Wednesday, August 17, 2011

Proses pemutihan PATI, bukti BN semakin terdesak



SHAH ALAM 18 OGOS : Pembongkaran demi pembongkaran berhubung kepincangan Program Pemutihan Pendatang Asing (6P) baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa Umno-Barisan Nasional (BN) kini semakin terdesak serta sanggup melakukan apa sahaja taktik kotor bagi memastikan mereka terus kekal berkuasa.

Malah, tindakan terdesak itu juga jelas menggambarkan bahawa segala taktik kotor itu didalangi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ini berikutan, Najib didakwa pernah mengeluarkan arahan agar Umno Selangor bekerja bersungguh-sungguh dan menggunakan segala senjata yang ada bagi membolehkan Umno-BN menawan kembali negeri itu dalam pilihanraya umum akan datang.

Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkara tersebut ternyata menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat kerana ia melibatkan keselamatan dan masa depan negara.

“Kita tidak terkejut tapi agak khuatir tentang masa depan dan keselamatan negara kita kerana perkara sebegini boleh dibuat sewenang-wenangnya. Kita juga prihatin dengan masa depan pendatang asing kerana mereka seolah-olah diancam sekiranya tidak memberikan sokongan yang diperlukan,” katanya memberitahu Tv Selangor.

Menurut Nik Nazmi, perkara tersebut juga jelas melanggar undang-undang malah tidak bertepatan dengan nilai-nilai agama Islam mahupun bangsa Melayu seperti yang di uar-uarkan selama ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin mendedahkan salinan surat sumpah kepada media selain mendakwa ianya sebahagian daripada syarat tetap yang perlu dipatuhi warganegara asing.

Helaian kertas yang didakwa mengandungi "skrip" berkenaan, yang antara lainnya menyebut "saya/ suami/ anak-anak, tanpa berbelah bagi akan menyokong dan mengundi Umno/ Barisan Nasional (BN)."

Namun begitu, gerak kerja penyampaian maklumat kepada rakyat mengenai situasi sebenar yang berlaku perlu diteruskan dan beliau percaya rakyat kini sudah cukup matang untuk menilai perkara sebenar walaupun cubaan penipuan ini akan berterusan.

Malah, beliau menegaskan, pihaknya tidak akan mengambil mudah situasi ini sebaliknya akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.

No comments:

Post a Comment