Monday, August 15, 2011

Doa 40 alim sudah memadai kabulkan perjuangan Bersih?

Oleh Lanh

MENJELANG Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu, seorang rakan begitu ghairah bercerita mengenai fenomena kuning termasuklah ketika sarapan pada suatu hari di sebuah restoran mamak.

Seorang pengunjung (pemuda) tak dikenali disapanya, dan kedua-duanya terus ‘ngam’ bercerita mengenai tindakan pihak berkuasa ke atas mereka yang memakai kemeja-T Bersih berwarna kuning. Si rakan tadi merungut baju-T kuning di ampaian flet kediaman turut diambil pihak berkuasa. Entah benar, entah tidak dakwaannya tidaklah saya ketahui.

Kedua-duanya begitu ‘ ngam’ bercerita; nampaknya mereka ‘satu kapal’ tetapi secara tiba-tiba si pemuda tadi membuat hujah ‘pusingan U’, memuntahkan ‘peluru beracun’ dengan berkata: “Buat apalah nak menyusahkan orang ramai dengan mengadakan perhimpunan haram, bukankah dengan adanya orang alim berkumpul di masjid, misalnya doa 40 orang alim sudah memadai bagi dikabulkan apa-apa dihajatkan.”

Terkedu rakan saya itu, tidak disangkanya orang yang ‘satu kapal’ dengannya boleh berpusing pandangan; itulah nasihat seorang rakan, berhati-hati ketika memberi pandangan, entah-entah orang yang dilawan cakap tadi pengintip; sengaja mencetuskan provokasi bagi menduga setakat mana penerimaan orang bawahan terhadap sesuatu gerakan.

Di sini saya tidaklah berhajat menduga sama ada pemuda itu pengintip atau tidak, tetapi membicarakan apa yang diluahkannya iaitu “doa 40 orang alim sudah memadai untuk dikabulkan hajat sesuatu perjuangan.”

Perkara ini samalah dengan pandangan seorang rakan yang menyatakan tidak perlulah bersusah payah untuk menjatuhkan pemimpin yang zalim apabila dia berkata: “Buat apa dijolok buah kelapa, nanti apabila sudah tiba masanya akan gugur juga buah kelapa tua itu.”

Saya bukanlah orang alim atau ustaz untuk mengulas pandangan seperti ini, jadi salah satu cara bagi menangani permasalahan ini adalah dengan merujuk bahan yang pernah saya tatapi. Saya pernah membaca sebuah hadis mengenai seorang lelaki yang ke masjid dengan untanya, yang mana Nabi menasihatkan beliau agar menambat unta itu sebelum memasuki masjid, selepas itu barulah berdoa, menyerahkan diri pada takdir. Ini bermakna seseorang itu perlu berusaha, tidak boleh mengharapan keajaiban berlaku dengan dia ‘berlepas tangan’ (seperti membiarkan motosikal tidak berkunci ketika pergi solat Jumaat).

Dalam majalah Hidayah keluaran Julai 2011, di bawah tajuk ‘La Tansa’ (Jangan Anda Lupakan): Doa dan Zikir Istirahat Malam ada ditulis mengenai kepentingan seseorang itu berikhtiar dulu sebelum menyerah diri pada nasib. “Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa Umar bin Khattab r.a. memimpin suatu rombongan sahabat yang akan melakukan umrah ke Makkah.

Ketika akan berangkat, mereka menemui Rasulullah s.a.w. seraya mohon restunya. Setelah mengucapkan selamat jalan, Rasulullah berkata; “Ya Umar, la tansana bi du aik” (Hai Umar, jangan lupakan kami dengan doamu): Maksudnya, saat Umar berdoa di tempat-tempat multazam di Masjidil Haram, agar juga mendoakan sahabat yang tinggal di Madinah yang tidak ikut umrah.

Ertinya, terlebih dahulu baginda melakukan ikhtihar sekuat tenaga, menyusun rencana serapi mungkin, berupaya dan bekerja bersungguh-sungguh, baru kemudian berdoa memohon pertolongan dan reda Allah SWT.

Dalam hubungan inilah, perkataan ‘La Tansa’ hadir mendamping pembaca. Marilah berikhtiar bersungguh-sungguh! Mari bekerja sekuat tenaga! Berjuang sesuai bidang masingmasing.

Tapi, jangan lupa untuk berdoa. Sebab pada akhirnya dan pada hakikatnya, Tuhanlah yang maha menentukan segalanya.

Bahkan pada saat akan atau usai menikmati sesuatu, Rasulullah s.a.w. menganjurkan kita berdoa sebagai tanda kesyukuran kita kepada Yang Maha Memberi.

Demikianlah pada pendapat saya yang daif ini, keajaiban tidak akan berlaku dengan kita berdiam diri, berpeluk tubuh tanpa melakukan sesuatu bagi mengubah nasib kita dengan modal berdoa saja. Fikir saya falsafah ‘rezeki secupak tidak akan jadi segantang’ sudah lama terkubur, rupa-rupanya tidak kerana sesetengah daripada orang kita masih terus kejap dengan pandangan lama ini!

Sirah Nabi s.a.w. menunjukkan baginda begitu bersungguh-sungguh berdakwah; termasuklah pergi ke Taif dan kemudian berhijrah ke Madinah. Di Taif, baginda dihina sebegitu teruk sekali apabila pembesar di sana mengerahkan kanak-kanak agar melempar Nabi s.a.w. dengan batu. Jika dengan berdoa saja tanpa usaha bagi membolehkan sesuatu perkara itu berlaku, maka tidak perlulah Nabi s.a.w. bersusah payah ke Taif untuk berdakwah dan berhijrah meninggalkan kampung halaman Makkah untuk ke Madinah.

Juga tidak perlulah Nabi s.a.. w. dan rakan-rakannya terbabit dalam sejumlah peperangan, cukuplah untuk Nabi berdoa, memohon ke hadrat Illahi agar penduduk Jazirah Arab memeluk Islam. Hakikatnya tidak begitu, Nabi s.a.w. sebagai contoh ikutan dan teladan kita telah menunjukkan bahawa usaha dan iktihar perlu dilakukan dengan segala kekuatan dan kesungguhan hati di samping doa tidak putus-putus kepada Illahi.

http://warta-utara.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment