Aku tak tahu mana Menteri Pertanian ni belajar.. Sasaran projek ternakan lembu milik Shahrizat, Laki dan Anak-anak ialah sebanyak 186,000 ekor setahun tetapi hasil yang telah dikeluarkan sejak tahun 2008 dan 2010 ialah 5,742 ekor lembu iaitu lebih kurang 1914 ekor setahun.. tak sampaipun 2% dari sasaran.. itupun dia kata Berjaya?ASD
JAWAPAN MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI MEMPERBODOHKAN RAKYAT
Kami merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Noh Omar di Parlimen semalam yang mempertahankan prestasi National Feedlot Corporation Sdn Bhd yang diterajui suami dan anak-anak Dato’ Seri Shahrizat Jalil.
Antara lain, Datuk Seri Noh Omar mengumumkan bahawa Barisan Nasional menganggap projek itu berjaya atas beberapa alasan seperti berikut:
Pusat Fidlot Kebangsaan telah membawa masuk sebanyak 8,016 ekor lembu di antara tahun 2008 dan 2010; kononnya bertepatan dengan sasaran untuk membawa masuk 8,000 ekor lembu menjelang tahun 2010;
Pusat Fidlot Kebangsaan telah menyembelih sebanyak 5,742 ekor lembu di antara tahun 2008 dan 2010; dan
Peruntukan dalam bentuk geran yang berjumlah RM13 juta dan pinjaman murah berjumlah RM250 juta belum diberikan sepenuhnya kepada Pusat Fidlot Kebangsaan.
Datuk Seri Noh Omar sewajarnya menyemak keseluruhan dasar dan sasaran kementeriannya sendiri sebelum membuat kenyataan tersebut, apatah lagi apabila projek Pusat Fidlot Kebangsaan adalah projek berimpak tinggi yang dikendalikan oleh kementeriannya di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).
Sasaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar adalah lebih tinggi daripada yang diumumkan oleh Datuk Seri Noh Omar, lalu menimbulkan persoalan sama ada menteri berkenaan berbohong untuk mengelirukan rakyat atau tidak menyemak angka-angka bersabit Pusat Fidlot Kebangsaan ini dengan pegawai-pegawai beliau.
Sasaran ini (dilampirkan bersama dengan kenyataan akhbar ini) dipaparkan secara jelas untuk diteliti oleh orang ramai di laman Jabatan Perkhidmatan Veterinar di alamat (lawat laman Jabatan Perkhidmatan Veterinar www.dvs.gov.my -> Pengeluaran Komoditi Ternakan -> Program Pengeluaran -> Projek Berimpak Tinggi – NFC):
http://www.dvs.gov.my/c/document_library/get_file?uuid=b4321724-2eb7-463a-86b9-6077bb3182a6&groupId=28711
Oleh yang demikian, prestasi Pusat Fidlot Kebangsaan untuk menentukan sama ada projek berimpak ini gagal atau berjaya perlulah diukur dengan sasaran-sasaran rasmi yang ditetapkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani seperti berikut:
JUMLAH TERNAKAN LEMBU
Pusat Fidlot Kebangsaan perlu menyediakan sekurang-kurangnya 60,000 ekor lembu fidlot setahun yang diternak di ladangnya di Gemas. Angka yang dicapai hanyalah 8,016 ekor antara tahun 2008 dan 2010; iaitu kurang dari 3,000 ekor lembu setahun.
Pada masa yang sama, sebagai integrator projek syarikat tersebut juga perlu membangunkan 310 penternak kecil seluruh negara dengan saiz ternakan 600 ekor setahun, menjadikan sasaran ternakan lembu sebanyak 186,000 ekor setahun. Sasaran ini gagal sama sekali kerana Pusat Fidlot Kebangsaan masih belum pun menjalankan skim untuk membangunkan penternak-penternak kecil.
Kementerian juga menetapkan supaya Pusat Fidlot Kebangsaan membangunkan sebuah ladang komersil bebas dengan sasaran 30,000 ekor setahun. Sasaran ini juga gagal kerana syarikat yang dikenalpasti telah menarik diri.
Oleh itu, sasaran keseluruhan ternakan lembu di bawah skim yang diusahakan oleh Pusat Fidlot Kebangsaan ini adalah 276,000 ekor lembu setahun, iaitu sasaran yang lebih munasabah berbanding dengan sasaran 8,000 ekor lembu menjelang tahun 2010 seperti yang disebut Datuk Seri Noh Omar.
JUMLAH DAGING YANG PERLU DIBEKALKAN DAN SEMBELIHAN
Kementerian menetapkan sasaran pengeluaran bekalan daging mencecah 50,000 tan setiap tahun menjelang 2009, iaitu memenuhi sasaran 40% permintaan daging Malaysia.
Mengikut perkiraan kasar dengan anggaran seekor lembu menghasilkan 150 kg daging mentah, sasaran 50,000 tan daging lembu setiap tahun bersamaan dengan penyembelihan sebanyak 330,000 ekor lembu setiap tahun. Sasaran penyembelihan ini bertepatan dengan sasaran ternakan lembu sebanyak 276,000 ekor lembu setahun seperti yang ditetapkan Kementerian.
Angka yang dicapai oleh Pusat Fidlot Kebangsaan hanyalah 5,742 ekor lembu disembelih di antara tahun 2008 dan 2010; jauh lebih rendah dari sasaran kebangsaan yang ditetapkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
KONSEP PELAKSANAAN PROJEK FIDLOT KEBANGSAAN
Kertas dasar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggariskan beberapa fungsi utama Pusat Fidlot Kebangsaan sebagai integrator projek; termasuklah membangunkan penternak satelit, membekalkan baja organik, membekalkan makanan ternakan bermutu, membina rangkaian pemasaran dan lain-lain.
Sehingga kini, semua fungsi lain yang diamanahkan masih belum dilaksanakan. Malah, bekalan daging yang disembelih (anggaran 20 ekor sehari seperti yang dimaklumkan pekerja di ladang yang ditemuramah) sebenarnya dibekalkan kepada restoran-restoran mewah milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil di bawah jenama-jenama Meatworks, Senor Santos dan Brawns (turut beroperasi di Singapura).
Ini bertentangan dengan kaedah dan konsep asal penubuhan Pusat Fidlot Kebangsaan yang bertujuan mewujudkan rangkaian pemasaran menyeluruh dan membekalkan daging mentah ke seluruh negara, bukannya menjadi pusat penyembelihan peribadi untuk restoran-restoran mewah milik keluarga menteri.
DANA KEWANGAN
Datuk Seri Noh Omar menyebut bahawa tidak ada sebarang percanggahan kepentingan (conflict of interest) di dalam projek ini dan dana masih belum dibayar sepenuhnya kepada Pusat Fidlot Kebangsaan.
Setakat ini, sebanyak RM6 juta geran peruntukan dan RM135 juta pinjaman berkadar rendah telah diberikan kepada Pusat Fidlot Kebangsaan.
Melihatkan kepada prestasi seperti yang dihuraikan di atas, jumlah ini adalah satu jumlah yang besar dan membazir memandangkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sendiri menggariskan anggaran kos sebanyak RM6.37 juta untuk mengusahakan ladang ternakan 9,000 ekor setahun dengan pulangan keuntungan 27.59% setahun.
Oleh itu, kos yang telah dibelanjakan sebanyak RM141 juta untuk menternak 8,000 ekor lembu selama 3 tahun (purata 3,000 ekor setahun) adalah 22 kali ganda lebih mahal berbanding anggaran kos yang dibuat oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Huraian-huraian di atas secara jelas membongkarkan kedangkalan Datuk Seri Noh Omar yang seolah-olah cuba memperbodohkan rakyat apabila mengumumkan jumlah ternakan lembu 8,000 ekor selama 3 tahun adalah satu kejayaan negara. Rakyat Malaysia boleh mengira dan faham bahawa peruntukan RM141 juta setakat ini untuk menternak 8,000 ekor lembu adalah melampaui batas.
Oleh kerana Dato’ Seri Shahrizat Jalil masih belum bersuara dalam perkara ini, seperti yang dijanjikan minggu lepas, KEADILAN akan menganjurkan satu rombongan menjejaki lembu di Pusat Fidlot Kebangsaan pada hari Khamis 3 November 2011 dengan diketuai oleh YB Aminuddin Harun (ADUN Sikamat), Saudara T Kumar (Timbalan Setiausaha Agong) dan Saudara Fariz Musa (Ahli Majlis Pimpinan Pusat) untuk meninjau sendiri prestasi Pusat Fidlot Kebangsaan.
YB ZURAIDA KAMARUDDIN, KETUA WANITA KEADILAN/AHLI PARLIMEN AMPANG
RAFIZI RAMLI, PENGARAH STRATEGI KEADILAN
noh omar pun serupa macam lembu jugak, semakin hari semakin membesar tapi akal tadak. org2 umno pun sama senang dikelentong
ReplyDeleteDuit punya pasal, sanggup jadi lembu.
ReplyDelete