat George W. Bush “turun padang” 24 jam selepas “serangan” untuk melihat sendiri kekejaman dan kezaliman yang telah dilakukan terhadap rakyat tak berdosa.

Katanya, Najib yang melawat ke kawasan perhimpunan aman Bersih 2.0 di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India sehari kemudian sama seperti Bush yang turun ke Baghdad sehari selepas tentera Amerika Syarikat mengebom Iraq.

“Kerana inilah yang menyebabkan hanya dalam 36 jam sahaja laman di Facebook 100,000 People Request Najib Tun Razak Resignation telah mencapai matlamatnya.

“Bolehkah Najib menyelamatkan jawatan beliau dengan memperbaiki keburukan sedia ada dan kembali kepada gagasan 1Malaysia bersama Bersih yang merentasi bangsa, agama, geografi, jantina dan umur yang mahu Malaysia bersih dari pilihan raya, sistem politik atau urus tadbir negara?” kata Ahli Parlimen Ipoh Timur itu.

Justeru itu, Kit Siang mahu Najib benar-benar mengamalkan konsep 1Malaysia yang dilaung-laungkannya dengan:

1. Menubuhkan suruhanjaya diraja yang telus, adil dan bersih untuk menyiasat keganasan pihak berkuasa sewaktu perhimpunan aman Bersih.

2. Mengenakan tindakan tatatertib terhadap anggota-anggota polis yang melampaui batas dan bertindak kejam dan ganas serta tidak munasabah sehingga menyebabkan kematian Baharuddin Ahmad.

3. Membebaskan segera dan tanpa syarat Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jayakumar dan lima anggota Parti Sosialis Malaysia lain yang ditahan di bawah Ordinan Darurat.

4. Menarik kembali larangan terhadap Bersih 2.0 dan tamatkan dwi-fobia Barisan Nasional iaitu fobia terhadap Bersih dan Xanthophobia (takut kepada warna kuning).

Beliau juga mahu Najib dan BN keluar dari kepompong Perang Dingin supaya tidak terperangkap dengan politik masa lalu dan kembali kea lam nyata memenuhi tuntutan rakyat.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula menyeru Najib menunjukkan komitmen beliau terhadap slogan 1Malaysia yang dilaungkannya selama ini dengan bertindak tegas terhadap pemimpin UMNO yang melanggar undang-undang.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Melaka Datuk Ali Rustam telah dipetik media sebagai berkata, “Biar hilang seorang, jangan hilang semua..” yang dilihat sebagai satu hasutan dan ancaman terhadap Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.

Ali, yang pernah hilang kelayakan bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO kerana rasuah politik, juga dipetik sebagai berkata orang seperti Ambiga yang didakwanya cuba menghuru-harakan negara ini tidak layak menjadi warganegara.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang membidas Ali dengan mengemukakan Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan: “Tiada seorang pun warganegara boleh dibuang negeri atau dikecualikan daripada Persekutuan.”

Tambahnya, kenyataan Ali merupakan ancaman halus dan tidak bertanggungjawab yang tidak patut dikeluarkan oleh seorang Ketua Menteri.

“Oleh itu DAP menyeru Najib dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk mengambil tindakan tegas ke atas Ali Rustam atas kata-katanya yang berunsur hasutan dan perkauman itu,” katanya. – Roketkini.com

1 comment:

  1. This image is damn funny. Kudos to whoever found that photo of Muhyiddin smiling like that. LOL!!

    ReplyDelete