Monday, March 5, 2012

BN MENGAKU SALAH!!! Najib kata YES, pemimpin UMNO lain kata NO


KUALA LUMPUR, 5 MAC: Datuk Seri Najib Razak telah memohon maaf kepada rakyat Malaysia pada Sabtu lalu kerana “kesilapan-kesilapan” Barisan Nasional yang menyebabkan (BN) hilang banyak kerusi dan negeri seperti Kedah pada 2008.

Tetapi kenyataan Perdana Menteri itu diperlekehkan pula oleh pemimpin-pemimpin UMNO, membangkitkan persoalan sama ada Najib benar-benar dihormati oleh para menteri serta pemimpin BN.

Malah, permohonan maaf itu juga tidak bererti kerana UMNO-BN jelas tiada keazaman politik untuk membuat sebarang perubahan, sebagaimana yang dilihat sepanjang empat tahun lalu sejak 2008.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas cuba meremehkan permohonan maaf Najib, apabila bermegah dengan pencapaian BN dalam beberapa dekad yang lalu.

Muhyiddin dipetik media sebagai berkata “… dalam tempoh 54 tahun, tiada siapa yang boleh menafikan, walaupun terdapat kelemahan, kita telah mencapai kemajuan besar dalam bidang sosio ekonomi, budaya, pendidikan, hubungan antarabangsa dan lain-lain.”

Malah, menurut Pua, Muhyiddin mengelak maaf Najib dengan menambah, “ (kesilapan-kesilapan BN) itu semua sudah berlalu, tak perlu kita ungkit kelemahan-kelemahan kita.”

Selain Muhyiddin, beliau berkata, Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan terus menolak permohon maaf Perdana Menteri dengan menggesa rakyat Malaysia untuk “memberikan BN mandat untuk memerintah berikutan janji oleh Najib bahawa BN akan membetulkan kesilapan lalu”.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, kenyataan-kenyatan para pemimpin UMNO itu dengan sendirinya menghancurkan rasa muhibah yang mungkin timbul daripada permohonan maaf Najib yang dibuat kepada rakyat Malaysia pada hari sebelumnya.

“Ia menunjukkan bahawa BN masih angkuh dan mengetepikan kritikan rakyat Malaysia sejak sekian lama dan mana-mana peluang perubahan tidak akan berlaku jika BN kekal berkuasa.

“Buktinya, Muhyiddin kata itu kesilapan lalu, bukan sekarang manakala Ahmad Maslan berkata jika BN tidak dapat majoriti dua pertiga, ia tak mampu membaiki kesilapan lalu,” katanya mendedahkan hipokrasi pimpinan UMNO-BN.

Beliau menyatakan bahawa keadaan itu menampakkan kucar-kacir dan panik dalam pucuk pimpinan UMNO dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang kerana semua pihak bertentangan antara satu sama lain atas mesej yang sama untuk memenangi undi.

“Walau pun tidak mahu bertentangan dengan Perdana Menteri secara terus kerana permohonan maaf yang telah dibuat, pemimpin-pemimpin UMNO kelihatan berebut-rebut untuk membendung kesan dengan menjadikan permohonan maaf Najib tidak relevan,” ujarnya.

Katanya, walau pun menjadi Perdana Menteri selama 3 tahun, rakyat Malaysia tidak menyaksikan apa-apa kemajuan daripada Najib tetapi semakin lama semakin teruk.

Menurutnya, Malaysia telah jatuh lagi dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (IHP) iaitu dari nombor 56 kepada 60 manakala kes-kes penyalahgunaan kuasa seperti yang dapat dilihat dalam skandal terkini projek RM250 juta fidlot NFC.

“Permohonan maaf UMNO yang tidak ikhlas sebelum pilihan raya tidak akan menukar cara rakyat melihat BN, lebih-lebih lagi kerana pemimpin-pemimpin BN tidak bersedia untuk mengakui kerosakan dalam sistem,” tambah beliau.

No comments:

Post a Comment