Wednesday, August 3, 2011

Komplot Manipulasi Daftar Pemilih : 1 000 kad pengenalan dikeluarkan dalam satu hari


PETALING JAYA 3 OGOS : Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli menyatakan kemungkinan wujud komplot antara agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menipu daftar pemilih untuk pilihan raya Umum akan datang.

Hatta yang juga ahli parlimen Kuala Krai berkata, sementara program bagi mendaftar pekerja-pekerja asing yang sah dilanjutkan tanpa tarikh akhir berbanding 31 Julai 2011 seperti yang ditetapkan sebelum ini, ia boleh disalah guna untuk menutup perubahan pada pangkalan data yang digunakan.

"Kami meragui tujuan sebenar program pendaftaran memandangkan ia membenarkan data diubah begitu cepat.

"Ia amat mungkin. Mereka sudah bagi tarikh tamat,kemudian mereka melanjutkannya ke tarikh yang tidak dinyatakan, ia amat menghairankan,"kata beliau dalam sidang media tergempar Pakatan Rakyat di sini, hari ini.

Selain Dr Hatta, turut hadir naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai), setiausaha biro antarabangsa DAP Liew Chin Tong (Bukit Bendera) dan Timbalan Ketua Muslimat PAS, Dr Mariah Mahmud (Kota Raja).

Semalam, portal Malaysiakini melaporkan, status seorang penduduk tetap yang berjaya didaftar sebagai pengundi bertukar kepada warganegara dalam tempoh empat jam sahaja selepas didedahkan.

Laporan itu mengundang kritikan pelbagai pihak, terutamanya oleh Pemuda PAS yang mendakwa memiliki banyak lagi bukti kes sebegitu berlaku.

Dr Hatta mengesyaki apa yang berlaku mempunyai kaitan dengan program pemutihan pendatang asing yang sedang berlangsung di seluruh negara yang bermula sejak sebulan lalu.

"Mereka daftar pekerja asing dengan biometrik. Adakah ini mempunyai kaitan? Adakah ini sebabnya data bertukar dalam beberapa jam sahaja. Itu juga sesuatu yang perlu dijawab Jabatan Pendaftaran Negara," katanya.

Sejak dilaksanakan 13 Julai lepas, dilaporkan 390,404 pekerja asing daripada 26,894 majikan telah mendaftar bawah Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing yang Sah, manakala pendaftaran pekerja asing tidak sah pula bermula kelmarin.

Pakatan Rakyat mendakwa seramai 1,108 pemastautin tetap di Lembah Klang telah diberikan status kewarganegaraan penuh sehingga semalam dan adalah sesuatu yang mengarut jika 1,000 kad pengenalan dapat dikeluarkan dalam satu hari.

Sementara itu, naib presiden PAS Salahuddin Ayub juga menunjukkan dokumen-dokumen yang mendakwa antara pukul 1.06 petang dan 2.30 petang semalam, tiga pengundi yang memiliki taraf kewarganegaraan penuh berbanding pemastautin sebelum itu dan sejumlah 1,597 kes dikesan sehingga hari ini.

"Pukul 1.06 minit merah, 2.30 petang biru. Maklumat ini dimuat turun dari laman web Jabatan Pendaftaran Negara sendiri dan ia buktikan perkara sebegini berlaku," kata beliau sambil menunjukkan bukti itu.

No comments:

Post a Comment