Friday, January 14, 2011

Taktik terbaru Umno : Sikit-sikit raja, sikit-sikit istana

Isu SUK : ADUN Umno Didakwa Peralat Istana


SHAH ALAM 14 JAN : Adun Umno sekali lagi memperalatkan Istana untuk mencapai hasrat mereka memulau siang Dewan Negeri Selangor bagi memulihkan kuasa-kuasa Sultan dan Menteri Besar untuk melantik pegawai-pegawai eksekutif kerajaan negeri.

Pakar undang-undang Profesor Dr Aziz Bari berkata alasan ADUN Umno kononnya Pakatan Rakyat tidak mendapatkan pekenan Sultan untuk mengadakan sidang itu tidak masuk akal kerana sememangnya tidak ada keperluan sebegitu.

Beliau berkata hakikat ialah Umno sendiri yang menghakis kuasa Sultan dan kini mengangkat diri sebagai pembela istana di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

"Jadi kita harus faham bahawa dalam peruntukan undang-undang kuasa itu secara formalnya diletakkan di tangan Yang Dipertuan Agung ataupun Sultan ataupun Yang DiPertua Negeri tapi secara formal. Maka kuasa itu tidak boleh dillihat sebagai kuasa mutlak untuk menyekat atau mengawal dewan, kalau begitu maka bukan Raja Berperlembagaan seperti yang dikatakan," jelas beliau.

Aziz berkata Umno Selangor sengaja berdolak dalih dalam isu memulihkan kuasa Sultan dan menggunakan pelbagai helah untuk mengelak daripada menghadiri sidang DUN pada 24 Januri.

"Sekarang ini apabila Umno sudah lemah, apabila Pakatan Rakyat sudah memerintah di beberapa negeri, dan hampir pada satu ketika membentuk kerajaan pusat, maka Umno bawa cerita ini," tegas beliau lagi.

Beliau seterusnnya berkata, pihak kerajaan dan orang awam perlu memahami bahawa kuasa yang diperuntukkan kepada sultan tidak boleh dijadikan alasan menghalang sidang DUN.

Kata beliau lagi, tidak masuk akal sekiranya kuasa yang diperuntukkan kepada Sultan buat masa ini adalah kuasa mutlak untuk mengadakan sidang DUN.

"Bagaimana kalau ia menjadi soal undi tak percaya? Takkanlah Sultan nak menyelamatkan kerajaan, sedangkan kerajaan yang menghadapi undi tak percaya untuk menyelamatkan dia, kalau kebetulannya Sultan suka kerajaan itu? Jadi itu yang harus kita faham dan dapat melihat dengan betul, bahawa konteks dan kedudukan sebenar Sultan hanya sebagai pemegang kuasa formal sahaja," tegas beliau.

Kerajaan PR tidak sekat pelajar berdemo, kerajaan BN jangan harap la

Kedah tidak sekat pelajar bersuara

ALOR SETAR, 13 Jan: Kerajaan Negeri Kedah tidak akan menyekat kebebasan bersuara sekiranya ia disalurkan melalui saluran yang betul dan mengikut prosedur.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak kepada media semalam sebagai mengulas perhimpunan aman yang telah diadakan oleh pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Selasa lalu.

Menurut beliau lagi, tindakan para pelajar KUIN membuat demonstrasi aman tersebut adalah hak mereka untuk menuntut supaya beberapa isu yang bersabit dengan mereka diberi perhatian dan penambahbaikan.

"Sehingga ini belum ada mana-mana negeri pun dalam negara ini yang memberi peluang kepada penuntut IPT untuk mengadakan demonstrasi dalam kampus sepertimana yang dilakukan oleh pelajar KUIN. Ini membuktikan sikap keterbukaan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi mendengar luahan rasa pelajar.

"Dengan perhimpunan tersebut, kita dapat lihat masalah yang selama ini membelenggu mereka. Setelah adanya gerakan tersebut, maka tindakan segera diambil bagi menyelesaikan masalah yang timbul.

"Ini suatu pengalaman kepada para pelajar untuk berani menzahirkan pandangan mereka supaya sentiasa berani dalam menangani masalah yang mereka hadapi. Ia juga membuktikan pelajar KUIN adalah mereka yang pro-aktif, " ujarnya lagi.

Selasa yang lalu pelajar KUIN telah mengadakan bantahan secara aman menuntut supaya masalah yang dihadapoi oleh mereka diberi perhatian.

Antaranya ialah meminta supaya kemudahan pembelajaran dilengkapkan, kenaikan yuran pengajian, perkhidmatan pengangkutan yang tidak memuaskan dan beberapa masalah lain yang melibatkan kebajikan mereka.

Laman Harakahdaily antara paling popular

KUALA LUMPUR, 14 Jan: Harakahdaily telah disenaraikan oleh Institut Akhbar Malaysia (IAM) atau Malaysian Press Institute - MPI sebagai laman web Malaysia yang paling tinggi jumlah muka yang dibaca bagi setiap pelawat laman web negara ini.

Menurut IAM, purata muka surat yang dibuka oleh setiap pelawat Harakahdaily adalah adalah 38 muka berbanding portal berita paling popular di Malaysia iaitu Thestar.com.my iaitu 18 manakala Malaysiakini 33.

Ini bermakna, setiap pelawat Harakahdaily, secara puratanya membuka 38 muka laman web itu.

Angka ini diperolehi oleh IAM berdasarkan maklumat pada bulan Julai 2010.

IAM juga menyenaraikan Harakahdaily sebagai salah satu laman portal berita yang paling popular.

Menurut buku daftar media edisi 2011 yang dikeluarkan oleh MPI itu, Harakahdaily berada di tempat ke lapan dalam senarai laman portal berita dari Malaysia.

Laman portal berita Malaysia paling popular berdasarkan jumlah Unique Visitors adalah milik akhbar The Star iaitu thestar.com.my dan diikuti oleh Malaysiakini. Ia dibuat berdasarkan jumlah Unique Visitors untuk laman berkenaan.

Menurut MPI, Harakahdaily mempunyai 200,000 Unique Visitors berbanding dengan laman paling tinggi The Star iaitu 788,000 Unique Visitors manakala Malaysiakini 547,000.

Bagaimanapun, tempoh masa yang diambil oleh setiap pelawat Harakahdaily bagi setiap minit lebih tinggi berbanding The Star. Purata masa setiap minit bagi setiap pelawat bagi Harakahdaily adalah 19.1 manakala The Star adalah 16.2 dan Malaysiakini 16.3.

Menurut Datuk Chamil Wariya, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IAM dalam kata pengantar buku ini, angka yang diperolehi ini bergantung kepada angka yang disahkan oleh dua badan iaitu Audit Bureau Circulation (ABC) dan Nielson Media Research.

Dalam buku itu, IAM juga menyatakan, akhbar paling laris di Malaysia pada tahun 2009 adalah Metro Ahad iaitu sebanyak 404,994 purata naskah sehari diikuti oleh akhbar Cina, Sin Chew Daily (380,742).

Metro Ahad juga mengungguli dalam kelas Akhbar Bahasa Malaysia yang paling laris.

Untuk Bahasa Inggeris pula, akhbar paling laris adalah Sunday Star iaitu sebanyak 295,815 naskah.

TV3 pula, menurut IAM adalah saluran tv yang paling popular iaitu menguasai sebanyak 30.3 peratus penonton pada tahun 2009. Namun peratusannya semakin menurun berbanding tahun-tahun sebelum ini iaitu 33 peratus (2007) dan 32 peratus (2008).

Ia diikuti oleh saluran TV2 iaitu menguasai 10.3 peratus pada tahun 2009, TV9 (8.7 peratus) dan NTV7 (6.1 peratus). TV1 berada ditangga ke enam dalam senarai IAM itu.

Kita harimau tak perlu diajar mengaum

JOHOR BAHRU, 15 Jan: Lebih 300 mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memeriahkan Majlis Pelancaran Jentera Pro Mahasiswa UTM walaupun hujan renyai-renyai turun membasahi bumi UTM Skudai.

Majlis yang pada asalnya dirancang untuk diadakan di hadapan bilik 24 jam PSZ telah ditukar ke Dataran Agora bagi menghormati permintaan pejabat Hal Ehwal Mahasiswa.

Walau bagaimanapun, disebabkan hujan turun, tempat majlis itu dipindahkan sekali lagi di hadapan Masjid Sultan Ismail.

Hujan yang turun tidak menghalang warga kampus termasuk staf dan pensyarah untuk hadir mendengar ucapan pemimpin mahasiswa.

Dalam majlis ringkas itu, Pengerusi Pro Mahasiswa UTM, Leftenan Muda Ku Abdul Muhyi telah menyampaikan penerangan berkenaan moto ‘Pro Mahasiswa Pro Universiti’ yang akan diguna pakai oleh jentera Pro Mahasiswa dalam pilihan raya kampus akan datang.

“Kita kena sedar bahawa kita sekarang mendokong aspirasi universiti, mendokong gagasan Datuk Naib Canselor dalam memacu UTM ke mata dunia. Kita akan menyokong apa yang baik dan mengkritik apa yang tidak baik,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, Pro Mahasiswa Pro Universiti bukan bermaksud pro kepada mana-mana pihak sebaliknya akan bersama-sama semua pihak yang ingin menjayakan gagasan universiti yang ada pada hari ini.

Beliau juga mengingatkan kepada seluruh mahasiswa agar tidak takut untuk bersama Pro Mahasiswa atas dasar gagasan yang dibawa oleh Pro Mahasiswa tidak bercanggah dengan visi dan misi universiti.

Berikutan kes ugut senior yang disahkan sebagai salah seorang penggerak utama Evolusi UTM ke atas aktivis ProM Tahun 1, Ku Abdul Muhyi juga mengingatkan kepada mana-mana pihak agar tidak mencabar Pro Mahasiswa dengan bertindak sesuka hati tanpa mengikut peraturan.

“Jangan cabar kita. Kita adalah harimau yang tidak perlu diajar untuk mengaum,” tegasnya.

Turut berucap petang tadi ialah dua orang wakil duta Pro Mahasiswa yang baru dilantik iaitu Munzir Musa dan Saudari Khairulwafa’.

Sokongan mahasiswa kepada Pro Mahasiswa dilihat semakin meningkat dan dijangka memberi harapan cerah untuk gelombang oren menawan UTM.

Utusan mula menekan pekerja sendiri

Utusan Gantung Kerja Presiden NUJ


KUALA LUMPUR 15 JAN : Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari akan digantung kerja mulai Isnin ini hingga proses siasatan dalam oleh majikannya Utusan Melayu Bhd berhubung komen-komennya di media selesai.

"(Saya) dah kena gantung kerja tak boleh pergi pejabat lagi dan tak boleh keluar dari rumah gua," tulis Hata dalam SMS lapor Malaysiakini hari ini.

Hata enggan mengulas lanjut tetapi menghantar Malaysiakini sesalinan surat penggantungan kerja yang bertarikh 11 Januari lalu.

"Setelah mengambilkira keadaan sekeliling dan keseriusan dakwaan salah laku tuan, maka Syarikat akan menggantung perkhidmatan tuan bermula dari 17 Januari 2011 hingga proses siasatan dalaman terhadap tuan selesai," petik surat yang ditandatangani oleh pengurus besar, jabatan sumber manusia, Utusan Melayu.

Menurut surat itu lagi, sepanjang tempoh penggantungan kerja, Hata tidak dibenarkan memasuki mana-mana premis Utusan Melayu kecuali jika beliau dikehendaki hadir untuk memberi penjelasan atau mendapat kebenaran pihak syarikat terlebih dahulu.

"Sila maklumkan kepada syarikat alamat terkini surat menyurat serta nombor telefon kediaman dan telefon bimbit sebelum tuan meninggalkan kawasan syarikat kepada ketua jabatan tuan.

"Sepanjang tempoh penggantungan perkhidmatan ini, tuan diminta sentiasa berada di tempat yang boleh dihubungi oleh pihak syarikat dan tuan tidak dibenarkan keluar daripada lingkungan tempat tinggal," petik surat itu lagi.

Sebelum ini, Hata diberi surat tunjuk sebab dan dikenakan siasatan dalaman kerana didakwa menyindir pengurusan Utusan serta memburukkan imej syarikat berikutan komennya dalam pelbagai akhbar, terutama portal berita, antaranya mengkritik Utusan Malaysia.

Selepas dipilih menjadi presiden baru NUJ, Hata membawa pendekatan berbeza berbanding penyandang sebelumnya Norlela Daud yang lebih 'diam'. Kesatuan itu mempunyai keanggotaan daripada kira-kira 1,300 wartawan.

Pandangan dan kritikan terbukanya - seperti isu pemilikan Umno, kejatuhan edaran akhbar dan 'kelemahan' pengarang Utusan - dilihat meresahkan banyak pihak, sehingga akhbar itu, memetik pihak tertentu, dilapor mempersoal sama ada Hata penyokong tegar pembangkang.

Jika dipecat, Hata bukan wartawan pertama dari Utusan yang akan menerima nasib sedemikian. Ini kerana pada 3 September 2009, Utusan turut menjalan siasatan, seterusnya memecat Presiden NUJ cawangan Utusan Amran Ahmad selepas didapati bersalah menfitnah syarikat itu susulan aduannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pusat Khidmat ADUN Sri Muda diserbu polis


SHAH ALAM 15 JAN : Polis menyerbu Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei dan merampas peralatan komputer milik beliau bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghina Sultan Selangor melalui blognya.

Serbuan jam 11.30 pagi semalam dilakukan sekumpulan anggota polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor.

Shuhaimi berkata, serbuan tersebut tidak disertakan waran, bagaimanapun beliau memberikan kerjasama penuh kerana merasakan pegawai polis yang ditugaskan juga bekerja di bawah tekanan dan arahan tertentu.

Menurutnya, beliau diberitahu petugas pejabat, polis akan datang pada 11.30 pagi mencari komputer yang dikatakan digunakan untuk memuat naik bahan seperti mana yang dibuat dalam aduan polis ke atasnya.

"Polis merampas satu unit pemprosesan pusat (CPU), monitor, papan kekunci dan beberapa kad nama. Mereka cadang hendak ambil semua, saya kata tidak boleh sebab aduan ke atas saya. Jadi ambil komputer sayalah. Saya tidak tahu apa yang diambil tetapi saya berharap mereka bertindak dengan profesional, fokus kepada isu yang berbangkit.

"Polis tidak hubungi saya tetapi hubungi pejabat saya. Inilah tindakan yang kita katakan tidak sepatutnya berlaku. Kalau saya yang disiasat, maklumkan kepada saya kita akan memberikan kerjasama penuh. Kita minta polis juga profesional," katanya.

Beliau berkata, serbuan dilakukan oleh 13 anggota polis dari unit Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) termasuk anggota yang berkawal di pintu pejabat serta tiga CSI.

Dalam pada itu katanya, sehingga kini tiada perkembangan lanjut berhubung kenyataan yang dikeluarkan melainkan rampasan komputer milik beliau.

Beliau juga akan mempertimbangkan dengan serius untuk menyaman Utusan Malaysia dan Awang Selamat.

"Saya minta polis segera menyiasat Awang Selamat yang memfitnah dan memutarbelitkan kenyataan, mengambil separuh daripada artikel yang ada di Internet, menggunakan itu untuk menimbulkan keadaan seolah-olah saya menderhaka (kepada sultan)," katanya.

Walaupun akhbar tersebut lidah rasmi UMNO, katanya, ia seharusnya lebih beretika dalam mengeluarkan pandangan supaya apa yang disiarkan boleh menyedarkan masyarakat dan memberikan manfaat bukan memburukkan keadaan.

-SINAR HARIAN-

Jangan mudah 'diperlembu' Umno

Cukuplah-Jangan 'Lembukan' Rakyat


Artikel ; Pembaharuan yang akan dilakukan oleh PR jika diberi memerintah hanya memakan belanja RM19.2 billion sahaja dan bukannya RM51 billion seperti perancangan BN yang diumumkan oleh Najib. Najib memberi reaksi yang merendah-rendahkan perancangan PR itu.

Sebenarnya jumlah yang diperlukan untuk pembangunan dan transformasi itu berbeza diantara satu dengan yang lain. Jumlah peruntukkan untuk sesuatu projek yang sama juga berbeza bergantung kepada cara pengendalian projek-projek tersebut dan juga samada ada elemen tumbuk rusuk dan peruntukkan untuk rasuah didalam kos projek-projek tersebut.

Sebahagian besar kos itu ialah untuk pembayaran 'consultancy' yang lazim berlaku didalan sesuatu cadangan projek pembangunan untuk membayar mereka yang berkuasa dalam pembahagian projek-projek tersebut.

Oleh yang demikian jika Anwar Ibrahim mengatakan yang kos untuk pembaharuan dan transformasi ekonominya hanya melibatkan RM19 billion berbanding dengan RM 51 billion itu memang ada asasnya. Kita semua tahu banyak projek-projek pengswastaan selalunya melibatkan kos yang terlalu tinggi kerana terlalu banyak ketirisan kerana sifat tidak amanah dan tamak yang tidak terbatas dikalangan mereka yang berkuasa.

Apabila ada sahaja projek yang besar untuk rakyat kosnya akan ditingkatkan untuk mendapatkan kembali sebahagian dari kos itu sebagai imbuhan selain dari gaji yang telah ditetapkan. Bagi mereka sebahagian dari keuntungan besar itu mesti kembali kepada pegawai dan mereka mereka yang berkuasa. Mereka yang tidak amanah ini tidak segan dan silu untuk menerima rasuah seolah-olah memang sudah menjadi hak mereka untuk berbuat demikian. Bagi mereka yang sudah biasa dengan rasuah ini mereka akan terus rasuah walau pun itu kerja yang hina. Memakan rasuah ini ibarat makan petai; walaupun petai itu busuk tetapi ramai yang berselera makan jika ada ulam petai.

Itulah sebabnya kos pembangunan kendalian kita sangat tinggi kerana terlalu banyak kos 'variable' yang tidak berpatutan yang timbul dalam sesuatu projek itu. Semuanya itu adalah ketirisan yang sengaja diadakan untuk kepentingan setengah pihak yang tidak jujur dan telus melaksanakan amanah yang telah diberikan kepada mereka.

Akhirnya rakyatlah yang terpaksa membayar segala wang kerajaan yang datangnya dari rakyat melalui berbagai macam cukai dan duty. Jadi jika ada rancangan yang lebih murah dari apa yang dirancang oleh pihak pemerintah sekarang kenapa pula dijadikan isu?

Bagaimana pula pemimpin kita mengatakan yang jika diikut perancangan PR negara akan jadi bangkerap sedangkan perancangan yang dicadangkan oleh kerajaan sekarang adalah lebih tiggi dan akan menggunakan wang rakyat? Bagaimana mungkin yang berbelanja lebih kecil boleh membawa lebih kebarangkalian untuk bangkerap dari kita yang akan membelanjakan lebih dari 2 kali ganda dari jumlah yang mereka rancangkan untuk dibelanjakan itu?

Jika RM19 billion boleh membawa pembangunan yang sama dengan perancangan yang akan membelanjakan RM51 billion, tidak salah kalau rakyat memilih yang lebih murah..bukan gitu? Masalahnya kita selalu memandang rendah kepada kemampuan orang lain sedangkan kita tidak sedar yang kita tidak pun mampu untuk membentuk sifat memikirkan untuk membentengi rakyat dari kerugian. Tetapi slogan semuanya hebat-hebat, tetapi bak kata perbilangan, 'wal hasil balik asal' sahaja.

Najib berkata yang nasib cucu kita akan tergadai jika PR memerintah. Tetapi sedarkah kita semua yang kita ditolak adalah disebabkan masalah yang sama? Rakyat menolak kita kerana mereka memikirkan yang UMNO tidak lagi boleh menjamin masa depan generasi yang akan datang. Maka kita hampir kecundang didalam pilihanraya dahulu.

Rakyat sudah jemu untuk bergiat mempertahankan UMNO kerana rakyat yang ramai hanya memandang dan memerhati dengan air lior yang meleleh melihat hanya kumpulan peniaga dan ahli koporat yang sama menikmati perjuangan orang ramai menegakkan UMNO dan BN. Balik-balik kita dengan MMC-Gamuda, YTL, dan beberapa kumpulan yang lain yang diberikan keistimewaan sedangkan yang berpeluh dan berkeringat mempertahankan BN adalah rakyat biasa.

Jadi pemimpin kita hendak jadikan rakyat ini sebagai apa? Projek raksaksa yang puluhan billion senang sahaja diperolehi oleh mereka yang rapat dengan pucuk pimpinan sedang rakyat dibawah terpaksa kehulu kehilir untuk mendapatakan biasiswa dan penajaan untuk melanjutkan pelajaran. Dimana kah dia slogan yang mengatakan rakyat didahlukan itu? Hakikatnya slogan itu hanya tin kosong sahaja, tetapi diajak rakyat menyanyikannya siang dan malam.

Rakyat ramai hanya disuruh arah sahaja ibarat kerbau disawah; membajak dari pagi hingga kepetang sedangkan tikus kenyang dan gemuk dikepuk padi. Yang berat-berat disuruhnya rakyat untuk memikul tetapi YTL, Gamuda, MMC dan syarikat kroni yang lain yang membaham segala nikmat hasil perjuangan rakyat yang biasa tadi.

Sekarang rakyat sedang memerhatikan tingkah dan laku pucuk pimpinan kita. Jika masih tidak berubah sikap dan nilai kepimpinannya rakyat akan tinggalkan UMNO dan BN kali ini. Saya bukan ahli nujum atau pun seorang yang kashaf untuk mengetahui apa yang berlaku dimasa yang akan datang.

Tetapi dengan hanya menggunakan kekuatan akal yang diberikan Tuhan itu sudah cukup untuk menelah yang BN akan terjerumus kelembah yang lebih dalam lagi dalam pilihanraya yang akan datang. Apabila sampai ketahap itu nanti, jangan menyalahkan pihak lain pula.

Pemimpin yang tidak jujur akhirnya akan kesaorangan ibarat anjing yang menjilat lukanya sendiri. Saya berharap apa yang saya jangkakan ini semuanya salah. Tetapi 'intuition' saya tetap mengatakan yang BN akan kecundang dibanyak lagi kawasan.Kita tidak payah nak panggil semua Ahli Parlimen untuk bertanya kerana keputusannya adalah 'predictable'. Kita akan menghadapi jalan sukar.

UMNO patut mula belajar untuk menyalahkan diri sendiri sebelum menyalahkan pihak lain. Rakyat bukannya berpihak kekumpulan yang lain kerana suka-suka. Mereka lari dari kita kerana mereka sudah meluat dengan sikap dan perangai kita dan kebanyakan rakyat sudah tidak sabar lagi menyaksikannya.

Perasaan luka yang dialami rakyat bukannya kecil. Selama ini kepimpinan kita sudah terlalu leka dengan kuasa yang mereka masih anggap sebagai hak dan kepunyaan BN sahaja. Anggapan seperti ini ternyata salah.

Ingatkan dan tandakan apa yang saya cakapkan hari ini. Jangan menyesal apabila sudah terjatuh didalam gaung yang dalam. Takut-takut tidak berdaya memanjat tebing untuk naik keatas.

Khairy, Nazri tak mampu berdebat tapi nak tunjuk hebat

Khairy, Nazri Bukan Tandingan Anwar


Artikel : Sebagai seorang warganegara Malaysia, saya begitu berharap debat antara Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi kenyataan, terutama menjelang Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13).

Debat seumpama ini akan menjadi perintis kepada politik yang lebih sihat, supaya rakyat diberi peluang yang seluasnya bagi mengetahui agenda-agenda parti yang bakal dipilih oleh mereka untuk meneraju negara. Oleh sebab itu, sesiapa sahaja sama ada dalam Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) seharusnya berlapang dada dan mengharapkan debat antara kedua-dua tokoh tersebut akan berlangsung.

Kedua-dua Najib dan Anwar mempunyai pengalaman yang hampir seimbang dalam memimpin negara. Najib mempunyai kelebihan dari segi kejayaannya sehingga ke kemuncak kuasa, di samping laluan politiknya yang tidak berliku-liku.

Anwar pula mempunyai kelebihan dari segi jaluran politiknya yang penuh berwarna-warni, bermula daripada politik Islam sehingga politik plurality. Kini kedua-dua mereka seperti berada di persada yang seimbang, Najib sebagai Perdana Menteri manakala Anwar sebagai Ketua Pembangkang. Dengan melihat kepada aspek-aspek tersebut sememangnya debat antara kedua-dua mereka begitu dinanti-nantikan.

Wacana-wacana terbuka antara tokoh-tokoh politik seperti ini merupakan satu langkah positif ke arah menyebarkan pendidikan politik. Seperti yang sering diulang-ulangkan oleh Najib, zaman kerajaan tahu segala-galanya telah berlalu. Demikian juga, zaman momokan hanya BN yang patriotik sedangkan pembangkang adalah pengkhianat negara juga telah berlalu.

Dalam sebuah negara demokrasi, kedua-dua parti yang menerajui kerajaan dan yang menjadi pembangkang mempunyai tanggungjawab yang sama kepada negara. Melalui persaingan siapakah yang dapat menyempurnakan tanggungjawab yang terbaik, dialah yang bakal dipilih oleh rakyat.

Pemilihan pemimpin yang terbaik dalam menunaikan tanggungjawab adalah idaman semua manusia. Para ilmuan dari seluruh peradaban sering berbicara tentang pemimpin yang seperti ini sama ada Plato, Kung Fu Tze, Kautilya dan al-Mawardi.

Secara sejagatnya kesemua mereka mengharapkan pemimpin yang berilmu, bermoral dan berintegiriti. Dengan adanya elemen-elemen tersebut, maka rakyat dapat mengharapkan tertegaknya keadilan dan kebajikan. Perbahasan-perbahasan para ilmuan itu sehingga hari ini kekal dalam lembaran-lembaran ilmu dalam bentuk bahasa-bahasa retorik.

Bagaimanapun, seseorang pemimpin politik dari dahulu hingga kini, jarang menggunakan bahasa-bahasa retorik. Sebaliknya mereka lebih gemar menggunakan bahasa-bahasa politik, iaitu bahasa yang sering difahami dengan mudah oleh rakyat.

Dengan pengertian lain, peranan bagi seseorang pemimpin politik yang berwibawa ialah menterjemahkan bahasa retorik tentang kenegaraan kepada bahasa politik untuk memahamkan rakyat.

Di sinilah letaknya kepentingan wacana politik sama ada bercorak ceramah, diskusi atau debat. Menyedari hakikat tersebut, debat antara Najib dan Anwar itu bukanlah membazir masa, bahkan sangat perlu dalam mendidik rakyat tentang politik kenegaraan.

Sangatlah malang bila terdapat pula pihak-pihak lain yang ingin "kacau daun" untuk menggagalkan debat ini atau mungkin mempunyai agenda tersendiri. Antara mereka ialah Datuk Seri Nazri Aziz dan Khairy Jamaluddin.

Dari segi kedudukan politik, awal-awal lagi kedudukan politik mereka berbanding Anwar adalah tidak seimbang. Nazri Aziz hanya seorang menteri biasa yang tidak ada jawatan-jawatan kanan dalam parti, manakala Khairy pula seorang yang ada jawatan kanan dalam parti tetapi tiada apa-apa dalam Kabinet. Sepatutnya kedua-dua mereka mencari lawan yang sesuai supaya tidak ditanggapi mereka mempunyai agenda tersendiri dalam berdebat.

Dari segi kewibawaan peribadi pula, kedua-dua Nazri dan Khairy belum mempunyai wibawa untuk menandingi Anwar. Kebetulan saya mempunyai pengalaman berdialog atau mungkin juga boleh dikatakan berdebat dengan mereka.

Dengan Nazri perdebatan secara tidak langsung manakala dengan Khairy perdebatan secara langsung. Perdebatan secara tidak langsung dengan Nazri ialah ketika saya bersama beberapa yang lain membantu persiapan Salahuddin Ayub berdebat dengan Nazri berhubung dengan Isu "Penarikan Geran Perkapita Sekolah Agama Rakyat".

Perdebatan yang berlangsung pada 17 Februari 2003 itu memperlihatkan kedangkalan Nazri dalam berhujah, semata-mata bergantung kepada janji harapan untuk mengembalikan geran itu setelah pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad berakhir.

Hujah-hujah yang dikemukakan oleh Salahuddin lebih mantap bersama-sama dengan fakta-fakta yang berkaitan. Manakala Nazri pula lebih bersifat cuba "menegakkan benang basah" dengan jaminan sekolah agama rakyat tidak akan dipinggirkan, walaupun hakikatnya dengan penarikan geran perkapita itu bererti satu peminggiran.

Sesiapa yang menyaksikan debat pada malam itu di Dewan Bahasa dan Pustaka, boleh menilai apakah kewibawaan Nazri setara dengan Anwar atau tidak? Sekiranya berlangsung juga perdebatan antara Nazri dan Anwar, tiada apa yang berfaedah melainkan menyelamatkan Najib daripada cabaran itu.

Manakala dengan Khairy pula berlaku secara langsung semasa Forum Intelektual tentang "Malaysia and Its Competetiveness in the Future" di UIA pada 27 Julai 2010. Forum itu juga disertai oleh Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Dr Marzuki Mohammad.

Saya hadir dalam forum tersebut sebagai "bidan terjun" menggantikan seorang sahabat yang berkeuzuran, dan hanya dimaklumkan beberapa jam sebelum forum. Saya juga terpaksa hadir lewat sedikit disebabkan mempunyai komitmen kerja sehingga hampir malam. Tujuan saya hadir untuk mengemukakan tiga point penting iaitu:

a. Competitiveness sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada sektor ekonomi semata-mata tetapi juga faktor-faktor lain termasuklah demokrasi yang telus, pentadbiran yang bersih, kebebasan akademik dan lain-lain.

b. Kesemua faktor-faktor yang menyokong kepada peningkatan daya saing negara itu telah diruntuhkan semasa era pemerintahan Dr Mahathir, seperti kebebasan kehakiman, dan dasar pengasingan kuasa.

c. Bagi memulihkan semula daya saing itu, perlu dilakukan reformasi sistem atau dasar bukan sekadar meletakkan pemimpin-pemimpin yang baik. Pemimpin-pemimpin yang baik bukanlah satu jaminan reformasi ke arah kebaikan akan berlaku.

Walaupun, Khairy mempunyai "golden chance" untuk memukul ahli-ahli panel lain kerana beliau diletakkan di giliran terakhir semasa penggulungan, saya lihat ketiga-tiga point yang saya kemukakan tidak tergugat.

Yang paling menarik, bila saya menyatakan bahawa faktor-faktor yang berkaitan dengan daya saing negara telah runtuh semasa era Dr Mahathir, Khairy hanya mengulas: "no comment" dengan nada mengiyakan apa yang berlaku.

Strategi saya memerangkap Khairy dengan "memuji" kepimpinan Pak Lah yang cuba membaiki kerosakan yang dibuat oleh Dr Mahathir benar-benar mengena.

Oleh sebab itu, pada pandangan saya Khairy juga belum layak untuk berdebat dengan Anwar. Perdebatan Khairy dengan Anwar tidak lebih daripada untuk menaikkan semula dirinya dalam dunia percaturan politik Umno.

Berdasarkan pengalaman-pengalaman itu, saya melihat Nazri dan Khairy tidak sepatutnya menjadi "pengacau" ketikamana pelbagai pihak berusaha untuk menjayakan debat antara Najib dan Anwar.

Berikan peluang keemasan kepada rakyat Malaysia untuk menyaksikan satu perdebatan bersejarah yang akan menjadi titik tolak kepada budaya politik yang lebih sihat di negara ini.

* Dr Mohd Zuhdi Marzuki ialah Pengarah Institut Kajian Polisi (IPS) and Ahli Dewan Pemuda PAS Pusat

Gelombang biru dah tak mampu menandingi gelombang hijau

Gelombang Hijau: Umno Terengganu Mulai Cemas



Artikel :Sabtu, 15 Januari bakal menjadi satu lagi titik penting dalam sejarah PAS, khususnya di Terengganu. Belasan ribu pendukung segenap peringkat parti dari seluruh negeri itu dijadualkan membanjiri Dataran Tok Guru di Kampung Geliga, Kemaman.

Mereka bakal menjayakan program Himpunan Kebangkitan Rakyat - PAS Ganti Umno (HKR-PGU), salah satu mata rantai aturcara menyempurnakan agenda utama dilancarkan parti di peringkat Pusat beberapa bulan lalu. Himpunan itu diharap menjadi pencetusan gelombang kebangkitan rakyat Terengganu menolak Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Melalui himpunan ini kita (PAS negeri) harap dapat membentuk persepsi rakyat bahawa Umno sudah tidak relevan dan perlu diganti. Sebab itu kita mengajak semua lapisan rakyat Terengganu bersama kita," ujar Pegawai Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Abdullah.

Beliau yang juga Setiausaha Jawatankuasa Panitia HKR-PGU bahkan memaklumkan pihaknya telah terlebih dahulu menyebarkan maklumat dan membangkitkan kesedaran di kalangan rakyat negeri itu mengapa mereka perlu menolak Umno.

Secara khusus, katanya, agenda itu dimulakan 24 Disember lalu. PAS Terengganu telah menganjurkan Seminar PAS Ganti Umno di Markas Tarbiyah PAS Kuala Terengganu. Himpunan sepetang itu dikatakan mendapat sambutan luar dugaan.

"Alhamdulillah, kita jangkakan hanya sekitar 700 yang akan datang, tapi petang itu lebih 1,200 orang kita hadir dari seluruh negeri," katanya.

Bagi beliau dan kepimpinan PAS negeri, kesungguhan ditunjukkan para pemimpin dan pendukung parti di segenap peringkat itu adalah petanda amat membanggakan. Ia menandakan wujud kesedaran agak tinggi di dalam masyarakat untuk menjayakan agenda dicanangkan parti.

Tidak syak lagi, kejayaan seminar itu membakar semangat kepimpinan PAS Terengganu untuk menapak dengan lebih yakin menyempurnakan misi PGU itu. Himpunan di Kemaman ini adalah siri pertama jelajah PGU ke kawasan-kawasan di seluruh negeri.

"Kita sengaja pilih daerah Kemaman di atas beberapa perkiraan. Antaranya ialah kerana ia daerah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Sebagai satu gimik politik yang agak menarik, 'gelombang' ini kita mulakan di daerah Menteri Besar dan akan kita akhirkan di daerah bekas Menteri Besar (Besut)," sambung Ustaz Wan Sukairi lagi.

Sebab lain ialah kerana ia daerah paling selatan dan disifatkan sebagai pintu masuk dari Pantai Barat. Berbeza dengan suasana pra-pilihan raya 1999 yang menyaksikan 'gelombang' kemenangan PAS Terengganu masuk dari pintu utaranya bersempadan Kelantan, 'gelombang' menolak Umno kali ini diakui lebih menyerlah berlaku di Pantai Barat.

Pihak penganjur mensasarkan kehadiran 20,500 orang. Untuk itu setiap PAS Kawasan ditugaskan mengerah para pendukung mengikut kemunasabahan logistik masing-masing. Kemaman selaku kawasan tuan rumah sudah tentu diharapkan mampu menggerakkan kehadiran paling tinggi, sekurang-kurangnya 4,000 peserta.

Manakala tiga kawasan paling jauh, iaitu Hulu Terengganu, Setiau dan Besut masing-masing perlu menghantar sekurang-kurang 2,000 pendukung.

Melihatkan penyampaian maklumat dan perkembangan kesedaran agak positif di kalangan pendukung parti di peringkat bawahan, angka itu insya Allah dapat dihampiri, jika pun tidak berjaya dicapai.

Apa pun bakal berlaku, yang pastinya 'gelombang' yang diharapkan bakal dicetus di HKR-PGU itu sebenarnya sudah pun berkumandang dalam masyarakat negeri itu. Di sana-sini kedengaran mereka bercakap mengenai PGU. Ia bukan semata-mata berkaitan program sehari itu, tetapi dalam konteks lebih luas.

Kain rentang dan poster PGU yang disebarluas dan dipamerkan di serata negeri juga turut menghasilkan impak kepada rakyat. Bagi yang mengetahui dan memahami ia sebagai satu agenda parti, mereka membacanya beserta perasaan bangga dan penuh harap ianya dapat dicapai.

Bagi masyarakat terbanyak yang belum benar-benar mendalami isi maksud PGU pula, pameran sepanduk dan poster berbagai rupa itu mencetuskan naluri ingin tahu. Sekurang-kurangnya ada yang mula berfikir mengenai slogan 'PAS Ganti Umno'.

Malah tidak kurang juga yang nampak rasional di sebalik slogan itu, terutama apabila dikaitkan dengan berbagai tindakan Umno/BN yang semakin hari semakin menghimpit kehidupan rakyat. Tidak mustahil antara mereka akan teringat kembali suasana kehidupan lebih baik dan mewah sewaktu PAS memerintah Terengganu dulu.

Sebetulnya, jika diminta rakyat Terengganu membandingkan mana yang lebih baik di antara pemerintahan BN kini berbanding kerajaan PAS dulu, mereka yang ikhlas akan mengakui bahawa pemerintahan PAS lebih baik dari banyak segi.

Memang akan sentiasa ada pihak yang mengatakan sebaliknya. Bukan sahaja kalangan pendukung Umno, bahkan sebilangan orang PAS sendiri pun ada yang 'bermasalah' untuk menilai secara positif pengalaman berguna ditempa parti dulu.

Walau pun berkesempatan memerintah hanya sepenggal, PAS Terengganu telah membuktikan banyak perkara. Bagi mereka yang tidak hipokrit atau terlalu emosional dan bersentimen peribadi, tentu tidak sukar mengakui bahawa urustadbir negeri, hubungan peribadi pemimpin-pegawai kerajaan, pengurusan kewangan negeri, pentadbiran agama, kehidupan bersyariat dan kecaknaan terhadap kebajikan masyarakat di bawah kerajaan PAS adalah jauh lebih baik berbanding BN, sama ada sebelum kita memerintah dulu mahu pun sekarang.

Kini orang Terengganu sudah mula bercakap kembali mengenai kenangan manis itu. Ia tidak syak lagi amat menggusarkan Umno. Betapa sukarnya sebilangan pemimpin parti itu mengurus perasaan bimbang mereka menyebabkan ada yang tergamak berusaha menggagalkan program PGU dicanangkan PAS.

Yang menjadi mangsa kerakusan politik mereka ialah kain-kain rentang PGU. Ada poster dan kain rentang mengenai program tersebut 'dilenyapkan' oleh pihak yang tidak diketahui.

Di beberapa kawasan pula, ia diketahui dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). Namun, siapa sebenarnya di sebalik tindakan PBT itu tidak sukar ditelah.

"Ya, memang PBT mengakui menerima tekanan "pihak atasan" untuk bertindak menurunkan kain rentang PGU. Ia berlaku terutamanya di Dun Seberang Takir dan Bukit Tunggal, di (Kawasan) Kuala Nerus. Ia juga berlaku di Besut," ulas Wan Sukairi.

Namun kita percaya kerja sabotaj itu sedikit pun tidak mematahkan semangat orang kita untuk ikut menjayakan HKR-PGU esok. Sebaliknya lagi kuat tekanan dan pengkhianatan dibuat Umno, selalunya lagi ia menambahkan bersemangat pendukung PAS tampil membela parti.

Sebagai usaha menampakkan impak besar dan berkesan, pihak penganjur meminta setiap hadirin lelaki mengenakan t-shirt berwarna hijau, terutama hijau terang. Manakala peserta muslimat dijanjikan selendang berwana sama.

Jika arahan itu dipatuhi sebaiknya setiap yang hadir, insya Allah akan dapat kita saksikan lautan manusia berpakaian hijau akan bergerak dan berkumpul di Kemaman, esok.

Untuk itu, pastikan diri anda (yang berada berdekatan) tidak ketinggalan menjayakan himpunan amat bersejarah ini. Ayuh, marilah sama-sama kita banjirkan Dataran Tok Guru dengan 'gelombang hijau' dan kita jayakan slogan 'PAS Ganti Umno'!

Umno dengan bendera PAS pun takut

Majlis Perbandaran Kemaman Buang Bendera PAS



KEMAMAN 15 JAN : Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu kini cukup bimbang dengan strategi 'gelombang' Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS Ganti Umno Peringkat Negeri yang diadakan di Dataran Tok Guru Kampung Geliga Besar, Chukai, di sini.

Ini menyebabkan, kerajaan negeri telah menggunakan pihak berkuasa tempatan, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dengan bantuan pihak polis bertindak mencabut hampir 500 bendera PAS yang dipasang oleh petugas parti di sekitar bandar Chukai dan di jambatan Sungai Kemaman.

Lapor Harakah Daily menyatakan operasi selama satu jam itu berjalan lancar dengan kawalan sebuah kereta peronda polis dan beberapa buah kereta yang dipercayai pasukan keselamatan berpakaian preman (SB).

Pihak PAS Kemaman melahirkan rasa dukacita dengan tindakan pihak berkuasa tempatan yang disifatkan mengikut 'arahan' pimpinan Umno BN Terengganu yang bimbang dengan perhimpunan tersebut.

Program yang bermula jam 9 pagi melibatkan pimpinan utama Pakatan Rakyat termasuk Mursyidul Am dan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berpindah lebih baik

Isu Laungan Azan : Pengadu Sudah Pindah ?


KUALA LUMPUR 15 JAN : Gabungan NGO Malaysia menganggap isu azan Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi di sini "sudah selesai" dengan pengadunya - mendakwa dia seorang anggota MCA dan juga peguam - telah berpindah dari kawasan tersebut baru-baru ini.

Memetik laporan The Malaysian Insider, Setiausaha Agung gabungan itu, Mohd Jurit Ramli berkata, beliau dimaklumkan bahawa individu berkenaan telah menulis e-mel kepada pihak yang dia pernah mengadu mengatakan mahu berpindah dari kondominium tempat tinggalnya di Pantai Hill Park atas faktor keselamatan.

Kondominium Pantai Hill Park terletak kira-kira satu kilometer dari masjid tersebut.

"Saya dimaklumkan oleh pihak yang menerima salinan aduannya bahawa mereka ada menerima e-mel dua tiga hari yang lalu mengatakan dia sudah mengambil pendekatan mahu berpindah kerana bimbang keselamatan diri dia... itu maklumat yang kami terima," kata pagi ini.

Jurit berkata, pihak yang menerima salinan surat peguam berkenaan meminta pihak-pihak yang mengadakan tunjuk perasaan semalam supaya tidak memanjangkan isu azan ini dan melihat ia "sudah selesai" selepas dia memutuskan untuk berpindah.

"Jadi kami pun menganggap ini sudah selesai. Kita tidak mahu perkara ini berpanjangan lagi.

"Kita mahu persekitaran yang aman, kalau keadaan tidak tenang, kita tidak boleh hidup tenang dan tenteram," kata beliau.

Semalam, kira-kira 100 orang berhimpun di pekarangan Masjid Al-Ikhlasiah mengadakan tunjuk perasaan selepas solat Jumaat mendesak agar peguam terbabit ditahan di bawah ISA.

Kumpulan itu terdiri daripada anggota kumpulan NGO Pekida dan Perkasa mendakwa peguam terbabit menuntut agar masjid tersebut menghentikan penggunaan pembesar suara bagi tujuan azan.

Penunjuk-penunjuk perasaan berkenaan menamakan peguam terbabit, malah mempamerkan alamat rumah dan nombor telefonnya pada kain rentang ketika berdemonstrasi.

Ditanya tindakan susulan Gabungan NGO Malaysia, Jurit berkata, pihaknya tidak mahu memanjangkan isu ini lagi.

"Tetapi tindakan penduduk kawasan itu, kami tidak tahu. Kami menganggap isu ini sudah selesai," kata beliau lagi.

Katanya walaupun pihaknya menganggap isu ini sudah selesai tetapi sekurang-kurangnya pengadu perlu memohon maaf kepada umat Islam.

"Tindakan ini perlu untuk meredakan keadaan dan kita mahu setiap kaum hormat-menghormati agama dan kaum lain," kata beliau lagi.

Ketika ditanya sama ada pihaknya ada mengunjungi unit kediaman peguam itu sebelum ini, Jurit berkata:

"Tidak, kami tidak menemui pengadu, tetapi hanya menerima maklumat daripada salinan surat aduan."

Semalam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya tidak mengeluarkan arahan kepada mana-mana pihak termasuk pengurusan masjid agak memperlahankan laungan azan atau menghentikan penggunaan pembesar suara untuk tujuan azan.

Jurit berkata, pihak berkuasa dan pengurusan tidak seharusnya melayan aduan-aduan daripada orang perseorangan.

"Dalam kes ini, aduan daripada seorang individu, mengapa perlu kita layan? Melainkan dia mewakili mana-mana pertubuhan atau parti, kita boleh melayan... sepatutnya kita tidak melayan surat individu," kata beliau lagi.

"Surat dan aduan orang perseorangan, kita pun tidak pasti boleh percaya atau tidak," katanya.

Bagaimanapun Jurit berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya memang tiada arahan rasmi tetapi difahamkan ada perbincangan mengenai aduan yang diterima daripada peguam berkenaan.

Kalau dah ada pejabat, lantik je lah Rosmah jadi Menteri

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terbukti memiliki pejabat di Jabatan Perdana Menteri, atas nama Bahagian Wanita Pertama Malaysia atau First Lady of Malaysia Division.

Hal ini disahkan sendiri seorang pegawai yang bertugas di bahagian berkenaan ketika dihubungi KeadilanDaily.com, hari ini.

Pegawai wanita itu juga mengesahkan pejabat berkenaan bertujuan menjaga urusan Rosmah selaku isteri Perdana Menteri yang menganggap dirinya sebagai First Lady dan premis itu tiada kena mengena dengan Permaisuri Agong.

Mengulas hal itu, Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh menyifatkan perbuatan Rosmah melanggar peruntukan Perlembagaan dan menderhaka kepada Yang Di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong sebagai Ketua Negara.

Beliau juga menganggap perbuatan berkenaan sebagai menyalah guna kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya percaya Rosmah kini diberi terlalu banyak kuasa oleh Najib. Perbuatan ini adalah suatu penderhakaan,” kata Fuziah kepada Keadilan Daily.

Beliau berkata, Rosmah hanya isteri kepada Perdana Menteri, bukan menyandang sebarang jawatan menteri hingga memerlukan beliau memiliki pejabat sendiri di Putrajaya, apatah lagi atas nama Bahagian Wanita Pertama Malaysia.

“Peranan isteri PM adalah melengkapi tugas-tugas PM berkaitan aspek sosial. Rosmah sepatutnya mengambil peranan sebagai ibu kepada rakyat Malaysia. Bukannya membazir wang rakyat dengan penubuhan bahagian itu.

“Tentunya, ia melibatkan kos kerana memerlukan kakitangan untuk digaji,” kata Fuziah lagi.

Perbuatan Rosmah itu turut mendapat perhatian ramai blogger antaranya, edyesdotcom.blogspot.com.

Kewujudan Bahagian Wanita Pertama itu bermakna kedudukan Rosmah sebagai isteri PM, kini sekurang-kurangnya setaraf dengan Setiausaha Sulit dan Setiausaha Politik, Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Pejabat Ekonomi Perdana Menteri dan Pejabat Pengurusan Sri Perdana.

Perlembagaan Malaysia selama ini memaktubkan Permaisuri Agong sebagai Wanita Pertama.

Sebenarnya, ini bukan pertama kali Rosmah ‘mengangkat’ dirinya sebagai Wanita Pertama. Baru-baru ini, beliau menganjurkan Sidang Kemucak Wanita Pertama selama tiga hari yang menghabiskan sebanyak RM4.5 juta.

Sebelum ini, beliau juga pernah memaparkan dirinya sebagai First Lady melalui satu iklan di New York Times.

NGO bantah perlantikan Khusrin

NGO : Pelantikan Khusrin Langgar Hak Rakyat Selangor


KUALA LUMPUR 14 JAN : Pelantikan Datuk Khusrin Munawi oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan dianggap tidak mengikut norma konvensional dan melanggar hak rakyat Selangor yang memilih Kerajaan Pakatan Rakyat untuk menerajui pemerintahan negeri itu menurut gabungan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Justeru NGO Hormati Suara Rakyat Selangor (HSRS) hari ini tampil menyuarakan sokongan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor terhadap isu ini dan mahukan Sidek menarik semula pelantikan Khusrin.

Wakil HSRS Datuk Ambiga Ambiga Sreenevasan meyatakan hak rakyat yang membuat pilihan perlu diutamakan bagi menjamin pentadbiran yang baik, telus dan licin seperti yang dimahukan rakyat.

"Hak pengundi perlu dihormati dan setiap kali wakil yang dipilih oleh anda ditindas, kita kena bersuara dan inilah sebab tercetusnya insiatif ini," tegas Ambiga dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di sini hari ini.

HSRS turut merancang mengadakan satu perhimpunan besar-besaran pada 23 Januari ini di Stadium Kelana Jaya mengumpulkan rakyat Malaysia mendesak Sidek sebagai Ketua Setiausaha Negara menarik kembali pelantikan Khusrin dan mendengar kembali Persetujuan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang diketepikan dalam soal ini.

Perhimpunan ini turut bakal memberi fokus isu tempatan yang tidak dapat diselesaikan kerana tiada kerjasama dari Kerajaan Persekutuan melalui agensi mereka seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), SYABAS serta agensi lain.

Wakil HSRS, Haris Ibrahim menganggap isu ini merupakan satu penafian hak terhadap rakyat Selangor mendapat khidmat terbaik dalam pentadbiran negeri oleh Kerajaan Persekutuan UMNO BN.

"Rakyat Selangor pada 8 Mac 2008 telah mengundi dan membuat pilihan. Apa yang kita lihat hari ini ialah insiden, gerakan untuk memandang rendah pilihan rakyat Selangor. Insiden terbaru pelantikan SUK ini hanya membimbangkan lagi rakyat Selangor kerana walau telah memilih Pakatan Rakyat, ada usaha pihak lain mengganggu dan merendahkan Kerajaan Negeri Selangor" kata Haris.

HSRS merupakan gabungan NGO yang memperjuangkan hak rakyat dan keadilan seluruh negara. Antara NGO terlibat ialah Bersih 2.0, Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM) dan lain-lain lagi

Jangan diharap kerajaan BN laksana perkara ini

Isu Bekerja Di Pusat Hiburan Dan Premis Jual Arak, Selangor Tubuh Tabung Pekerja

SHAH ALAM 14 JAN : Kerajaan Selangor akan menubuhkan sebuah tabung khas untuk membantu pekerja Islam yang terjejas apabila Enakmen Jenayah Syariah yang tidak membenarkan mereka bekerja di premis dan pusat hiburan yang menjual arak dikuatkuasakan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan berjumpa dengan semua penguasa kerajaan tempatan Isnin ini bagi memastikan enakmen itu dilaksanakan 'secara baik dan berkesan".

Ahli Exco Negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Yaakob Sapari, Dr Halimah Ali dan Hajjah Rodziah Ismail ditugaskan menubuh sebuah sekretariat dan berbincang dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi pelaksanaan enakmen itu.

"LZS akan diminta untuk bersama-sama menubuhkan satu tabung khas demi membantu pekerja beragama Islam yang mahu meninggalkan pekerjaan di premis-premis dan pusat hiburan yang menjual minuman keras, " kata Khalid.

"Kerajaan Negeri sedar kebanyakan orang Islam yang bekerja di tempat sedemikian membuat keputusan tersebut atas sebab ekonomi. Oleh itu, tabung ini akan memainkan peranan agar mereka tidak akan terbeban dengan penguatkuasaan undang-undang ini," kata beliau.

Khalid berkata kerajaan negeri menghormati Enakmen Jenayah Syariah yang bertujuan memastikan umat Islam mencari rezeki yang halal.

Pada masa sama kerajaan negeri menyedari keperluan memberi tempoh yang mencukupi kepada pemilik premis dan pekerja yang terlibat untuk mengikut enakmen berkenaan.

"Justeru itu, saya akan mengadakan pertemuan dengan semua Datuk Bandar dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan Isnin depan untuk mendapat pandangan mereka bagi memastikan penguatkuasaan Enakmen tersebut dilaksanakan dengan baik dan berkesan," kata beliau.

Polis sedia berkhidmat untuk pilihanraya Tenang dan Sarawak




KUALA LUMPUR 14 JAN : Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi pilihan raya pada tahun ini, termasuk pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dan pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka diadakan dalam bulan Mac atau April depan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata beliau berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan, termasuk menyediakan pegawai dan anggota secukupnya bagi mengawal situasi terutama di DUN Tenang mulai 22 Januari ini.

"Di peringkat Bukit Aman juga, kami sudah ada persiapan rapi...Kita bersedia, kita ada tenaga kerja, ada persediaan," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat Ketua Polis Negara di Maktab PDRM di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas jumlah anggota yang akan ditempatkan di DUN Tenang.

"Saya telah diberikan taklimat oleh Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff minggu lepas mengenai persiapan polis di Tenang, kita telah siap sedia dalam semua aspek bagi mengawal keadaan di sana, termasuk berhubung lalu lintas dan masalah mengatasi kesesakan orang ramai sepanjang pilihan raya itu nanti," katanya.

Pulau sidang DUN , buka tembelang sebenar Umno



SHAH ALAM 14 JAN : Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Haniza Talha menolak pemulauan Barisan Nasional terhadap sidang DUN yang akan diadakan pada 24 Januari ini kerana peraturan mengadakan sidang tersebut sudah dipatuhi dalam peruntukan Peraturan Tetap Dewan.

Beliau juga berkata sidang DUN yang dicadangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim bukanlah sidang tergempar tetapi sambungan daripada sidang DUN yang ditangguhkan pada 15 November lepas dan tidak memerlukan perkenan Sultan.

"Sidang dewan yang ada sekarang tak perlu (perkenan sultan). Dalam peruntukan Peraturan Tetap Dewan, kalau dewan yang ditangguhkan untuk disambungkan sidangnya, tidak memerlukan perkenan sultan. kalau sidang dewan yang baru memang perlu. ini ialah sidang lepas yang bersambung. Bukan sidang yang baru," katanya.

Beliau menjelaskan, keperluan untuk mengadakan sidang DUN pada 24 Januari nanti adalah bagi memastikan pentadbiran negeri jelas dan tidak ada campur tangan pihak persekutuan terutama dalam hal-hal urusan negeri.

Beliau berkata, seandainya Adun Barisan Nasional di negeri ini tidak memberi kerjasama dalam persidangan itu nanti ianya mencerminkan diri sebenar mereka.

"Ini pentadbiran negeri, mandat dan kuasa kerajaan negeri ini dipilih oleh rakyat. Jadi kalau mereka nak menentang atau boikot sidang ini nampak mereka kebudak-budakkan dan tindakan itu tidak matang.

Sekarang kalau mereka bertindak demikian (menghalang sidang dun) terbukti itu niat sebenar, mereka yang tak hormat Sultan dan mereka yang menghina Sultan kerana bawa Sultan dalam kancah politik mereka," katanya.

Barisan Nasional (BN) Selangor menolak usaha kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang mahu meminda perlembagaan negeri berikutan isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri dengan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri khas.

Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar sebelum ini berkata, Undang-undang Tubuh Negeri Selangor tidak perlu dipinda kerana ia telah diamalkan sekian lama dan tidak timbul sebarang masalah kepada kerajaan terdahulu terhadap pelantikan pegawai tertinggi kerajaan negeri yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri akan mengadakan sidang tergempar DUN untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.

Khusrin, 54, menggantikan Datuk Ramli Mahmud, 56, yang menamatkan perkhidmatan pada 31 Disember lepas manakala tempat Mohamad Khusrin sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor diambil alih oleh Pegawai Daerah Sabak Bernam Marzuki Hussin, 56, berkuat kuasa 1 Januari.

Bagaimanapun Khalid menolak pelantikan itu dan mendakwa Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah membelakangkan Kerajaan Negeri dalam proses pemilihan calon SUK berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan pengalaman.

Mengenai keperluan majoriti dua pertiga bagi membolehkan sesuatu undang-undang itu dipinda dalam sidang DUN, Teng berkata walaupun kerajaan campuran pakatan pembangkang di Selangor tidak memiliki majoriti dua pertiga di dalam DUN, kemungkinan Menteri Besar boleh mempengaruhi anggota dewan daripada Barisan Nasional untuk menyokongnya.

DUN Selangor mempunyai 56 kerusi. Barisan Nasional menguasai 21 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (14), DAP (13) dan PAS (lapan). Jumlah bagi majoriti dua pertiga ialah 38.

Umi Hafilda pakar cari publisiti


SHAH ALAM 14 JAN: Kemunculan Ummi Hafilda Ali yang mahu menyaman Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bebarapa lagi tokoh politik dilihat hanya untuk mencari publisiti.

Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau yang lebih dikenali sebagai Chegubard berkata tindakan Ummi yang menyaman pelbagai pihak tetapi tidak menyaman Azmin membuktikan Ummi sendiri tidak konsisten dalam dakwaannya.

"Dia saman Annwar, dia saman Kak Wan, dia saman Pas, dia saman Karpal Singh tapi saya tengok benda ini tak konsisten. Dalam isu Pas dia saman Pas, dia kata dia jumpa Mat Sabu, dalam perkara lain dia saman Anwar, saman Wan Azizah sebab mengetahui perkara sebenar tetapi dia tak saman Azmin jadi saya tengok Ummi sediri tidak konsisten," tegas beliau.

Beliau yang juga pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata persoalannya bukan berkisar kepada dakwaan Ummi tetapi mengapa perlu muncul pada masa di mana pilihanraya dijangkakan akan diadakan.

"Persoalannya macam ini, dia melibatkan banyak pihak, isu saman in sebenarnya semua orang boleh saman sesiapa sahaja tetapi hakikatnya, kenapa sekarang? 'Timing' dan macam mana cara itu dibuat, disensasikan itu lebih penting," jelas beliau lagi.

Katanya, tindakan Ummi adalah sebahagian daripada permainan politik dengan Ummi sebagai salah satu daripada alat politik mereka yang berkepentingan dalan kejatuhan Anwar dari medan politik negara.

"Kali itu pilihanraya Galas, muncul Rahimi, kali ini Tenang ini pula muncul Ummi Hafilda, ini semua benda biasa dan permainan biasa. Cuma harapan kita ialah rakyat jadi cerdik dan melihat perkara ini yang diulang-ulang merupakan satu pembohongan," kata Chegubard.

Beliau menjelaskan keadaan ini sama seperti semasa kes Fitnah 1 Anwar pada tahun 1998 dan beliau mengesyki 'skrip lama' akan digunakan kembali kerana Perdana Menteri yang juga Presiden Umno dilihat semakin takut dengan pembangunan Anwar.

"Skrip lama akan digunakan balik dan keputusan lama akan terjadi semula. Najib dalam keadaan terkapai-kapai untuk menyudahkan apa yang dia mulakan dalam kes fitnah 2 kali ini. Oleh itu saya cukup berkeyakinan ini semua berlaku kerana dalam keadaan pilihanraya yang terlalu hampir, ketakutan Najib kepada Anwar Ibrahim dan Najib nak menyudahkan skripnya terhadap Annwar Ibrahim," katanya lagi.

Chegubard seterusnya berkata Ummi hanya menyampaikan skrip yang diberi kepadanya dan jika dilihat kembali kes Fitnah 1, Ummi merupakan saksi utama tetapi tiada apapun pembuktian dibuat oleh Umi kecuali menarik publisiti dan memanipulasikan pelbagai isu.

Manakala, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Khairul Anuar Ahmad Zainuddin atau Jonah berkata asas kepada dakwaan Ummi bermotifkan politik untuk menjatuhkan Anwar tetapi beliau percaya rakyat dapat menilai sendiri kesahihan dakwaan Ummi.

"Ummi Hafilda boleh muncul kembali dan pemain-pemain lain pun mungkin boleh muncul lagi, dan terus mengukuhkan lagi 'political conspiracy' tapi mereka, mereka boleh kembali, datang, muncul buat sidang media dan sebagainya tetapi seperti yang saya sebut tadi saya rakyat telahpun membuat keputusan," kata beliau.

Katanya lagi, rakyat telahpun membri penghakiman terhadap Anwar dengan memberikan kemenangan besar kepada Pakatan rakyat pimpinan Anwar, yang mana membuktikan bahawa rakyat menolak sebarang pertuduhan yang berniat jahat dan berunsur politik terhadap Anwar.

"Ummi Hafilda boleh ulang tayang, lagi kali ketiga dia nak datang ulang tayang pun tak ada masalah, sebab saya yakin rakyat telahpun membuat penghakiman terhadap Anwar," kata beliau lagi.

PAS anjur Dialog Budayawan-NGO India


BANGI 14 JAN : Sekumpulan kumpulan budayawan Melayu dan wakil masyarakat India mencapai persetujuan atas keperluan menyelesaikan kontrovesi novel Interlok menerusi perbincangan berilmiah selain membantah tindakan membakar karya Abdullah Hussein itu.

Pertemuan bersejarah itu dianjurkan oleh Pemuda PAS Pusat semalam dan turut membabitkan wakil kesatuan sekerja Dewan Bahasa dan Pustaka serta pensyarah dan peguam.

Satu lagi perjumpaan muhibah akan diadakan Rabu depan untuk membolehkan pihak yang bercanggah pendapat menyampaikan kertas kerja masing-masing bagi mencari kesefahaman mengenai isu yang sensitif itu.

Mesyuarat tiga jam semalam antara lain bersetuju :

- Menghormati karya seni Interlok tulisan Sasterawan Negara Abdullah Hussin yang mengandungi unsur-unsur sejarah dan imiginasi.

- mengingatkan semua pihak untuk berhati-hati supaya tidak jatuh dalam perangkap politik disebalik polemik Interlok.

- Membantah pembakaran Novel Interlok dan bersetuju menggunakan keadah dialog untuk menyelesaikan polemik.

Menurut Ketua Penerangan Pemuda PAS, Suhaizan Kayat antara yang hadir pada perjumpaan itu adalah Seniman Paksi Rakyat Malaysia(PAKSI), Budayawan Bertindak (BB), Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), Kesatuan Sekerja Dewan Bahasa & Pustaka, pensyarah universiti dan individu.

Antara pertubuhan bukan kerajaan masyarakat India yang hadir adalah Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Makkal Sakti, dan Malaysian Indian Voice.

" Perbincangan dalam pertemuan ini berjalan dengan lancar . Setiap wakil mengemukakan pandangan dengan penuh kematangan. Mereka saling hormat menghormati antara satu sama lain walaupun membincangkan isu yang sensitive," kata Suhaizan.

Beliau berkata pertemuan Rabu depan adalah untuk kedua-dua pihak menyampaikan asas-asas hujah kewajaran novel Interlok menjadi buku teks sekolah atau pun sebaliknya.

Suhaizan berkata masyarakat India bimbang perkataan paria dan isu kasta pada mukasurat 211 dan 219 novel itu boleh menyebabkan suasana tidak harmoni di kalangan pelajar.

"Selain itu (mereka bimbang) ia memberi pandangan negatif terhadap masyarakat India dan menjatuhkan maruah mereka," tambah beliau.

Suhaizan berkata kumpulan budayawan pula berpendapat sebarang tindakan menarik balik novel itu dari sekolah adalah penghinaan terhadap Sasterawan Negara Abdullah Hussain, dan menjatuhkan maruah budayawan.

"Bagi mendapatkan penyelesaian yang terbaik kepada masalah ini maka kedua-dua kumpulan dikehendakki membentangkan kertas kerja masing-masing," tambah beliau.

Beliau berkata kumpulan budayawan membuat beberapa cadangan yang dirasakan boleh menangani kebimbangan masyarakat India. Ini termasuk

1. Membuat penerangan perkataan-perkataan yang sensitif Novel Interlok dalam ruang glosari.

2. Menyediakan buku ulasan terhadap novel bagi mengelakkan sebarang kekeliruan

3. Melatih guru-guru untuk memberi penerangan yang sebenar terhadap novel Interlok.

Beliau berkata kumpulan NGO masyarakat India mahukan Kementerian Pelajaran menggugurkan perkataan dan kandungan sensitif dalam novel Interlok atau menarik balik buku itu sama sekali daripada sekolah.

Suhaizan berkata semua pandangan itu akan dibincangkan secara terperinci dalam Pertemuan Muhibah kali ke-2 minggu depan.

"Di harap semua kumpulan dapat membuat keputusan yang tepat bagi menjamin keharmonian antara kaum dalam negara tercinta ini," tambah beliau.

Bakar patung depan masjid, siapa dibelakang mereka?

KL 14 Jan 11: Siapa Di belakang mereka? Lihat, kira-kira 100 orang berhimpun di perkarangan Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi membantah tindakan seorang peguam bukan Islam yang meminta laungan azan diperlahankan.

Dengan memegang kain rentang serta laungan Allahuakbar, mereka juga turut membakar patung peguam berkenaan. Bantahan itu diketuai oleh Pengerusi Majlis Ayahanda Wilayah Persekutuan, Zakaria Awang selepas solat Jumaat. Dalam kenyataan yang dibacanya, Zakaria berkata Majlis Ayahanda, NGO dan persatuan penduduk dukacita dan terhiris dengan tindakan peguam itu. Katanya, masjid itu wujud 30 tahun lalu dan sepanjang tempoh tersebut, tidak pernah kedengaran tohmahan seperti itu.

NONESemalam, pihak pengurusan Majid Al-Ikhlasiah dilaporkan mengambil pendekatan memperlahankan bunyi pembesar suara ketika laungan azan termasuk ketika solat Jumaat, ekoran aduan seorang peguam bukan Islam yang mendakwa bunyi solat di masjid itu "amat lantang".

Ketua imam masjid berkenaan Mahadi Abdullah berkata pihaknya mengurangkan kadar laungan azan itu selepas mengadakan perbincangan dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akhir Disember lalu. (Sumber Malaysiakini)

Diskusi buku ' Menuju PAS Baru '



KL 14 Jan 11: Terima kasih kepada NGO Ilham Centre dari Weblog Ibnu Hasyim. Terima kasih kerana badan bukan kerajaan itu, akan menganjurkan forum mendiskusikan buku, 'Menuju PAS Baru’ tulisan AJK PAS Pusat, Dr. Mujahid Yusof, ekoran dari perlakunya perdebatan mengenainya.

Foram tersebut akan diadakan pada pada 16 Januari ini bermula jam 8.00 malam, bertempat di Auditorium Dewan Millenium, Kepala Batas Pulau Pinang. Pengarah Eksekutifnya, Muhamad Hisommudin Bakar memberitahu, penganjuran forum tersebut adalah sebahagian dari program Ilham Centre dalam usaha membentuk budaya politik baru.

"Kami nyatakan dan tegaskan bahawa forum dan diskusi buku ‘Menuju PAS Baru’ adalah salah satu daripada inisiatif dan di antara usaha proaktif kami bagi menjayakan hasrat murni ini.

"Ilham Centre hanya menyediakan ruang, pentas dan tidak lebih daripada sekadar berperanan sebagai media perantara kepada semua pihak untuk berdiskusi secara terbuka," katanya.

Penganjuran forum tersebut ujarnya, diadakan bertepatan dengan kelahiran buku tersebut yang hangat diperdebatkan oleh pelbagai pihak. Tambahnya, ianya juga telah mendapat persetujuan daripada penulisnya iaitu Dr. Mujahid Yusof yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar. Selain Mujahid, forum tersebut akan menampilkan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang juga pensyarah di Universiti Sains Malaysia.

"Sebagai makluman, Ilham Centre akan mengadakan siri forum sebanyak 3 kali di 3 zon berbeza iaitu utara, timur dan tengah bermula di Pulau Pinang pada 16 Januari akan datang disusuli pula di Terengganu atau Kelantan pada 13 Februari dan kemuncaknya di Kuala Lumpur pada 12 Mac tahun ini," katanya.

Menurut editor Weblog Ibnu Hasyim lagi, "Satu contoh peranan terbaik untuk masa depan Islam dan pengembangan ilmu pengetahuan dari sebuah NGO. Kami sentiasa mengalu-alukan. Ai-hamdulillah.(IH)

Tok Guru Nik Aziz simpati kepada rakyat Malaysia di Queensland


KOTA BHARU, 13 Jan 11: “Insya allah, kita akan mempertimbangkan kaedah-kaedah yang sesuai untuk menyampaikan bantuan setakat termampu kepada warga Malaysia di sana,” ujar Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau melahirkan rasa simpati terhadap mangsa banjir di Queensland, Australia. “Saya mengucapkan takziah dan menyatakan rasa simpati bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan kepada warga Malaysia yang terlibat dengan bencana banjir di Queensland, Australia,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas. Beliau yang juga Mursyidul Am PAS, berharap semoga mereka bersabar dengan ketentuan Allah Taala.

Difahamkan terdapat kira-kira 500 warga Malaysia di Queensland. Sejak Disember 2010, Australia
dilanda banjir besar yang tertumpu di negeri Queensland termasuk ibu negeri Brisbane.

Banjir tersebut telah memaksa ribuan penduduk mengosongkan bandar-bandar yang terjejas. Sekurang-kurangnya 31 bandar dan lebih 200,000 orang terjejas oleh banjir ini.

Pada 30 Disember, sebahagian besar kawasan Queensland Selatan dan Tengah, iaitu kawasan seluas jumlah gabungan keluasan Jerman dan Perancis, sudah terjejas akibat banjir.

Sekitar 300 batang jalan raya ditutup, termasuk sembilan lebuhraya kebangsaan. Landasan keretapi pengangkut arang ditutup dan banyak tapak perlombongan yang dilanda banjir.