Macam-macam cara Datuk Seri Najib Razak lakukan untuk ‘membeli’ undi dengan menyalahgunakan wang rakyat.
Selepas golongan suri rumah ditawarkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M),
rakyat biasa menerusi Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), pelajar sekolah
menerusi Susu 1Malaysia, mahasiswa dengan Baucer Buku 1Malaysia, kini
pemandu teksi pula dilayur menerusi Teksi Rakyat 1 Malaysia (TR1Ma)
dengan satu lagi peruntukan hasil cukai rakyat dan sumber negara
bernilai RM35 juta.
Wang rakyat ini akan digunakan untuk pakej pembiayaan baucar subsidi
tayar sebanyak RM520 bagi penggantian empat tayar untuk tempoh dua
tahun. Tidak cukup dengan itu, Najib sendiri telah berjanji untuk
menamatkan monopoli pemilikan lesen dan permit teksi yang sudah berpuluh
tahun membelenggu nasib pemandu teksi khususnya di Lembah Klang.
Janji yang sangsi
Yang peliknya tidak pula dinyatakan pihak mana yang telah memonopoli
permit teksi selama ini. Adakah beliau sengaja tidak menyebutnya kerana
ingin menyembunyikan penglibatan ramai pemimpin UMNO-Barisan Nasional
serta syarikat kroni dalam kes ini?
Maka kita serahkan budi bicara pemandu teksi dalam hal ini, moga-moga
mereka sedar yang mana gula-gula atau perangkap Najib dengan yang mana
lebih ikhlas seperti yang termaktub dalam buku Jingga Pakatan Rakyat.
Pakatan sedar apa yang sebenarnya dimahukan oleh pemandu teksi. Bukan
sekadar tayar, lampu atau cermin kereta. Yang mereka tuntut selama ini
ialah hak pemilikan teksi individu. Kerana tanpa permit itu, para
pemandu teksi hanyalah pekerja kepada syarikat-syarikat yang diberi
habuan menguasai pemilikan teksi.
Pakatan Rakyat menerusi Buku Jingga telah berikrar lebih awal untuk
menghapuskan pemberian permit teksi kepada syarikat kroni, sebaliknya
akan memberikan secara terus kepada pemohon iaitu pemilik teksi.
Ini jelas bukan janji kosong, sebaliknya dasar yang telus dan jitu. Tapi
malang, Najib tidak berani dan tidak mampu memberi seperti mana Pakatan
Rakyat ingin berikan, di sini kita boleh nilai yang mana jujur dan yang
mana tidak.
Dalam hal janji air liur Najib ini, ada lagi yang pelik, secara
tiba-tiba tahun ini menjadi tahun kebajikan bagi kerajaan Barisan
Nasional. Sudah kerap kita utarakan isu di mana kesemua pemberian wang
atau apa jua bantuan secara ‘one off ’ ini tidak ada dinyatakan secara
terperinci dalam belanjawan 2012 yang lalu. Jadi kita musykil sekali
dari mana datangnya wang berbilion ringgit ini.
Jika dihitung anggaran jumlah pemberian BR1M yang berjumlah sekitar RM
1.92 billion, KR1M sekitar RM 40 juta, Skim Susu 1Malaysia berjumlah RM 4
juta, Baucer Buku 1Malaysia sekitar RM 260 juta, TR1Ma berjumlah RM 35
juta dan Klinik 1Malaysia berjumlah RM 10 juta setakat Januari 2010,
kesemua jumlahnya sudah mencecah sekitar RM 2.269 billion.
Ini tidak termasuk kes rasuah wang rakyat untuk syarikat kroni NFC berjumlah RM 250 juta dan lain-lain ketirisan lagi.
Reputasi yang meragukan
Nampaknya, wang rakyat telah diurus oleh pemimpin yang sangat boros dan
cuai. Ini adalah berpunca dari sikap yang gila untuk kekal berkuasa.
Inikah model pemimpin yang dikatakan membela masa depan rakyat?
Kita bimbang menerusi kepimpinan yang sedia ada hari ini, kita sedang
memperjudikan nasib kita ditangan mereka yang tidak amanah dan korup.
Oleh itu, jangan sesekali kita terpesona dengan lakonan pemimpin yang
sudah kemaruk kuasa.
Para pemandu teksi juga sedar siapa yang sebenarnya membela nasib
mereka. Mereka sudah berpuluh tahun menanti janji-janji BN yang amat
jarang ditunaikan.
Berikan sokongan kepada parti yang terbukti mengamalkan ketelusan, cekap
dan bertanggungjawab. Pakatan Rakyat sedia menerima mandat rakyat dalam
pilihan raya umum akan datang. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment