Azizan kuat kerja, kurang rehat - Isteri
ALOR SETAR - Tahap kesihatan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang kini ditempatkan di Institut Jantung Negara (IJN) bertambah baik dan beliau dijangka kembali ke Kedah dalam minggu ini.
Isterinya, Tok Puan Faikah Syeikh Hamzah berkata, berbanding hari pertama ketika Azizan dimasukkan ke IJN, keadaannya amat lesu tetapi kini sudah ada selera makan.
“Pada hari beliau dimasukkan ke wad, keadaannya lemah sangat kerana kurang selera makan. Mungkin juga beliau mengalami tekanan sebab kerja yang menimbun hingga tidak berpeluang berehat,” katanya, ketika dihubungi, menemani Azizan di IJN, Kuala Lumpur.
Menurutnya, Azizan, 67, dipercayai mengalami keletihan berikutan terlalu banyak memikirkan urusan pentadbiran, dan tidak pernah mengambil cuti sejak setahun lalu.
“Azizan dimasukkan ke IJN bukan kerana serangan jantung, sebaliknya ada temu janji untuk pemeriksaan kesihatan lanjutan dengan pakar. Setakat ini beliau tidak mengalami masalah kesihatan lain, selain penyakit kencing manis dan jantung,” katanya.
Faikah berkata, pada tahun 2004, Azizan menjalani pembedahan pintasan jantung dan sedikit sebanyak keadaan itu menjejaskan kesihatannya.
Menurutnya, dia juga bimbang tekanan kerja menjejaskan kesihatan Azizan, berikutan sejak setahun lalu, Azizan kurang turun padang berjumpa penyokong berikutan mengalami masalah kesihatan.
“Saya seorang yang berfikiran positif dan sentiasa doakan kesihatannya. Dengan sokongan banyak pihak dan doa rakyat yang mengiringi, dan kekuatan yang ada pada saya, saya harungi dugaan ini dengan reda,” katanya.
Faikah berkata, Azizan juga dilihat bersemangat ‘melawan’ penyakitnya itu dan tidak pernah berputus asa.
Ketika berada di IJN, Azizan turut dikunjungi Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Sultanah, Tuanku Haminah Hamidun.
Kenamaan lain termasuk, Tunku Bendahara Kedah, Tunku Annuar Sultan Badlishah; Tunku Puteri Intan Safinaz; Tun Daim Zainuddin serta Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
MB terpaksa tukar rutin tidur - Setpol
ALOR SETAR - Sejak sebulan lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dikatakan terpaksa menukar rutin waktu tidur, untuk menyelesaikan hal-hal berkaitan kerja.
Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebelum dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN), sejak sebulan lepas beliau kelihatan sangat letih hingga menyebabkan terpaksa menukar rutin tidur.
“Kebelakangan ini Azizan tidur selepas Maghrib, hingga jam 9.30 atau 10 malam, kemudian dia akan memanggil saya ke rumah untuk bincang pelbagai perkara. Azizan yang sebelum ini berjaga sehingga jam 1 hingga 2 pagi, kini terpaksa tidur sejam atau sejam setengah selepas Maghrib,” katanya.
Menurutnya, keadaan fizikal Azizan kelihatan terlalu letih dan tidak menafikan beliau seorang pemimpin yang kuat bekerja dan enggan bercuti walaupun untuk berehat.
“Ada ketika Azizan berjumpa orang di rumah selepas waktu pejabat, menyebabkan tiada masa langsung untuknya berehat selepas kerja di pejabat. Dia nampak sangat letih, kadang-kadang lewat malam hingga 12 baru selesai,” katanya.
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Penerangan Pas Kedah berkata, Azizan boleh dikatakan bekerja ‘dari pagi hingga pagi’, walaupun dinasihatkan berehat.
Jumaat lalu, Azizan dimasukkan ke IJN Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan dan pemeriksaan jantung, dilaporkan tidak membimbangkan dan berada dalam keadaan stabil.
Muhammad Sanusi turut berkongsi kata-kata Azizan sebelum beliau dimasukkan ke IJN, apabila disuruh berehat sekejap.
“Laaaa... aku nak rehat lagu mana? Hang tak nampak kerja kita bertimbun tu..., kata Sanusi menceritakan semula reaksi Azizan.SH
smoga ustaz segera sembuh da sentiasa sihat..
ReplyDeleteSemoga Allah S.W.T memberi kekuatan dan kesihatan yang baik serta keampunan kepada hambaNya yang baik seperti Ustaz Azizan...
ReplyDeleteHave a speedy recovery, Datuk . Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri..Maaf zahir Batin. Take good care and have ample rest.
ReplyDelete