Sunday, September 18, 2011

Mansuhkan terus cukai enam peratus kad prabayar

PARIT BUNTAR, 17 Sept. : PAS Parit Buntar meminta kerajaan memansuhkan terus cukai enam peratus kad prabayar bukan ditangguhkan hingga ke satu tempoh yang tidak ditentukan.

Ketua Penerangan PAS Parit Buntar Fakhrurrazi Haji Khalid berkata, ianya demi kepentingan rakyat khasnya warga muda negara yang sudah sedia terbeban dengan pelbagai peningkatan kos hidup.

“ Kita tidak mahu penangguhan itu hanya bersifat sementara bagi meredakan kemarahan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

“ Sedangkan cukai itu telah dimasukkan dalam pembentangan bajet 2011 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Oktober tahun lalu” katanya

Fakhrurrazi berkata, sekiranya cukai ini diteruskan, golongan yang paling menerima kesan adalah golongan muda, pelajar dan golongan berpendapatan rendah.

“ Golongan ini terpaksa mengikat perut menghadapi kos sara hidup yang makin tinggi, berbanding pihak kerajaan yang terus mengaut hasil cukai atas keperitan rakyat.

"Impak langsung cukai ini kepada golongan pengguna adalah sama dengan impak cukai GST yang akan diperkenalkan oleh kerajaan dalam masa terdekat," katanya

Menurutnya, semua syarikat telekomunikasi (Telco) sebenarnya hanya melaksanakan Bajet yang telah dibentangkan oleh Najib, tetapi apabila mereka ingin melaksanakannya, pemimpin Umno BN pula yang menyalahkan Telco kononnya bagi menggambarkan keprihatinan mereka kepada rakyat.

"Pada hal, apa yang dilakukan itu jelas mempunyai muslihat tertentu. Dengan langkah tersebut bermakna setiap RM10 nilai kad prabayar, harganya akan menjadi RM10.60, apabila 60 sen adalah cukai yang dikenakan kerajaan melalui Telco kepada penggunanya.

"Dengan jumlah 60 sen setiap RM10 yang akan dibayar oleh Telco kepada kerajaan itu, menurut mereka yang pakar, Kerajaan BN dijangka akan memperolehi pendapatan sebanyak RM750 juta hasil melalui cukai itu untuk tahun ini sahaja," jelasnya.

Katanya, penangguhan ini bersifat sementara bagi meredakan kemarahan rakyat yang terbeban dengan kos hidup dibawah pemerintahan kerajaan BN.

“ Penangguhan kenaikan kos prabayar adalah satu bukti kuasa rakyat yang ditunjukkan oleh rakyat kebanyakan apabila ada proses timbang tara di dalam negara.

“ Namun, rakyat perlu sedar bahawa tiada sebarang jaminan oleh kerajaan bahawa cas enam peratus itu tidak akan dikenakan selepas pilihan raya umum”katanya

No comments:

Post a Comment