Thursday, July 7, 2011

Rumah MB Kedah disimbah cat merah

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjDXQzGCguSNmyXG95q9U38vLStCtWRTXtx9KEOo_PqBFH3zgmlOkAgt77rIvoCsYiNPSrteFnwhI_ABLSiRArlzXJ6PHiaXYRHPdu36n8r69MAKC818I3UwKuBV57meZCzEMBuF637l-A0/s320/9268181.jpgALOR SETAR - Rumah Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang turut menempatkan pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat ADUN Sungai Limau di Yan disimbah dengan cat warna merah oleh pihak tidak bertanggung jawab dipercayai dilakukan awal pagi semalam.

Dalam kejadian itu, bahagian luar pagar dan lantai simen pekarangan rumah dikotori cat merah, namun tidak mengenai bahagian dinding rumah ekoran jaraknya yang agak jauh daripada kawasan pagar.

Selain rumah Azizan, beberapa rumah, kereta termasuk pejabat pusat khidmat wakil rakyat pemimpin Pas turut menerima nasib sama, dalam beberapa kejadian dipercayai dilakukan serentak malam semalam atau awal pagi.

Turut dijumpai, nota ugutan supaya tidak hadir pada perhimpunan haram Bersih 2.0 yang dibungkus dengan batu yang turut dilontar di tempat kejadian.

Mengulas kejadian itu, Azizan berkata, pihaknya membuat laporan polis berhubung kejadian itu yang turut berlaku di daerah Pendang dan Kota Setar.

“Itu mungkin mainan budak-budak nakal yang tidak ada kerja atau mereka cuba cetuskan isu kontroversi dengan buat perkara seperti itu. Biarlah pihak polis siasat siapa dalang di sebaliknya kerana laporan polis sudah dibuat oleh pihak-pihak yang menjadi mangsa perbuatan itu,” katanya, selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di Wisma Darul Aman, semalam.

Menurutnya, kejadian sama turut menimpa Ahli Parlimen Pendang, Dr Hayati Othman yang mengalami kerosakan kereta akibat disimbah cat merah.

Pemimpin lain, termasuk Setiausaha Pas Kawasan Alor Setar yang juga Pembantu Khas ADUN Alor Mengkudu, Dr Ismail Salleh, Adnan Saad.

Rumah yang disimbah cat merah pula ialah Ketua Penerangan Pas Kuala Kedah, Ridzuan Abu Bakar dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda Pas Kuala Kedah, Mohd Radi Said.

Sementara itu, Pejabat Pusat Khidmat ADUN Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa di Taman Anggerik, Peremba turut disimbah cat merah dan dibaling batu.

Azizan berkata, tindakan terbabit disifatkan kurang bijak dan sekiranya ada kaitan dengan perhimpunan Bersih 2.0, ianya perlu dihentikan dengan segera.

“Saya tak kata ianya ada kaitan dengan Bersih, tapi kami semua tak pula berhutang dengan ah long,” katanya berseloroh.

Azizan menyerahkan sepenuhnya kes itu kepada polis untuk siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment