KUALA LUMPUR, 18 Okt: Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusuf Rawa meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan penjelasan mengenai keterlibatan pihak polis dalam kempen tandatangan membantah kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berhubung isu Mat Indera.
Ini ekoran satu salinan surat diterimanya baru-baru ini yang ditandatangani bagi pihak Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA).
Menurut Mujahid, surat yang diterima daripada seorang individu yang tidak mahu dikenali itu mengandungi arahan bertarikh 14 September 2011 kepada pegawai awam, kakitangan awam, pesara polis termasuk isteri dan keluarga warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menandatangani kempen bantahan terhadap Mohamad.
Malahan format kempen tandatangan turut disertakan dan diminta dikembalikan selewat-lewatnya pada 22 September lalu.
"Maksudnya ini arahan yang dikeluarkan oleh pihak atasan polis.
"Saya bercakap di Parlimen, bukan di kedai kopi. Sebab itu saya minta KDN jawab. Kalau betul tidak ada, saya tarik balik dakwaan ini," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Mujahid sebelum itu membangkitkan tentang surat itu sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2011 di Dewan Rakyat petang tadi.
Dalam perbahasannya, beliau meminta PDRM bersikap profesional dalam menjalankan tugas dan tidak mencampuri ususan politik.
Beliau seterusnya menunjukkan surat tersebut kepada dewan menyebabkan ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman bangun membantah diikuti ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin sehingga menimbulkan kekecohan dan terpaksa ditenangkan Timbalan Speaker, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Zulkifli malah menuduh Mujahid mencipta sendiri surat tersebut untuk memburuk-burukkan imej polis.
Bercakap pada sidang media, Mujahid tidak menolak kemungkinan bantahan terhadap Mohamad atau Mat Sabu itu satu tindakan terancang.
"Kes Mat Sabu ini adalah kes betul-betul dirancang untuk menimbulkan masalah.
"Kenyataan Mat Sabu biarlah ahli politik yang jawab. Yang polis nak campur tangan buat apa. Mereka terima laporan sudahlah," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.
Ekoran kenyataan Mat Sabu dalam ceramahnya Ogos lalu bahawa Mat Indera ialah pejuang kemerdekaan sebenar, pelbagai pihak bangkit menentang dan kira-kira seribu laporan polis dibuat terhadap Mat Sabu.
hayat umno dgn polis serupa.,polis tu umno..umno tu polis...pakat sumpah biar merana sampai kemat
ReplyDelete