GOMBAK, 12 Sept: Kira-kira 10,000 hadir memeriahkan majlis rumah terbuka hari raya PAS yang berlangsung di Kolej Universiti Islam Dr Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar di sini semalam.
Mereka yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat dan pelbagai kaum itu mula membanjiri perkarangan KUIZM seawal jam 1 petang lagi walaupun acara rasmi sepatutnya bermula jam 2.
Seperti biasa, pemimpin PAS di segenap peringkat, khususnya pimpinan pusat mengambil peranan melayan tetamu yang berpusu-pusu datang.
Antara yang hadir termasuklah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden, Mohamad Sabu serta ketiga-tiga Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar, Salahudin Ayub dan Datuk Husam Musa.
Tidak ketinggalan juga seluruh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang lain, serta pesuruhjaya-pesuruhjaya negeri turut menyambut tetamu pada majlis tahunan PAS itu.
Selain mereka, keempat-empat sayap PAS iaitu Dewan Ulama, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat serta Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) turut meraikan tetamu.
Antara yang hadir termasuklah pimpinan PKR termasuk presidennya, Datin Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail, timbalan Azmin Ali, setiausaha Saifuddin Nasution serta bendahari William Leong.
Selain itu, dari DAP pula antara yang hadir Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw.
Seperti biasa menu wajib sate, tetap menjadi menu utama majlis kali ini.
Biarpun begitu, menu tradisional seperti lemang, ketupat serta rendang tetap tidak dipinggirkan.
Selain itu, hadirin juga turut disediakan laksa utara.
Paling istimewa hadirin juga boleh menikmati tapai pulut sebagai menu pencuci mulut.
Dalam pada itu, hadirin yang hadir turut tidak ketinggalan mengambil peluang bergambar dengan para pimpinan PAS.
Pelbagai gelagat hadirin dapat dilihat termasuk anak-anak muda yang berpakaian ranggi.
Biarpun sederhana, majlis rumah terbuka PAS kali ini disifatkan paling meriah.
No comments:
Post a Comment