Thursday, August 18, 2011

Najib mahu jadi PM disokong rakyat tapi rampas kuasa rakyat di Perak

http://pinkturtle2.files.wordpress.com/2009/02/pc-najib1.jpg?w=442&h=359Ketika mengumumkan kerajaan setuju menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai transformasi pilihan raya, Perdana Menteri Najib menyebut bahawa beliau dan kabinetnya tidak mahu jadi Perdana Menteri dan menteri yang tidak jelas disokong rakyat.

Ia adalah semangat dari amalan demokrasi di mana-mana jua dan bagi siapa jua yang menganut dan mengamalkan demokrasi. Ia bukan sekadar suatu yang Najib saja mahu tetapi itulah yang dituntut oleh semua orang dan semua bangsa dulu, kini dan selama-lamanya.

Negara kita akan jadi aman jika Najib dan sesiapa juga yang jadi Perdana Menteri berfikir dan berpegang dengan apa yang Najib kata itu.

Kata Perdana Menteri itu adalah betul tetapi yang betul itu tidak akan jadi betul jika ia tidak dibuktikan.

Najib mesti membuktikan dulu apa yang diucapkannya itu sebelum orang boleh bercaya dia berpegang kepada kata-katanya itu.

Setakat ini Najib tidak dapat dipercayai bahawa beliau berperang kepada kenyataannya itu.

Bukti dia tidak berpegang pada cakapnya itu dapat dilihat dari kejadian di Perak menjelang dia jadi Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Dia mencabul amalan demokrasi seperti yang dikatakannya itu sebaik dia menjadi ketua Umno sementara di Perak menggantikan Tajol Rosli dan selepas menjadi Presiden Umno dia jadi ketua Umno Selangor, diyakini mahu menjadi Selangor seperti yang telah berlaku di Perak.

Di Perak jelas dalam PRU 12 Mac, 2008 Barisan Nasional tidak mendapat sokongan rakyat. Yang memegang kuasa majoriti di Perak ialah Pakatan Rakyat yang masa itu belum diwujudkan.

Sama ada tiga ADUN Pakatan Rakyat yang hilang dan kemudian dijumpai menjadi ADUN Bebas, jadi begitu kerana mainan politik Najib atau mereka secara siuman atau kurang siuman rela lari dari Pakatan Rakyat, terbukti rakyat Perak setahun sebelumnya tidak menyokong BN.

Sekali pun tiga ADUN itu kemudiannya tidak menentang kerajaan BN yang ditegakkan di negeri itu, keputusan rakyat di negeri setahun sebelumnya menolak BN.

Ini demokrasi sebenarnya ada pada rakyat telah membuktikan untuk tempoh lima tahun ialah mereka menolak BN. Ajaran dan amalan demokrasi yang disetujui dunia, sokongan rakyat atas sebuah kerajaan itu ialah selagi tiada pilihan raya baru diadakan.

Kerajaan Perak yang ada sekarang adalah kerajaan yang ditunjuk oleh Istana dan BN pimpinan Najib tetapi ia belum dibuktikan disokong oleh rakyat seperti yang Najib sebut ketika membuat kenyataan dia tidak mahu jadi PM yang tidak disokong rakyat.

Baru setahun rakyat Perak menyatakan tidak menyokong BN secara jelas, Najib menegakkan Menteri Besarnya yang tidak diketahui disokong atau tidak disokong rakyat.

Adakah yang dia tidak mahu hanya jadi Perdana Menteri dan menteri yang tidak disokong secara jelas oleh rakyat, untuk menjadi Menteri tidak mengapa tanpa sokongan jelas rakyat?

Katakanlah ketika tiga ADUN di Perak itu sudah membebaskan dirinya dari kerajaan masa itu, maka dalam keadaan semasa sudah tidak jelas kerajaan pimpinan Nizar itu disokong rakyat, tetapi pada masa itu juga tidak jelas Zamri Abdul Kadir disokong rakyat.

Katakanlah keadaan itu tidak jelas, tetapi Najib menyokong pembentukan kerajaan yang tidak jelas juga. Apabila kes di Perak itu dibawa ke mahkamah, Najib lebih rela menyokong kerajaan yang ditegakkan oleh mahkamah dari kerajaan yang asalnya disokong oleh rakyat secara jelas.

Kemudian dia beralih ke Selangor. Berbagai pergolakan berlaku di Selangor. Adalah dipercaya jika boleh apa yang berlaku di Perak hendak dilakukan juga di Selangor. Mungkin tidak bertujuan begitu, tetapi dari bacaan politik dia boleh dipercayai bertujuan begitu.

Oleh kerana satu ADUN saja di Selangor yang lari dari Pakatan tiadalah dapat gantikan kerajaan yang sah itu dengan satu kerajaan yang tidak disokong secara jelas oleh rakyat.

Najib juga cuba ganggu di Kedah hingga seorang Exconya dari kaum India terpaksa meletak jawatan. Tetapi Pilihan Raya Kecil di Kedah itu dimenangi juga oleh Pakatan Rakyat. Setahun selepas kerajaan di Kedah itu ditegakkan, terbukti rakyat menyokongnya lagi.

Jika kejadian di Kedah dalam masa setahun itu rakyatnya tetap menolak BN, maka kemungkinan rakyat di Perak juga sama masih bersama Pakatan.

Dalam keadaan tiga ADUN di Perak berubah kedudukan, berlaku keadaan yang jelas di sebelah Nizar dan tidak jelas juga di sebelah Zamri. Dalam keadaan semuanya tidak jelas, yang s ewajarnya Najib mesti bersetuju kepada satu pilihan raya baru supaya Perak dapat sebuah kerajaan yang jelas disokong rakyat.

Tetapi Najib memilik untuk menegakkan sebuah kerajaan yang tidak jelas disokong rakyat. Ini berlawanan dengan kenyataannya konon tidak mahu jadi Perdana Menteri yang tidak jelas disokong rakyat.

Justeru itu ada transformasi pada diri Najib sendiri.The Malaysian Insider

Setia kepada Agong bukan kepada UMNO


Pakar Perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari menyelar kenyataan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin (kanan) berhubung penafiannya terhadap dakwaan berlakunya manipulasi undi pos.

Abdul Aziz berkata, kenyataan Zulkifeli, khususnya soal kesetiaan kepada kerajaan adalah "memalukan perkhidmatan" dan menunjukkan kegagalannya memahami konsep kesetiaan dalam konteks negara dan warga.

"Setia dengan siapa? Parti politik tak perlu setia dengan ATM (Angkatan Tentera Malaysia). Semua orang kena setia kepada negara yang lambangnya ialah YDP (Yang di-Pertuan) Agong," kata Abdul Aziz sambil menyifatkan kenyataan Zulkifeli sebagai pelik.

"ATM - sebagai salah satu cabang perkhidmatan awam persekutuan - hanya perlu setia kepada negara dan Agong. Tak perlu setia kepada kerajaan yang memerintah. Perkhidmatan awam wajib neutral, bukan menyebelahi parti pemerintah."

Zulkifeli semalam menyalahkan PAS dan menafikan dakwaan manipulasi undi pos yang dibuat oleh empat bekas anggotanya dalam sidang media anjuran dewan itu di ibu negara.


Sambil menyifatkan perkara itu "tidak boleh berlaku", beliau berkata ATM sentiasa apolitikal dan hanya akan menyokong kerajaan yang dipilih rakyat dan juga setia kepada Yang Di-Pertuan Agong.


Penafian kosong


Tambahnya, pihak yang bercita-cita untuk memerintah perlu mendapatkan sokongan daripada rakyat terlebih dan setia serta menyokong angkatan tentera.


Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini semalam, Abdul Aziz berkata, ATM hanya perlu jalankan perintah kerajaan yang selaras dengan undang-undang.


Sedangkan, dakwanya, apa yang berlaku dalam konteks undi pos adalah jenayah.


"ATM perlu buktikan tidak berlakunya hal itu. Bukan buat penafian kosong. Tubuhkan jawatankuasa penyiasat sekurang-kurangnya," kata pensyarah kanan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.


Abdul Aziz juga berkata, tindakan Zulkifeli 'menyerang' kembali Pemuda PAS yang mengetengahkan isu itu juga tidak wajar kerana dia sepatutnya berterima kasih terhadap dewan itu.


"PAS hanya mewakili rakyat yang mahukan pilihan raya yang bersih dan bebas dari penipuan. ATM perlu jelaskan yang ia bersih, bukan menuntut rakyat setia kepada ATM ATM adalah milik rakyat. Ini yang panglima ATM kena faham," katanya.


Dengan sinis, Abdul Aziz mengingatkan Zulkifeli supaya tidak mengikuti jejak ketua polis negara dan timbalannya yang didakwa "mengeluarkan pelbagai kenyataan yang menghina rakyat dan mengengkari perlembagaan".

Timbalan Speaker Dewan Rakyat terpalit skandal perniagaan haram?



RAMAI rakyat Malaysia tertanya-tanya apa hubungan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dengan dua pengarah Mercantile Point Sdn Bhd dihukum penjara dan denda setelah didapati bersalah melakukan kegiatan Menggubah Wang Haram oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 17 Ogos lalu?

Penglibatan Junaidi sebagai Pengerusi Prime Stock Sdn. Bhd, subsidiari Mercantile Point Sdn Bhd dikesan melalui blog
‘Way Of Investment’ yang memaparkan resume dan peranan Junaidi setelah laman web utama Merchantile Point Sdn. Bhd ditutup.

Nama Ahli Parlimen Malaysia (Santubong) ini disebut-sebut oleh pelabur, namun sukar untuk mengesan penglibatannya; melainkan setelah Sabahkini.net menjalankan penyelidikan rapi dengan bantuan beberapa informer yang menjadi mangsa Merchantile Point Sdn.Bhd.


Pada 17 Ogos lalu, dua pengarah syarikat Mercantile Point Sdn Bhd, masing-masing dihukum penjara dua tahun serta denda RM3 juta dan RM5 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah mengikut Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (BAFIA) 1989 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.



Wan Junaidi merupakan Pengerusi Prime Stock Sdn. Bhd manakala Hariyah
merupakan CEO syarikat skim cepat kaya

Syarikat skim cepat kaya milik Jutawan Internet dari Sabah, Rusdie Ganning, 51, dan Hariyah Yaacob, 54, turut dikenakan denda RM3 juta bagi pertuduhan mengikut BAFIA.

Laporan Bernama pada 17 Ogos, Hakim Asmadi Hussin membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan yang diwakili peguam Mohd Hairani Samsi gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes tersebut.



Bagi pertuduhan BAFIA, Rusdie, Hariyah (gambar) dan syarikat itu masing-masing didakwa menerima deposit hampir RM117 juta daripada pendeposit tanpa lesen sah di antara 24 April 2007 dan 2 April 2008, di Unit 5.1, Unit 5.2 dan Unit 5.7, Aras 5, Wisma UOA II, 21, Jalan Pinang, Kuala Lumpur.

Bagi kesalahan itu, Rusdie dihukum penjara dua tahun dan denda RM1.5 juta manakala Hariyah dihukum penjara dua tahun dan denda RM2 juta.


Bagi kesalahan mengikut AMLAFTA, Rusdie didakwa terhadap 11 pertuduhan manakala Hariyah menghadapi 18 pertuduhan mengguna, memindahkan dan memiliki wang hasil aktiviti haram sebanyak RM32.5 juta sepanjang 2007 dan 2008.


Bagi kesalahan itu, Rusdie dihukum penjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan dan didenda RM1.9 juta, yang jika gagal dibayar Rusdie boleh menyebabkannya dipenjara 18 bulan.


Hariyah, yang merupakan ibu tunggal, turut dikenakan hukuman penjara yang sama dengan Rusdie bagi setiap pertuduhan dan denda sebanyak RM3.7 juta, dan sekiranya gagal membayar denda itu, dia boleh dipenjara 18 bulan.


Mahkamah memerintahkan hukuman bagi kesemua pertuduhan itu berjalan serentak mulai 17 Ogos 2011. Mahkamah turut menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu.


Rusdie sebelum ini aktif dalam bidang MLM dan pernah mempromosi Kad ICash yang kini dimiliki oleh 3.2 juta Ahli UMNO sebelum menceburkan diri dalam pelbagai bidang perniagaan berasaskan IT.


Merchantile Point Sdn.Bhd dilancarkan oleh Datuk Samsu Baharun Haji Abdul Rahman, Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 8 Disember 2007 di Mines Resort City, Seri Kembangan, Selangor.


Sabahkini.net akan terus menghubungi Junaidi setelah gagal beberapa kali; untuk mendapatkan ulasan beliau, terutama khabar angin mengatakan bahawa beliau salah seorang VIP penting yang terlibat secara langsung dalam Merchantile Point Sdn.Bhd.


-Sabahkini

KANTOI LAGI!!! Apa lagi alasan SPR nak lebong?


Pemuda PAS hari ini mendedahkan lima lagi nama dalam senarai pemilih - yang menurutnya nama yang jarang didengar - dan meminta mereka tampil atau disemak untuk disahkan kesahihan mereka.

"Oleh itu saya mohon kepada pihak Sinar Harian dan mana-mana pihak agar membuat semakan terhadap data tersebut," kata pengerusi Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat.

"Di harap individu yang terbabit dapat menampilkan diri. Semoga kita semua dapat menjayakan konsep semak dan imbang terhadap data-data sah SPR," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, akhbar Sinar Harian melaporkan telah mengesan enam pengundi yang didakwa oleh Pemuda PAS sebagai pengundi klon.

Lima nama yang dikemukakan oleh Suhaizan hari ini - yang menurutnya jarang didengar - untuk disemak ialah:


1. Jumaayah Bin Alus. Identiti ini mempunyai dua kad pengenalan iaitu 511122105834 dan 511122105754. Kedua-duanya dibezakan pada digit ke-10 dan ke-11.


2. Sainam Binti Tukisan: Identiti ini mempunyai dua kad pengenalan iaitu 500307105490 dan 500307105474. Kedua-duanya di bezakan pada digit ke 11 dan 12 sahaja.


3. Katimah Binti Kadni" Identiti ini mempunyai dua kad pengenalan iaitu 500808015282 dan 500808015290. Kedua-duanya dibezakan oleh digit ke-11 dan ke-12


4. Nesam Banu Bt Mohammad Fahmi: Identiti ini adalah pengundi pos. Nombor tenteranya adalah T373594 dan T375594. Kedua-dua nombor tentera ini dibezakan pada digit ke-4 sahaja.


5. Lanuddin Bin Ngah Mat Nasir: Identiti ini adalah undi pos dan memiliki dua nombor keanggotaan polis iaitu RF107781 dan RF107881. Kedua-dua nombor keanggotaan ini dibezakan pada digit ke-6.


"Berdasarkan kepada lima data di atas maka adalah mirip kepada manipulasi kerana hampir mustahil ramai individu memiliki nombor kad pengenalan yang 83% sama bagi satu nama individu yang unik.


"Mungkin terdapat sebahagiannya kebetulan tetapi tidak mungkin semuanya kebetulan," katanya.


Dalam kenyataan tersebut, Suhaizan berkata, Pemuda PAS tetap yakin bahawa pengundi hantu atau pengundi klon benar-benar wujud dalam daftar pemilih SPR.


"Enam data yang saya keluarkan hanyalah enam daripada ribuan data yang dimiliki oleh Dewan Pemuda PAS.


"Kajian tahap satu telah pemuda PAS laksanakan dengan menggunakan nama yang biasa dimiliki oleh rakyat Malaysia.


"Maka langkah seterusnya adalah Pemuda PAS mahu mengeluarkan enam data bagi nama-nama yang jarang dimiliki oleh rakyat Malaysia," tambahnya.

"Saya dedahkan paderi Melayu, tapi saya yang kena ISA"

http://www.pru-13.com/wp-content/uploads/2011/04/mat-sabu1.jpgTEMERLOH, : Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menggesa orang ramai tidak mempercayai propaganda media Umno pada masa ini yang kononnya menampakkan kumpulan tersebut membela Islam.

Sebaliknya apa yang digembar-gemburkan sekarang hanyalah sekadar mainan isu untuk dipolitikkan menjelang pilihan raya umum (PRU) ke 13.


Katanya, pergantungan Umno sekarang hanyalah kepada Melayu setelah mereka tidak yakin lagi untuk meraih majoriti undi bukan Melayu sebab itulah mereka mainkan isu agama dan perkauman.


“Jadi tak perlulah percaya dengan provokasi media Umno pada masa ini yang begitu agresif memainkan isu gereja dan murtad. Kenapa setelah puluhan ribu dilaporkan murtad sepanjang Umno/ N berkuasa baru sekarang tiba-tiba melenting?


“Saya masih ingat dulu saya telah berceramah tentang ada orang Melayu yang dikristiankan dan saya dedahkan ada paderi berbangsa Melayu, tapi selepas itu saya yang kena ISA.


“Saya kalau nak beritahu, Umno kalau betul-betul nak jaga Islam mereka tak tukar cuti hari Jumaat kepada hari Ahad seperti yang berlaku di Johor dan Perlis,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Pilihan Raya PAS Pahang di Darul Amin, Sungai Gau di sini semalam.


Pada program sehari suntuk itu 1,300 petugas parti di segenap peringkat hadir.


Turut memberi ucapan ialah Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.


Sementara Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Sederap Menjana Kemenangan’.


Mohamad Sabu yang sebelum itu menarik perhatian peserta kerana berjalan ke pentas dengan bertongkat, berkata rakyat perlu tahu bahawa hakikatnya Umno bukan pembela Melayu tetapi sedang berpolitik dengan main sentimen Melayu.


Mengenai pilihan raya, beliau berkata Pahang merupakan negeri penting kerana mempunyai banyak kawasan Felda tetapi berpotensi untuk menang jika bekerja kuat mendekati pengundi Melayu Felda dan Melayu kampung.


“Umno/BN diselamatkan di seluruh negara dengan 45 kerusi parlimen yang mempunyai undi Felda, 25 kerusi undi pos jadi mereka hanya perlu 50 kerusi lagi untuk terus berkuasa.


“Tetapi jika undi di seluruh Pahang mengalami swing sebanyak 5 peratus sahaja saya kita Pakatan Rakyat sudah banyak kerusi yang menang,” jelasnya.


Selanjutnya beliau memberitahu, fokus jentera PAS ialah merampas undi Melayu daripada Umno justeru peserta yang hadir mempunyai peranan besar untuk mendekati pengundi Melayu Felda dan Melayu kampung dengan memberi penerangan PAS bersedia ganti Umno.


Tambahnya, di beberapa tempat Umno telah meletakkan banner ‘Umno kalah DAP menang’ bagi menakutkan pengudi Melayu untuk berubah.


Mengenai electroral reform yang dicanangkan oleh Perdana Mneteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan dibentangkan di parlimen, beliau berkata tindakan tersebut berlaku setelah pemimpin Jerman yang akan datang lawat Malaysia telah menegur sistem pilihan raya negara ini ditambah lagi dengan asakan rakyat yang mahukan keadilan.Batu vs Kayu

Lepas "Telan" MAS, Kini "Baham" Queens Park Rangers


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes hari ini muncul sebagai pemilik majoriti baru kelab bola sepak Perdana Inggeris, Queens Park Rangers (QPR) dengan memiliki 66 peratus saham.

Menurut laporan The Guardian hari ini, beliau memiliki pegangan itu dengan membelinya pada harga £35 juta (RM168 juta).


Fernandes (gambar) dilaporkan membeli keseluruhan pegangan dimiliki Bernie Ecclestone dan harga itu juga dikatakan sama dengan kadar pelaburan Ecclestone dan rakannya Flavio Briatore pada 2007.


Dengan perkembangan ini, Fernandes menjadi tokoh terbaru dalam senarai ahli perniagaan dari Asia melabur dalam kelab-kelab bola sepak Inggeris.


Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Thailand yang kini dalam buangan, Thaksin Shinawatra membeli Manchester City dan hartawan Hong Kong Carson Yeung membeli Birmingham City.


“Saya sentiasa mahu terlibat dalam bola sepak dan rayuan sebuah Kelab London seperti QPR, adalah satu peluang yang sukar untuk diketepikan begitu sahaja,” kata Fernandes lagi.


“QPR merupakan berlian mentah dan moga-moga saya boleh menyumbang untuk menjadikannya satu berlian.


Saya mahu peminat-peminat bangga dengan apa yang kami lakukan dan terlibat bersama sejauh yang boleh,” kata beliau lagi.


Laporan semalam menyebut beliau bakal membeli saham pemilik Formula 1 Ecclestone yang merupakan pemegang saham utama dalam QPR dengan urus janji itu kemungkinan diumumkan dalam waktu terdekat.

Ecclestone memegang 66 peratus saham kelab itu, bersama-sama hartawan besi dan keluli dari India Lakshmi Mittal, seorang lagi pemegang saham utama dengan 33 peratus dan bekas ketua pasukan Renault Formula 1, Flavio Briatore memiliki satu peratus.

Ecclestone merupakan pemegang saham utama kelab itu sejak lima tahun lepas dan beliau telah sejak sekian lama mahu menjualnya.


Fernandes, yang juga pemilik pasukan Team Lotus Formula 1, menghangatkan lagi spekulasi pengambilalihan itu pada Sabtu lalu apabila beliau menyaksikan kekalahan pasukan itu 4-0 kepada Bolton dari kotak pengarah di Loftus Road.


Wall Street Journal semalam melaporkan Fernandes bakal membeli 51 peratus pegangan dalam kelab itu daripada Ecclestone dan beliau dikatakan akan membeli saham itu bersama-sama Mittal, yang sudah memiliki sepertiga saham kelab itu.


Sebuah lagi akhbar, Financial Times juga melaporkan Fernandes bakal mengambil alih saham majoriti QPR seawal Isnin tetapi mengingatkan urus janji itu masih belum dimeterai dan mungkin akan tertangguh atau malahan batal berikutan pihak-pihak perlu mencapai persetujuan pada butiran muktahir.


Fernandes, peminat West Ham, telah beberapa kali cuba dan gagal membeli West Ham United, kelab bola sepak utama di timur London.


Minggu lepas, Fernandes menerusi Tune Air telah memperoleh kawalan tidak rasmi Malaysian Airlines System (MAS) dengan memegang 20.5 peratus saham dalam syarikat penerbangan kebangsaan itu menerusi perjanjian pertukaran saham dengan cabang pelaburan kerajaan Khazanah Nasional, yang sebagai balasannya akan memegang 10 peratus saham dalam AirAsia Berhad.


Tahun lepas, Forbes Asia menilai kekayaan peribadi Fernandes sebanyak AS$330 juta (RM982 juta), meletakkannya pada ranking ke-19 dalam senarai orang paling kaya di Malaysia.JP

Reformasi pilihan raya: Najib sekadar untuk menangguh?

Sekali lagi Perdana Menteri Najib Razak menampilkan dirinya sebagai pembawa perubahan apabila mengumumkan bahawa kerajaan akan meneliti dan mengkaji sistem pilihan raya dan sistem media yang sedia ada, selepas siri program transformasinya. Ia memberi persepsi seolah-olah Najib akur kepada suara rakyat. Bagaimanapun, pemimpin Pakatan Rakyat pula menganggap janji Najib akan berakhir sebagaimana program transformasinya yang lain - semakin lenyap apabila masa berlalu.

Najib pernah menjanjikan ruang media yang lebih bebas selepas menerajui tampuk kerajaan, malah melancarkan siri program transformasi untuk mewujudkan "suasana feel good". Tetapi, ruang media tidak terbuka luas, malah semakin sempit berbanding zaman pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi. Program transformasinya pula dihalang oleh golongan sayap kanan, misalnya PERKASA - dan akhirnya lari dari rupa bentuk asalnya - mungkin juga kerana tekad politiknya yang tidak teguh.

Perhimpunan BERSIH 2.0 memperlihatkan ketidakpuasan rakyat. "Suasana
feel good" yang cuba diwujudkan Najib ranap. Kini, sekali lagi Najib menampilkan diri untuk membawa perubahan, cuma, sejauh manakah keikhlasannya, dan lebih penting, apa niatnya?

Ketiga-tiga orang ahli parlimen Pakatan Rakyat, Tian Chua (Batu-PKR), Liew Chin Tong (Bukit Bendera-DAP) dan Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor-PAS) ketika ditemuramah MerdekaReview, menganggap BERSIH 2.0 memberi tekanan yang besar terhadap kerajaan Najib, dan beliau perlu menyajikan janji reformasinya sebagai reaksi terhadap ketidakpuasan rakyat.

Dzulkefly Ahmad yang juga AJK PAS Pusat berkata, ini adalah kemenangan rakyat, kemenangan BERSIH 2.0 dan kemenangan Pakatan Rakyat. Naib Presiden PKR, Tian Chua turut berkata, ia adalah hasil tekanan yang tercetus daripada perhimpunan BERSIH 2.0. Tian Chua menambah, Najib mengalami tekanan sebelum dan selepas perhimpunan BERSIH 2.0, dan beliau tidak menggunakan cara yang terlalu drastik untuk menindas perhimpunan ini. Ini menunjukkan bahawa Najib tidak berani, malah tidak bersyarat untuk menentang kuasa rakyat. Maka, Najib memilih cara diplomatik untuk menyedapkan hati rakyat.


Sengaja untuk menangguh?


Oleh sebab bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan institusi itu untuk melakukan kebanyakan tuntutan reformasi, misalnya penggunaan dakwat kekal, pembersihan daftar pemilih dan sebagainya, Tian Chua menganggap pengumuman penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen sekadar untuk menangguhkan masa - sebagaimana yang dilakukannya ketika menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock. Kesudahannya bakal membuktikan, hasilnya jauh lebih kurang daripada apa yang dilaung-laungkan, kata Tian Chua.


Ketika ditanya kemungkinan Najib menyedari bahawa reformasi sistem pilihan raya adalah hasrat rakyat, maka dirinya perlu mengikut arus ini untuk mengembalikan keyakinan rakyat, Tian Chua (gambar kiri) sebaliknya mempersoalkan, "Mengapa perlu Najib berbuat sedemikian? Beliau tak perlu buat sedemikian, itu periuk nasinya."

Tian Chua menjelaskan, kerajaan tetap boleh menjalankan reformasi sistem pilihan raya meskipun tanpa Jawatankuasa Pilihan Parlimen. Tian Chua tetap menganggap bahawa Najib tidak berniat untuk melaksanakan agenda reformasi, yang bakal menjejaskan peluang kemenangan Barisan Nasional dalam PRU ke-13.


Dzulkefly Ahmad dan Liew Chin Tong meskipun mengalu-alukan respon positif Najib terhadap tuntutan BERSIH 2.0, namun meramalkan bahawa janji ini akan berdepan dengan rintangan dalam partinya ketika cuba dilaksanakan.


Umumkan tarikh PRU-ke13!


Dzulkefly Ahmad berkata, Najib tidak menampilkan apa-apa prestasi atau monumen politiknya sepanjang tiga tahun ini, meskipun beria-ia dengan program transformasinya - dan hanya "terkejut dari tidurnya" selepas ditekan BERSIH 2.0. Dzulkefly Ahmad menambah, seandainya Najib ingin meyakinkan rakyat bahawa dirnya memang ikhlas untuk melaksanakan perubahan, maka Najib harus memberitahu rakyat bila PRU ke-13 akan diadakan, selain menetapkan "jadual waktu" dan objektif pelaksanaan reformasi yang jelas.


Meskipun mengalu-alukan respon positif daripada Najib, Liew Chin Tong (gambar kanan) berkata penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen sahaja tidak mencukupi, kerana negara kini memerlukan reformasi secara menyeluruh dari sistem demokrasinya, termasuk kebebasan media, pemilikan media, kebebasan perhimpunan, pendaftaran warga negara dan sebagainya - dan bukan hanya reformasi yang terbatas kepada bahagian-bahagian tertentu.

Beliau menambah, anggota Jawatankuasa Pilihan Parlimen belum diketahui setakat ini. Malah beliau berkata, seandainya ahli parlimen Pasir Mas merangkap Presiden PERKASA Ibrahim Ali tersenarai sebagai anggota jawatankuasa tersebut, maka usahlah berbicara mengenai reformasi.


Liew Chin Tong menganggap desakan BERSIH 2.0 dan tekanan dalam parti seperti Saifuddin Abdullah, yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, yang menyebabkan Najib terpaksa menampilkan imej pembawa perubahan. Bagaimanapun, kenyataan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam menunjukkan Najib bakal menghadapi halangan daripada golongan sayap kanan dalam UMNO.


Liew Chin Tong percaya bahawa Najib menyedari perubahan senario yang berlaku dalam kerangka yang lebih besar, malah faham bahawa pengawalan media tidak akan memberi kesan. Namun demikian, golongan kanan dalam UMNO mempunyai pemahaman yang berbeza dengannya dalam hal ini, yang menyebabkan usaha dirinya sentiasa tersekat dalam parti.

Tidak tegas, tidak mempunyai halatuju adalah masalah yang terbesar untuk Najib, sehingga agenda yang dikemukakannya itu sentiasa tidak "tulen" pada peringkat akhirnya, kata Liew Chin Tong. "Beliau tidak tahu untuk berada di posisi mana dalam politik demokrasi, di depan atau di belakang. Adalah bahaya untuk seseorang ketua yang tidak berhalatuju, lebih bahaya daripada membuat keputusan."


Dzulkefly Ahmad (gambar kiri) juga bersetuju dengan pandangan ini, "Najib ditentang partinya sendiri, partinya adalah musuh beliau, bukan Pakatan Rakyat atau rakyat. Dan Najib adalah musuh untuk dirinya, ini kerana beliau tidak bertulang belakang, beliau berdolak-dalik, gagal melakukan apa-apa!"


*Chan Wei See ialah Ketua Pengarang
MerdekaReview. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 16 Ogos 2011

Pentadbiran di Kedah jauh lebih cekap berbanding zaman BN

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Kecekapan Pejabat Tanah Daerah Kulim memproses permohonan dalam masa dua jam telah memberi kejayaan besar kepada jabatan itu apabila menang Anugerah Inovasi Sektor Awam 2010.

Penganugerahan itu membolehkan Pejabat Tanah Kulim membawa pulang RM300 ribu, hadiah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan di ibu negara baru-baru ini.

Pertandingan yang diadili oleh Mampu ini disertai oleh semua jabatan kerajaan dan sektor awam di Malaysia dan Kedah memenangi kategori inovasi melalui penglibatan pertama kali Pejabat Tanah Kulim.

Selain itu, Pejabat Tanah Daerah Kulim dalam gerak kerjanya telah mempelopori beberapa inovasi termasuklah Karnival Lelongan Awam Hartanah, Kaunter Pandu Bayar, Kaunter Ekspress dan Prosedur Cut of Point.


Kejayaan pentadbiran tanah daerah di sebuah negeri yang dipimpin oleh Pakatan rakyat adalah berita besar, namun digelapkan oleh media-media arus perdana.


Baru-baru ini Sebaik dilantik menjadi Datuk Bandar Alor Setar Dato’ Haji Mat Noh Ahmad bertekad mahu jadikan bandaraya Alor Setar sebagai ‘Bandaraya Sejahtera’ selari dengan tema Kedah Sejahtera yang menjadi misi PAS dalam dokumen manifesto dahulu lagi.


Antara langkah diambil ialah pelaksanaan OSC Online bertujuan mempercepatkan proses permohonan kepada jangkamasa enam bulan berbanding sebelum ini mengambil masa yang panjang sehingga bertahun-tahun lamanya.


Permohonan ini meliputi kelulusan pembangunan tanah, kebenaran merancang dan pelan pembangunan, penambahbaikan sistem penyampaian prosedur dan proses cadangan pemajuan ini merupakan aspek terpenting dalam usaha kerajaan meningkat sistem penyampaian perkhidmatan awam.


Penambaikan ini akan dilaksanakan bersama ‘certificate on complenation and compliance’ bagi meningkatkan daya saing negeri untuk menarik pelabur asing ke negeri Kedah.


Projek Keli-K di Sungai Pau, Sik yang menghadapi masalah pada peringkat awal berjaya diatasi apabila kilang pemprosesan ikan keli mula dilaksanakan dan akan disiapkan dalam masa terdekat.


Terbinanya kilang ini, dapat menangkis tohmahan pembangkang yang mengatakan kerajaan negeri tidak melakukan apa-apa bagi membantu rakyat, malahan belum ada lagi negeri di Malaysia ini yang ada kilang seumpama ini.


“Di Malaysia masih tak ada kilang macam ni, apabila dah siap, kita kena labur sikit untuk tambah sangkar dan meluaskan pasaran,” kata Menteri besar.


Pusat Kecemerlangan Perbankan Islam, Kewangan dan Keusahawanan Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) berjaya menarik sebuah institusi kewangan negara jiran Thailand untuk menjalin hubungan kerjasama dua hala.


Berdasarkan kepada MoU berkenaan, Insaniah akan menyediakan tenaga pengajar berpengalaman bagi melatih seramai 1,800 kakitangan Bank Islam Thailand dalam masa dua hingga tiga tahun.


Kerjasama ini membuktikan keyakinan Bank Islam Thailand dengan keupayaan Insaniah dan memilihnya untuk membekalkan latihan secara menyeluruh mengenai perbankan Islam kepada kakitangan mereka.


Nampaknya di bawah PAS, IPT itu diperkasakan sehingga menjadi mentor pengurusan kewangan Islam di peringkat dunia, perkara yang tidak pernah berlaku di zaman BN dahulu.


Lebih tiga tahun memimpin kerajaan, kepimpinan politik negeri dianugerahkan dengan sebuah birokrasi pentadbiran negeri yang efisien dan menapak dengan lebih baik dari kerajaan terdahulu. Apa maknanya?


Maknanya, para pegawai lebih selesa bekerja di bawah kerajaan yang tiada agenda politik kepartian dalam pentadbiran. Dalam ilmu pengurusan politik boleh wujud di mana-mana, sekalipun di luar wadah politik. Tidak terkecuali jabatan kerajaan. Itu lumrah. Namun di kedah ia tidak diburukkan dengan pengaturcaraan politik kepartian dalam pentadbiran negeri. Mampukah kerajaan Pusat melakukan amalan yang serupa?


Di peringkat awal pentadbiran kerajaan pimpinan Dato’ Seri Ustaz Azizan pada Mac 2008, terdapat pihak yang meragui sejauhmana para pegawai yang separuh abad ‘ditarbiyah’ BN boleh member kerjasama terhadap kerajaan negeri. Namun selepas pelbagai pencapaian dicapai oleh negeri, keraguan tersebut terhakis. Mereka setia untuk bersama dengan kepimpinan negeri dan tidak kekok untuk berbeza dengan Pusat.


Alangkah baiknya jika para pegawai dan kakitangan kerajaan negeri Kedah dimudahkan lagi bekerja dengan tiada perbezaan antara Negeri di Pusat; yakni kekalkan PAS di negeri dan tumbangkan BN di pusat.

KANTOI LAGI !!!.Pengarah JAIS tidak tahu tentang operasi siasat gereja..??

Kontroversi tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan pemeriksaan terhadap Gereja Methodis Damansara Utama (DUMC) terus berlarutan apabila kini timbul dakwaan Pengarahnya, Marzuki Hussin tidak tahu-menahu mengenai operasi itu.

Sumber dalaman JAIS menyatakan bahawa Marzuki tidak dimaklumkan mengenai operasi yang dijalankan oleh Bahagian Penguat kuasa JAIS dan polis pada malam 3 Ogos lalu.

"Pengarah tidak dimaklumkan tentang operasi itu. Sebab itu operasi malam itu dibuat tanpa persedian rapi," kata sumber berkenaan.

Justeru menurut sumber itu lagi timbul tanda tanya berhubung pihak yang mengeluarkan arahan atau memberi kelulusan agar operasi itu dilaksanakan.

Selain itu difahamkan juga jumlah 12 individu Islam yang dilaporkan menghadiri majlis makan malam anjuran komuniti gereja di DUMC itu tidak tepat berdasarkan fakta bahawa hanya sepuluh daripada mereka diwakili peguam dari firma guaman Tetuan Lee Hishammuddin.

"Dua lagi individu itu 'tidak formal', tapi kesemua 12 yang diperiksa itu memang hadir beri keterangan agar tidak menimbulkan syak," katanya lagi.

Sumber berkenaan bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai apa yang dimaksudkan dengan 'tidak formal'.

Baru-baru ini Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mendakwa mempunyai bukti bahawa Umno mendalangi pemeriksaan JAIS terhadap DUMC.

Mustafa turut mengatakan Umno memainkan peranan dalam mempolitikkan isu itu ekoran tindakan JAIS yang sehingga kini belum mendedahkan hasil siasatan mereka ke atas gereja tersebut.

Jangan libatkan Sultan dalam isu Jais

http://2.bp.blogspot.com/-fCAYUEj19Kw/Td0f4TJNC-I/AAAAAAAAChk/N-5Ym2Xk4HQ/s400/rani+meru.jpgKUALA LUMPUR, 18 Ogos – PAS menegaskan tiada pihak yang mempertikaikan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya, sebaliknya hanya mahu penjelasan sebenar daripada agensi penguatkuasaan agama itu.

Pemimpin-pemimpin PAS menegaskan tidak timbul soal mempertikaikan tindakan Jais atau tidak menghormati Sultan Selangor selaku ketua agama negeri tapi semua pihak hanya mahu mendapatkan penjelasan.


Menjawab pendirian Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman menegaskan, dakwaan mengatakan ada pihak termasuk parti politik mempertikaikan tindakan Jais apatah lagi mempersoalkan kuasa Sultan Selangor.


“Dalam Islam yang kita tidak boleh pertikaikan adalah al-Quran dan sunah, itu tidak boleh pertikai... satu ayat pun kita tidak boleh pertikai, kalau kita pertikai akidah kita boleh terjejas.


“Jadi dalam isu Jais ini, kita tidak pertikaikan pun cuma kita nak dengar penjelasan... apa salahnya? Islam adalah agama hujah, hujah atas fakta dan dalam isu ini kita bukan pertikai tapi mahukan penjelasan,” katanya kepada The Malaysian Insider.


Tegas beliau, PAS tidak akan berkompromi sekiranya benar wujud kegiatan memurtadkan umat Islam pada majlis makan malam muhibah anjuran Harapan Komuniti di Gereja Methodist Damansara Utama.


“Kalau betul ada usaha untuk memurtadkan umat Islam, kita akan sokong (tindakan).


“Apa salahnya kalau kita mahukan penjelasan, kita bukan pertikai, cuma nak jawapan mengenai apa yang berlaku... sebab itu kita bercadang mahu mengadakan pertemuan dengan Jais dan Gereja Methodist Damansara Utama,” katanya sambil menambah, kontroversi semasa ini boleh diselesaikan tanpa melibatkan Sultan Selangor.


Tambah Abdul Rani: “Kalau boleh selesaikan di (peringkat) bawah, tidak perlu dibawa ke Sultan Selangor.”


Pagi ini, The Malaysian Insider membawa laporan, Pengerusi Mais Datuk Mohd Adzib Isa menegaskan, mana-mana pihak yang mempertikaikan tindakan Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama secara tidak langsung tidak menghormati Sultan Selangor selaku ketua agama Islam negeri.


Beliau berkata, ini kerana Jais tidak terikat dengan kerajaan negeri Selangor, sebaliknya agensi penguatkuasaan itu terletak di bawah kuasa Sultan Selangor.


“Sultan Selangor adalah ketua agama negeri Selangor dan dari segi strukturnya Mais terletak di bawah Sultan Selangor dan Jais terletak di bawah Mais.


“Jais adalah badan bebas... tidak terikat dengan kerajaan negeri Selangor dan Jais adalah pelaksana atau badan pentadbiran,” katanya.


Justeru beliau meminta semua pihak tidak mempertikaikan tindakan Jais yang melakukan pemeriksaan ke atas majlis malam malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu yang mendapat kritikan banyak pihak.


Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, persoalan yang timbul berikutan dokumen-dokumen sulit berkaitan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama terbongkar.


Tegas beliau, sepatutnya dokumen-dokumen sulit itu termasuk rakaman video tidak didedahkan sehingga hasil siasatan selesai.


“Saya lihat tiada siapa yang pertikai tindakan Jais, apa yang menjadi tanda tanya adalah siasatan masih belum selesai, tetapi bukti-bukti dan dokumen sudah tersebar di blog-blog.


“Sepatutnya ia menjadi rahsia dan bila ini terjadi timbul tanda tanya siapa yang keluarkan bahan bukti ini... kalau timbul persoalan ini, kita tidak boleh salahkan rakyat,” katanya.


Jelas Tuan Ibrahim, walaupun Jais terletak di bawah bidang kuasa Sultan Selangor tetapi agensi itu masih terikat di bawah pentadbiran kerajaan negeri Selangor.


“Jais juga terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri termasuk di bawah Exco.


“Tindakan Jais ini melibatkan kepentingan orang ramai, kita bukan pertikai bidang kuasa tapi penguatkuasaan itu kadang-kadang timbul tanda tanya. Apa yang dipertikaikan penguatkuasaan Jais bukan kuasa Sultan Selangor dan kalau kita lihat tindakan yang diambil (Jais) itu kadang-kadang juga berat sebelah,” katanya.


Tambah beliau, semua pihak sedar Jais terletak di bawah bidang kuasa Sultan Selangor dan ia tidak pernah dipertikaikan.


“Rakyat juga tidak pertikai Sultan Selangor, tidak timbul soal pertikai Sultan Selangor... kita memahami bidang kuasa Sultan Selangor.


“Tapi kita tidak boleh membuat tindakan yang kemudian diletakkan di bawah Sultan Selangor,” katanya.


Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula berkata, apa yang dipertikaikan bukan tindak Jais, tapi penglibatan Umno dalam pemeriksaan ke atas premis gereja seperti mana yang didakwa Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali.


“Siapa yang pertikai Jais? Kita kata kalau ada bukti memurtadkan umat Islam ambil tindakan dan kita bimbang pemeriksaan itu dibuat tidak ikut peraturan semata-mata untuk penuhi kepentingan politik Umno.


“Apa yang kita persoalkan penglibatan Umno dalam mencaturkan tindakan Jais itu,” katanya.


Mustafa mendakwa Umno berperanan dalam pemeriksaan yang dilakukan oleh Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu.


Beliau turut mengatakan Umno memainkan peranan dalam mempolitikkan isu itu ekoran tindakan Jais yang sehingga kini belum mendedahkan hasil siasatan mereka ke atas gereja itu.


Tambah Mustafa, beliau sedia mendedahkan maklumat campur tangan Umno kepada Pengarah Jais Marzuki Hussin.

KANTOI!! Gantung Imam: Nooh Gadut Punya Kerja??


Imam sebuah masjid di Gelang Patah yang digantung kerja selepas ditahan dalam perhimpunan BERSIH 2.0 mempertikaikan alasan yang diberikan Majlis Agama Islam Jojor (MAIJ) berhubung tindakan itu.

Hassan Md Said, 40, mengesyaki alasan berkenaan bacaan khutbahnya sengaja ditimbulkan untuk menghalalkan tindakan menggantungnya.


"Mereka boleh kata (penggantungan) berkenaan khutbah, sedangkan semua orang kampung kata penggantungan saya disebabkan BERSIH.


"Lepas ini saya tak hairanlah kalau alasan lain keluar sama.


(Contohnya) kata saya tidak datang mesyuaratlah," katanya sinis.


Penasihat MAIJ Datuk Noh Gadut dilaporkan berkata, penggantungan seorang iman baru-baru ini dibuat atas kesalahan tidak membaca teks khutbah yang disediakan majlis itu.

Tanpa menyebut nama Hassan, Noh berkata tindakan diambil terhadap imam tersebut "untuk mengundurkan diri dan ditarik balik pentauliahannya", lapor Sinar Harian hari ini.


Bekas mufti Johor itu juga dilaporkan berkata, tindakan terpaksa diambil kerana MAIJ telah beberapa kali menasihati dan memberikan banyak peluang tetapi kesalahan itu masih berulang.


'Saya bukan Mat Sabu'


Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Hassan - imam utama Masjid Ladang - menafikan tidak membaca khutbah yang disediakan sebaliknya hanya "menyesuaikan" dengan masalah isu setempat di kampungnya.


"Khutbah ini kadang-kadang tidak semasa dan tidak sesuai dengan tempat.


Kampung saya ini kampung nelayan. Masalah orang sini masalah akidah.


Di sini muktazilah, Syiah, Wahabi semua ada. Khutbah saya kenalah menyentuh perkara ini," katanya.


Menurutnya lagi, beliau sudah lebih sepuluh tahun mengambil tindakan itu tetapi tiada sebarang teguran dibuat oleh pihak majlis atau pegawainya di peringkat daerah yang dilantik.


"Kenapa sekarang baru isu khutbah ini muncul?


Kenapa tidak dua tahun lalu.


Betullah saya kata, majlis agama ini tidak profesionallah.


Saya sekarang ini kalau dipecat pun saya redalah," katanya.


Ditanya sama ada beliau mengkritik kerajaan dalam khutbahnya, Hassan menafikannya dengan alasan "saya bukan (timbalan presiden PAS) Mat Sabu".


"Saya juga bukan hendak main politik atau hendak jatuhkan kerajaan.


Cuma saya ini bukan macam imam-imam lain yang ikut saja, (mereka) bila orang datang hendak kena tabik," katanya.


Hassan - bapa kepada dua anak - itu digantung kerja tiga bulan sehingga 2 November atas alasan "melanggar beberapa arahan" majlis agama negeri, yang dikeluarkan melalui Pejabat Kadi Johor Bahru.


Hassan percaya tindakan itu susulan beliau antara hampir 1,700 orang yang ditangkap polis pada 9 Julai lalu.


Beliau menafikan menyertainya, sebaliknya hanya menziarahi saudara dan melawat ibu negara.


Pengidap kencing manis serius itu percaya elaun bulanan RM750 terhadapnya juga dibekukan, sekali gus menyebabkan pesakit kencing manis serius itu hilang mata pencarian.
JP

Pembahagian PSC berat sebelah, Bebas yang 8 orang pun ada wakil


KUALA LUMPUR 18 OGOS : Cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Nazri Abdul Aziz untuk mewujudkan awatankuasa Khas Parlimen (PSC) berhubung reformasi pilihan raya bagi menjamin proses pilihan raya umum akan datang berjalan dengan bebas, adil dan demokratik disifatkan sebagai hanya sekadar wayang kerajaan pemerintah.

Malah, menurut Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh amalan bermain wayang ini sering menjadi pilihan kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) dalam memberi gambaran baik kepada dunia bahawa mereka dalam cerdik mentadbir sesebuah negara.

“Pengumuman itu hanyalah wayang, nak tunjuk pada satu dunia yang kononnya (UMno-BN) akan melaksanakannya tapi apa pula dengan kenyataan Nazri yang tidak menjamin pembersihan daftar pengundi sebelum pilihanraya?

“Mereka juga tidak bersungguh-sungguh dan tidak memberikan komitmen dengan betul,” katanya.

Mengulas lanjut perkara itu, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan, sama sekali tidak bersetuju dengan pembahagian Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) yang diumumkan Nazri Aziz semalam ekoran pembahagian kerusi yang tidak adil.

Menurut Fuziah, jawatankuasa yang dicadangakn itu jelas berat sebelah dimana ianya dianggotai sembilan wakil - lima daripada parti kerajaan, tiga pembangkang dan satu bebas.

Tambahnya lagi, ahli parlimen dari bebas tidak berhak mendapat pembahagian walaupun seorang, berdasarkan jumlah kesuluruhan ahli parlimen.

“Jika kita lihat pada peratus kerusi di Parlimen, Ahli Parlimen bebas yang memiliki 8 kerusi dari 222 kerusi keseluruhan tidak mewakili 1 peratus dari 8 ahli jawatan kuasa,”

“Kita boleh lihat ketidakseimbangan pembahagian jawatan kuasa ini kerana bebas tidak sampai 0.5 peratus pun untuk dilantik menjadi jawatankuasa. Satu wakil bebas dan hanya tiga wakil dari PR tidak mengikut pembahagian,”

Nazri yang dipetik dalam laporan akhbar harian berbahasa Cina, Sin Chew semalam berkata, walaupun penggubalan undang-undang adalah satu proses yang panjang, tetapi kerajaan berharap untuk melaksanakannya sebelum pilihan raya umum akan datang.

Beliau menjangka jawatankuasa itu akan diketuai Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, manakala wakil-wakil pembangkang pula akan diputuskan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PSC : Cubaan alih perhatian rakyat


KUALA LUMPUR 18 OGOS : Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertujuan sekadar untuk mengaburi mata rakyat.

Katanya, ini kerana penubuhan jawatankuasa tersebut untuk menambah baik proses pilihan raya, tidak dirunding bersama Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan bersifat berat sebelah.

“Kalau dikatakan ada jawatankuasa khas yang ditubuh, itu hanyalah untuk mengaburi mata kita sebab ini tidak dibincangkan dengan pihak pembangkang di parlimen. Sistem ini juga berat sebelah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), bersama Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bagi menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 300 pesakit semalam.

Katanya, penubuhan jawatankuasa itu bukan sahaja membuktikan kerajaan pimpinan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui wujud kepincangan pilihan raya.

“Sebab itu perlunya reformasi dalam pembersihan undi, macam-macam yang telah dilakukan termasuk protes dan perbincangan oleh Badan Bukan Kerajaan, (NGO). Protes ini (Bersih) bukan kali pertama dibuat, tapi masih lagi tidak ada perubahan,”

“Apa yang kita tengok makin teruk dan kita perlu dedahkan lebih supaya kerajaan ambil langkah-langkah yang kukuh dan mantap. Kenalah mengambil kira pandangan pembangkang, sekurang-kurangnya Perdana Menteri mengakui memang ada kepincangan dalam sistem pilihanraya,” katanya lagi.

Sementara itu, Wan Azizah menyifatkan kongkongan kebebasan media yang dilakukan Umno-BN, sebagai perkara yang memalukan negara.

Baru-baru ini, Datuk Seri Najib Razak membuat kenyataan mengenai usaha mengurangkan penapisan media namun ia berlaku sebaliknya apabila jurugambar Suara Keadilan, Yuisriah Yusof dipanggil Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM).

SKMM juga memanggil ibu bapa blogger, Nur Hanief Abdul Jalil yang disiasat pada Mac lalu kerana mengkritik Umno-BN melalui laman Youtube.

“Malaysia jatuh pada tangga bawah kerana kongkongan dalam kebebasan media ini amatlah memalukan negara.

Menurutnya, Selangor mencatat sejarah apabila menjadi negeri pertama dalam Malaysia meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) 2010 yang memberikan hak kepada rakyat untuk mengakses maklumat berkaitan pentadbiran negeri.

“Kita di selangor mengadakan kebebasan media . Itu yang kita nak supaya kita dapat sesuatu yang akan sampaikan kepada rakyat. Jadi rakyat boleh mengetahui pemimpin mereka dan boleh membuat pilihan,” kata beliau.