KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Saranan mewujudkan Akta Jenayah Akidah semakin membuktikan sikap tidak ikhlas Umno mempertahankan Islam, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
"Cadangan itu bukan sahaja ketinggalan zaman, malah semakin membuktikan sikap tidak ikhlas Umno dalam isu-isu berkaitan kepentingan Islam atau dalam usaha-usaha mempertahankan Islam.
"Nampak benar bila Umno nak tonjolkan diri sebagai jaguh, akta mengenai murtad pun dicadangkan.
"Tetapi bila hal berkaitan Islam tidak menguntungkannya dari segi politik, Umno bukan sahaja tidak mahu menyokong malah menentang dan memfitnahkan habis-habisan seperti yang berlaku terhadap Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Negeri Terengganu dan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993," kata beliau.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini dilapor mencadangkan agar Akta Jenayah Akidah diwujudkan bagi memastikan tiada usaha memurtadkan umat Islam berlaku di negara ini.
"Cadangan itu ketinggalan zaman. Di mana Umno ketika (Presiden PAS, Datuk Seri) Tuan Guru Abdul Hadi (Awang) berusaha mencadangkan rang undang-undang berkaitan di dalam Parlimen?
"Bukan sekali, malah dua kali Umno dilihat berkonspirasi mengetepikan perbincangan dan cadangan rang undang-undang mengenai murtad.
"Inilah contoh sikap lidah bercabang Umno dan bermuka-muka seolah-olah mahu membela Islam sedangkan terbukti sebelum ini mereka bukan sahaja tidak mahu melakukannya malah menentang serta memfitnahkan usaha memartabat dan melaksanakan hukum Islam," kata Mahfuz.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu membangkitkan, pada 25 Mac 1988, Presiden PAS selaku Ahli Parlimen Marang telah mengemukakan usul untuk membincangkan gejala murtad, tetapi ditolak.
Selepas itu, kata Mahfuz lagi, pada 2 November 1999, Tuan Guru juga tidak dibenarkan membentang rang undang-undang ahli persendirian untuk mencegah murtad.
Bagi beliau, apa yang berlaku sudah lebih dari mencukupi untuk membuktikan Umno mahu menerima usaha-usaha lebih konkrit untuk membela kepentingan Islam kecuali apabila bertepatan kepentingan politiknya untuk mempengaruhi undi orang-orang Melayu.
Ditanya mengenai usaha PAS untuk bertemu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan gereja Methodist Damansara Utama berikutan serbuan Jais ke atas gereja tersebut baru-baru ini, Mahfuz berkata usaha tersebut adalah selaras dan sebahagian dari usaha berdialog dengan pelbagai pihak yang sentiasa ditekankan serta diamalkan oleh PAS sejak lama dahulu.
"Dengan dialog sedemikian, saya yakin banyak perkara boleh dibincangkan dengan sikap yang lebih matang dan muhibbah termasuk keselarasan tindakan dengan Perlembagaan Malaysia di mana Perkara 11 (4) perlembagaan tersebut melarang penyebaran ajaran bukan Islam kepada orang-orang Islam,” katanya.
No comments:
Post a Comment