Rentetan peristiwa itu, Mat Indera menjadi buruan polis dan berjaya ditangkap pada 14 September 1952 sebelum dihukum gantung sampai mati pada 30 Januari 1953 di Penjara Taiping, Perak.
Jenazahnya dikebumikan di Kampung Jambu Air, Taiping.
Wartawan Sinar Harian berkunjung ke kampung berkenaan untuk melihat sendiri kubur berusia lebih separuh abad itu.
Menurut penduduk, walaupun sudah lama tidak dikunjungi oleh sanak saudaranya, namun kubur berkenaan sentiasa bersih dan ditaburi bunga kemboja putih yang gugur dari pohon berhampiran.
Batu nisan jenis lama itu kelihatan agak usang dan hampir sukar untuk dibaca namun disahkan milik Mat Indera oleh penjaga kubur, Yaacob Din, 63, atau lebih dikenali sebagai Pak Akob.
Menurut Pak Akob, kubur Mat Indera tidak ditanda atau diletakkan kapok (pagar kecil) bagi mengelakkan perbuatan khurafat.
“Memang saya jaga baik kubur ni. Tapi saya sengaja tak letak sebarang tanda tertentu kerana bimbang ada yang salah gunakan untuk tujuan tidak elok,” katanya.
Menurutnya, keluarga Mat Indera sebelum ini sering menziarahi kubur berkenaan tetapi sejak tiga tahun kebelakangan tiada waris yang datang membersihkannya.
“Banyak cerita yang saya dengar tentang Mat Indera ni daripada orang tua-tua dulu, tapi saya sendiri tak berani nak beritahu sebab nanti orang cakap saya membohong,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan kisah-kisah yang pernah didengar, ketika meninggal dunia, jenazah Mat Indera berbau harum dan kulitnya begitu lembut.
“Mat Indera dipercayai mempunyai keupayaan keluar masuk dari penjara untuk membeli makanan. Bagaimanapun, kebenaran kisah yang diceritakan itu tidak dapat dipastikan kerana tiada orang lama yang boleh mengesahkannya. Mereka sudah meninggal dunia.
Pak Akob berkata, terdapat tujuh kubur anggota polis yang terkorban ketika menentang komunis di Grik, Perak ketika zaman darurat di tanah perkuburan berdekatan.SH
No comments:
Post a Comment