Wednesday, October 12, 2011
TERDESAK!!! Bajet 2012 jadi umpan Najib yang ketagih sokongan
Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
BAHANG pembentangan Bajet 2012 masih terasa hangatnya. Semua pihak mengakui ia satu lagi percubaan Dato' Seri Najib Razak untuk meraih sokongan menjelang pilihan raya umum ke-13. Belanjawan itu dihasilkan bukan sebagai penyelesaian kepada pelbagai masalah ekonomi negara yang meruncing, tetapi dirumuskan semata-mata untuk mengekalkan kuasa BN.
Bagi Najib, bajet adalah senjata terakhir untuk menyanggah tawaran Pakatan Rakyat melalui belanjawan alternatif 4 Oktober lalu dan Buku Jingga, atau sekurang-kurangnya bagi mewujudkan 'feel good factor' walaupun segala jaminan yang dikemukakannya boleh memberi impak negatif kepada negara. Pertimbangan utamanya adalah mengekalkan kuasa. Segalanya diperkakaskan untuk matlamat itu.
Isu-isu kritikal seperti peningkatan inflasi, melebarnya jurang kaya-miskin, pertambahan hutang awam sehingga RM456 bilion, terperangkap dalam regim pendapatan rendah-sederhana, pergantungan kepada pekerja asing, ketirisan dalam sistem penyampaian, silap keutamaan yang membawa kepada pembaziran, dan isu monopoli, tidak ditangani secara serius dan bijaksana.
Justeru, ada pihak menyamakan Najib seperti Santa Claus yang tiba dua bulan lebih awal daripada hari krismas. "Kedatangannya bukan setiap tahun seperti Santa Claus, tetapi lima tahun sekali menjelang pilihan raya. Apa pun, mungkin kehadirannya ini buat kali terakhir," kata seorang teman sambil ketawa kecil.
Sepintas lalu, dalam beberapa aspek, bajet Najib dilihat mencedok pakej tawaran Pakatan Rakyat, namun falsafah atau asas yang mendasarinya jauh berbeza. Mungkin sebahagian rakyat, terutama kakitangan awam dan golongan berpendapatan rendah tersilau dengannya, tetapi secara peribadi saya mengharapkan pelaksanaannya sampai tepat kepada sasaran terutama bayaran one-off.
Lambakan wang tunai ekoran one-off ini memang dikritik, dibimbangi merangsang kenaikan kos hidup yang sedia tinggi sekarang, namun bantuan kepada rakyat yang memerlukan seharusnya dialu-alukan tetapi ia sepatutnya dibuat secara berterusan melalui pakej lebih menyeluruh. Bukan seperti ingatan Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar: "Nikmat sekejap, sedap sesaat." Belum pun insentif one-off diterima rakyat, harga barangan dapur terus meningkat.
Sesungguhnya perbelanjaan wang rakyat haruslah dilakukan secara berhemah. Kerisauan tentang defisit, hutang dan kecenderungan kerajaan BN berbelanja lebih disentuh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya di Parlimen membahaskan bejat: "Angka yang dipersembahkan kononnya untuk beri gambaran keadaan defisit dan hutang terkawal, sedangkan kita sedia maklum tabiat BN membentangkan belanjawan tambahan pada pertengahan tahun ... seperti pada 2010 dan 2011."
Pada akhir 2010, jumlah hutang isi rumah yang ditanggung rakyat Malaysia mencecah RM577 bilion bersamaan 77% dari KDNK negara. Pendapatan rakyat setiap bulan sebahagian besarnya dihabiskan untuk membayar hutang rumah kereta dan rumah. "Masih ada golongan pekerja yang diperlakukan seperti khadam dan dibayar gaji di bawah paras kemiskinan," dedah Anwar.
Anwar turut mengkritik peruntukan tinggi sehingga 78 peratus untuk belanja pengurusan, manakala belanjawan bagi tujuan pembangunan dan pelaburan dalam bidang ekonomi dan sosial semakin mengecil. 11 kementerian utama diperuntukkan wang lebih tinggi bagi perbelanjaan mengurus sedangkan jumlah bagi tujuan pembangunan lebih kecil.
Malah belanja operasi melonjak 12% di Jabatan Perdana Menteri dan 15% di Kementerian Kewangan, kedua-duanya di bawah Najib, dan bagi Anwar, "ini bertentangan dengan desakan rakyat agar PM mengurangkan pergantungan beliau kepada juru runding luar negara dan pakar media yang mahal dan mengenepikan pendapat pimpinan penjawat awam."
Bekas Menteri Kewangan itu turut menegur potongan peruntukan yang besar kepada Kementerian Pelajaran: "Perbelanjaan operasi dipotong 3% sementara perbelanjaan pembangunan dipotong 28%. Sebab itu, rakyat tidak teruja dengan pengumuman yuran sekolah rendah dan menengah akan dihapuskan kerana jelas penghapusan ini akan dibiayai melalui potongan peruntukan yang lain.
"Keadaan ini tidak ubah seperti Belanjawan 2011 bila mana Perdana Menteri secara senyap-senyap memotong peruntukan operasi pendidikan sehingga bilangan hari di asrama dan peruntukan lain dikurangkan. Makanya, rakyat akan tetap menanggung kos pendidikan yang dibayar kepada pihak sekolah, sama ada melalui sumbangan PIBG atau pelbagai bayaran lain yang terpaksa dikenakan oleh pihak sekolah bagi menampung kos operasi."
Dalam pada itu, saya tertarik dengan ulasan 19 cendekiawan Muslim, yang menggelarkan diri mereka "sekumpulan ilmuan Islam dan pendakwah tanahair" mengenai bajet. Antaranya termasuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Dr Zaharuddin Abd Rahman, Dr Maszlee Malik, Dr Zahazan Muhammad dan Dr Abdul Basit Abdul Rahman.
"Berdasarkan hasil perbincangan telus, sederhana akademik dan sifat non-partisan di antara beberapa peserta pertemuan ilmuan Islam dan pendakwah terlibat dalam pertemuan berkala ini, pihak kami menyambut bajet 2012 dengan perasaan bercampur-campur," kenyataan mereka bertarikh 8 Oktober dipetik.
Mereka turut bimbang dengan bajet yang kekal defisit dan peningkatan hutang. Dalam kenyataan bersama itu, mereka menyokong 24 item dalam belanjawan 2012. Manakala 10 item lain "sokongan bersyarat" dengan cadangan beberapa penambahbaikan, misalnya mengenai saluran bantuan yang wajar dikendalikan secara Islam, pemberian permit teksi individu, sistem pengangkutan di bandar dan risiko harga maksimum skim pinjaman rumah pertama.
Selain itu, mereka memberi kritikan terhadap 17 item lagi, di antara lain: Tiada sama sekali peruntukan untuk pembangunan urusan hal ehwal Islam sebagai agama persekutuan; peruntukan bagi sekolah-sekolah agama rakyat tiada disebut dan diabaikan; peruntukan untuk mengatasi gejala sosial yang semakin meruncing tidak diberi perhatian sama sekali; sekuriti dan isu keselamatan rakyat tiada peruntukan mencukupi; peruncit kecil terpaksa bersaing dengan harga barangan jualan Kedai IMalaysia yang 40% lebih rendah dari harga pasaran; serta cadangan pertambahan kadar keuntungan cukai harta tanah.
Mengenai bantuan one-off RM500 kepada isu rumah berpendapatan sebulan RM3000 dan ke bawah, mereka menegaskan: "Kami bimbang bantuan ini akan mencetuskan lambakan tunai ke dalam masyarakat yang boleh mengakibatkan peningkatan kadar inflasi akibat kenaikan harga barangan, justeru pihak kami mengharapkan kerajaan mengkaji dan merancang tatacara yang boleh digunakan bagi mengawal kenaikan harga barang agar tidak dinaikan sewenangnya akibat pengumuman ini, khususnya apabila ditambah dengan pemberian bonus sebanyak setengah bulan gaji kepada kakitangan awam."
Saya memandang positif usaha ilmuan dan pendakwah ini serta mengharapkan komitmen berterusan mereka untuk terus menyumbang idea dan saranan bagi kebaikan bersama. (IH)
No comments:
Post a Comment