KOTA BHARU: Lot
305 Seksyen 1 Bandar Tumpat merupakan tanah rizab Melayu, tetapi
anehnya mengapa pula dalam geran tertera nama bekas pemimpin BN, Datuk
Foo Chow Yong.
Sedangkan kawasan itu diduduki penduduk Melayu sebelum air bah merah
(sekitar 1925) iaitu ketika Kelantan berada di bawah pemerintahan Siam.
Namun generasi ketiga yang mendiami lot berkenaan sekarang diarah
berpindah kerana cucu kepada Chow Yong dikatakan mahu membangunkan
kawasan itu.
Inilah nasib yang menimpa 39 penduduk Kampung Masjid yang terletak di
tengah-tengah pekan Tumpat. Di situlah mereka membesar dan menumpang
berteduh dengan membina kediaman sendiri.
Dan setiap tahun sejak belum merdeka mereka membayar sewa sebanyak
RM1 kepada wakil tuan tanah. Bayaran akhir pada 2007 antara RM10 hingga
RM70 setahun, bergantung kepada saiz rumah.
Resit bayaran sewa itu masih disimpan sehingga ke hari ini, sebagai bukti mereka dibenarkan menumpang di atas tanah berkenaan.
Pada Mac lalu mereka menerima surat peguam yang mengarah mengosongkan tanah tersebut, tanpa sebarang perbincangan dibuat.
Jurucakap kumpulan penduduk terbabit, Azizah Ibrahim, 57 memberitahu
penduduk begitu hairan tanah yang mereka duduki sejak berpuluh tahun
lalu boleh bertukar menjadi milik pemimpin politik MCA.
“Datuk nenek kami memberitahu kalau hendak baiki rumah kena minta
izin dengan tuan tanah dahulu. Begitu juga kalau hendak tebang pokok
kelapa kena bayar antara RM50 hingga RM100 sebatang sebagai ganti rugi.
“Saya difahamkan lot 305 dikeluarkan geran atas nama Foo Chow Yong
pada 1981 di atas tanah rezab Melayu yang didiami penduduk Melayu,”
katanya ketika ditemui selepas berbincang masalah tersebut di pejabat
peguam Hisham Fauzi di sini petang semalam.
Beliau bersama 38 lagi pemilik rumah di lot 305 datang beramai-ramai
bagi menandatangani surat pelantikan peguam bagi mengendalikan kes
berkenaan.
Pada 1981 Kelantan diperintah kerajaan Barisan Nasional (BN). Ada
penduduk merumuskan geran dikeluarkan dengan mudah kepada pemimpin MCA
terbabit kerana beliau juga merupakan anggota Exco kerajaan negeri
ketika itu.
Semasa pilihanraya awal 1980-an, Chow Yong calon tunggal MCA menang
di kerusi DUN Sungai Keladi, Kota Bharu kemudian dilantik sebagai
anggota Exco kerajaan negeri.
Difahamkan dengan kedudukan sebagai wakil rakyat memudahkan pemimpin
terbabit mengambil kesempatan memiliki tanah diduduki penduduk kampung.
Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim berkata, kemungkinan pemimpin
terbabit menggunakan kedudukannya sebagai anggota Exco mendapatkan tanah
bagi kepentingan peribadi dan keluarga tidak dapat dinafikan.
Azizah juga berharap kerajaan negeri dan pihak istana campur tangan
bagi menyelesaikan masalah tersebut kerana kehidupan mereka terumbang
ambing sekarang.
No comments:
Post a Comment