Monday, August 8, 2011

Tolak Dialog : Tindakan kurang bijak Uthman El-Muhammady


SHAH ALAM 8 OGOS : Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan keengganan pendakwah bebas Dr. Muhammad Uthman El Muhammady untuk menerima pelawaan dialog berhubung isu Wahabi sebagai reaksi tidak profesional dan "kurang intelek" pemimpin itu.

Bercakap kepada Tv Selangor, Dr Asri berkata, seorang pemimpin Islam seharusnya mencerminkan sikap cendekiawan dan bukannya membiarkan sesuatu perkara yang dibangkitkannya menjadi pertikaian awam dan dibiarkan begitu sahaja.

"Dukacita sekiranya kita menuduh orang lain, di mana orang yang dituduh itu menjemput untuk mendengar alasan dan hujah tuduhan tetapi kita enggan.

" Ini bukan reaksi interlek dan sikap cendiakawan yang sepatutnya ditonjolkan dalam dunia Islam. Sekiranya kita telah menuduh sesorang dengan tuduhan yang berat dan diminta untuk berbincang eloklah kita berbincang," kata Dr Asri.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan yang diambil penceramah popular, Dr Uthman yang sebelum ini mengaitkan beberapa tokoh agama dengan fahaman Wahabi dan terorisme.

Uthman sebelum ini menolak jemputan rasmi dialog oleh jawatankuasa fatwa Perlis setelah penceramah itu mengaitkan beberapa tokoh agama di negara ini dengan fahaman Wahabi.

Antaranya Mufti Perlis sekarang, Dr Juanda Jaya dan mantan jawatan itu, Dr Asri sendiri.

Dr Juanda sebelum ini menyatakan kekecewaannya di atas penolakan Uthman untuk mengadakan satu dialog harmoni mengenai 'kesesatan' dan 'keganasan' Arab Saudi yang dibangkitkan Uthman.

“Bagaimana mungkin seorang yang merupakan 'ahli akademik' takut untuk berhujah secara akademik dan terbuka bagi mempertahankan pandangan dan ideanya yang telah menghuru-harakan negara dan menjejaskan hubungan Malaysia dengan Arab Saudi akibat tuduhannya yang dibuat secara membabi-buta,” kata Dr Juanda dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Mengulas senario itu, Dr Asri menambah, Dr Juanda mahupun jawatankuasa fatwa Perlis mempunyai sebab kukuh menjemput Uthman menghadiri dialog berkenaan.

" (Oleh) kerana ini membabitkan satu tuduhan ke atas sebuah kerajaan sebagai pengganas dan sesat ke atas Arab Saudi, ini adalah satu tuduhan yang besar sedangkan Malaysia ada hubungan rapat dengan mereka (Arab Saudi) dan hubungan ini adalah satu hubungan yang baik (antara negara Islam),"kata beliua.

Ujarnya lagi, insiden ini merupakan sesuatu yang serius dan mendesak ia diselesaikan segera memandangkan umat Islam di Malaysia mempunyai kepentingan yang amat banyak dengan pihak Arab Saudi khususnya dalam hubungan keagamaan, politik, ekonomi dan sosial.

"Pihak saya difahamkan, kerajaan Arab Saudi memandang serius perkara ini, kerana tuduhan berat ke atas negaranya sebagai pengganas dan ini saya lihat ia adalah satu kelemahan yang hadir dari kerajaan pemerintah yang ada.

"Saya tidak katakan perkara ini terbit dari pimpinan kerajaan pusat, namun ia adalah sebagai tanda bahawa kerajaan pemerintah yang sedia ada ini lemah sehingga gagal mengawal organisasi-organisasi yang ada sehingga mereka mampu bertindak sendiri tanpa sebarang halangan,"katanya lagi.

Sebelum ini, Uthman yang dipanggil Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberi taklimat mengenai Wahabi.

Selain itu, Uthman juga dilaporkan turut mengaitkan Dr Asri dan 40 ulama muda Umno antara yang dikaitkan dengan fahaman itu.

Bagaimanapun setelah itu, Uthman berkata, beliau sedia menerima pelawaan berdialog dengan Dr Juanda dengan syarat ia diadakan secara tertutup membabitkan pakar-pakar bagi menjelaskan hal itu.

Bagaimanapun, Uthman yang juga merupakan Tokoh Maal Hijrah kemudiannya mengambil pendirian menolak jemputan rasmi itu, Jumaat lalu.

No comments:

Post a Comment