Oleh Zulkifli Yahaya
Perjalanan dengan bas dari Alor Setar ke Kuala Lumpur sepatutnya tiba di Puduraya tetapi dilencongkan ke perhentian bas Jalan Duta. Pemandu bas meminta maaf terhadap kesulitan yang timbul, namun itu bukan salah mereka. Mulai detik 12 malam 9 julai 2011 semua bas tidak dibenarkan ke Puduraya.
Sama ada peserta Bersih atau individu yang tiada kena mengena dengan Bersih semua menanggung kesusahan yang sama apabila laluan ke pusat bandaraya Kuala Lumpur ditutup oleh pihak polis.
Saya bertanya pemandu teksi tempat terdekat dengan pusat bandaraya Kuala Lumpur yang boleh dilalui dan bersedia untuk diturunkan di situ. Pemandu mencadangkan KL Central atau Jalan Ke Muzium Negara. Bersama rakan-rakan kami menaiki teksi namun hanya mampu sampai di hadapan muzium. Laluan ke KL Central juga ditutup. Anggota polis berkawal di mana-mana bagaikan medan perang.
Mereka yang meneruskan perjalanan hingga ke sekatan polis di hadapan muzium ditangkap dan dikerahkan menaiki trak. Saya dan seorang rakan buntu lalu berehat di hentian bas. Tiada siapa di situ kecuali kami berdua yang pada fikiran kami berhimpun hanya berdua di tempat yang selamat tanpa sebarang kekecohan bukanlah satu kesalahan. Akta Polis pun tidak boleh diguna pakai untuk dua orang yang berkumpul.
Rupanya jangkaan itu silap. Sekonyong-konyong sebuah kereta peronda meluncur laju menongkah laluan menuju kami. “Encik minta IC.” Selepas menyerahkan kad pengenalan, beg plastik saya yang hanya mengandungi kain pelekat dan sebotol air mineral digeledah.
“Encik ikut kami ke sana, kami nak kumpul bersama kawan-kawan encik di sana,” ujar seorang dari tiga anggota polis. Tindakan mereka sudah dihidu. Kami mahu diangkut menaiki trak polis dan ditahan entah di lokap mana. Rakan saya melenting, kami pun sama-sama berhujah dengan polis tersebut. Mereka tak terbalas hujah, lalu mengarahkan berdedar dari situ segera jika tidak mahu ditahan.
Pilihan yang ada ialah ke KL Central, menyusup melalui terowong bawah tanah kerana semua laluan dikawal polis. Di KL Central suasana kelihatan tegang apabila polis berkawal terlalu ramai. Asal saja terlibat kelibat orang yang syaki mahu menuju perhimpunan Bersih mereka dikelilingi anggota polis, diminta kad pengenalan dan diarahkan ke trak polis. Mudah sungguh mereka menahan orang seolah-olah semua rakyat Malaysia adalah disyaki penjenayah.
Seorang lelaki berusia kelihatan uzur dan hanya bertongkat sedang enak menikmati makanan juga diarah menaiki trak. Beberapa orang pelancong asing tertanya-tanya, apa yang berlaku?
Orangramai yang mundar mandir di situ kelihatan gelisah dan tidak ceria. Suasana yang berlaku mengingatkan kepada cerita Almarhum Ustaz Fadzil Noor sewaktu kembali dari lawatan ke Russia. Katanya di bandaraya Moscow orang jarang terseyum, semuanya berwajah serius dan jarang menyapa atau bergurau antara satu sama lain. Waktu itu negara kesatuan SovietUnion baru berkubur tetapi kesan pemerintahan komunis yang panjang menyebabkan rakyatnya hilang keceriaan hidup.
Asalnya komunis bukan suatu fahaman berasaskan keganasan. Komunisme sebagai anti-kapitalisme menggunakan sistem partai komunis sebagai alat pengambil alihan kekuasaan dan sangat menentang penguasaan modal oleh individu. Pegangan terhadap agama diperangi kerana dianggap ‘candu’. Di bawah pemerintahan komunis rakyat dipaksa menganut fahaman yang sama dengan kerajaan iaitu komunisme. Mereka yang berbeza dengan kerajaan dianggap musuh negara dan menerima padahnya. Maka disinilah bermulanya keganasan. Di SovietUnion ribuan ulamak dibunuh dan siapa yang mengamalkan agama secara terbuka dihukum.
Rakyat Malaysia, khususnya yang berumur melebihi 40 tahun, berjaya dipasakkan tanggapan bahawa komunis adalah pengganas berdasarkan peristiwa lampau yang benar-benar berlaku dalam negara. Keganasan askar komunis menyerang hendap tentera kita sekitar 60an dan 70an sangat membantu mensahihkan imej buruk komunis.
Kekejaman komunis terhadap rakyat yang enggan menerima komunisme hanya berlaku di negara komunis. Sebenarnya ancaman yang lebih besar dari kapitalisme dan agama bagi komunis ialah demokrasi. Ribuan para pelajar China yang bangkit menuntut demokrasi telah dibunuh beramai-ramai di Tiananmen Square pada 2 Jun 1989. Selepas peristiwa itu dan sehingga kini China belum dapat didemokrasikan.
Apakah kini rakyat China tidak dahagakan demokrasi? Tidak mungkin, tetapi lebih baik bagi mereka membungkam keinginan di dalam diri dari mendapat susah. Tapi percayalah suatu hari nanti kerajaan komunis akan hancur juga di China dan demokrasi yang tulen akan tertegak.
Jika ancaman bagi kerajaan komunis ialah demokrasi maka ancaman bagi kerajaan BN di Malaysia ialah demokrasi yang adil dan bersih. Malaysia bukan negara komunis tetapi perangai kerajaan Malaysia dalam mempertahankan kekuasaan seolah-olah meniru perangai komunis.
Menangkap seseorang tanpa sebab munasabah, mengharamkan baju yang mempunyai warna tertentu, menggeledah beg pakaian orang sesuka hati, mengubah laluan perjalanan orang mengikut kehendak mereka, membuat sekatan jalan di merata tempat sehingga menyusahkan orang, menghalang rakyat dari menuntut demokrasi yang adil; semua itu adalah perangai buruk yang selama ini dibuat oleh kerajaan komunis. Mereka menjustifikasikan semua tindakan menyusahkan rakyat itu kononnya untuk pencegahan walhal pencegahan sampai ke tahap itu tidak lain dari yang pernah dilakukan oleh kerajaan komunis.
Dengan media yang dikuasai mereka berkempen berminggu-minggu memburukkan imej Bersih, mengajak rakyat jangan sertai Bersih dalam pelbagai bentuk propaganda, mengaitkan Bersih dengan Kristianisasi, Yahudi, Hinduisme dan pluralisme agama, membuat beribu laporan polis, menganjurkan demonstrasi haram seluruh negara mengutuk himpunan Bersih, melakukan pelbagai provokasi serta ancaman untuk menghalang termasuk dari NGO yang disertai oleh para pendekar; namun rakyat tidak takut dan tidak peduli – lebih seratus ribu berarak di Kuala Lumpur untuk menuntut pilihanraya adil dan bersih!
Apa maknanya? Maknanya rakyat Malaysia hari ini tidak takut lagi akan ugutan ala komunis oleh BN dan BN akan tumbang seperti berkuburnya kerajaan komunis SovietUnion.