Tuesday, June 19, 2012
UMNO JOHOR TERTEKAN!! Tsunami politik bakal melanda Johor
Akhbar dalam talian DAP, Roketkini telah menemu bual dengan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yang kini memimpin jentera pilihan raya PAS Johor bersama dengan Pakatan Rakyat negeri dalam usaha mendapatkan mandat rakyat bagi membawa perubahan di negeri yang dikatakan kubu kuat UMNO-Barisan Nasional itu.
Ikuti wawancara Hafiz Zainuddin bersama dengan Salahuddin anak watan Johor yang kini menjadi Ahli Parlimen Kubang Kerian di Kelantan. Gambar-gambar oleh Wira Andika.
Apa isu utama masyarakat Melayu di Johor?
Perkara yang menyentuh isu Melayu di Johor ialah orang telah bercakap tentang integriti yang melibatkan urus tadbir. Sebab itu bagi saya, perkara paling penting sekarang ini adalah, rakyat perlu diberitahu tentang apa yang dikatakan sebagai hala tuju urustadbir kerajaan negeri.
Isu kronisme dan nepotisme juga semakin jadi bualan rakyat peringkat bawahan. Sebab itu Pakatan Rakyat telah bersepakat dan bersetuju bahawa perkara pertama yang harus diberi keutamaan sekiranya kita diberi mandat untuk mengambil alih Nusajaya, kita perlukan kepada management audit. Management audit ini penting bagi saya untuk kita melihat prestasi kerajaan negeri, semua GLC di bawahnya, dan juga tentang integriti pihak kerajaan sendiri.
Financial audit tu nombor dua, management audit tu yang pertama. Yang ini saya rasa satu isu yang harus kita berikan perhatian. Yang kedua isu tanah, isu yang cukup dirasa oleh rakyat hari ini isu pengambilan tanah, pembayaran pampasan tanah yang tidak adil, dan sudah tentu orang-orang melayu ingin tahu kemanakah perginya tanah rizab melayu yang tergadai di sepanjang pemerintahan BN di Johor ini.
Contohnya bagaimana?
Isu tanah ini seperti pengambilan tanah untuk projek-projek kerajaan yang melibatkan seperti projek RAPID Petronas, tanah yang berstatus pertanian rakyat itu, adakah ia dibayar dengan adil? Begitu juga dengan isu pengambilan tanah di Tanjung Pelepas, walau pun kita bangga kita punyai pelabuhan, RAPID Petronas atau pun projek pembangunan infrastruktur yang penting itu kita tidak pertikaikan tetapi pendekatan kerajaan dan cara kerajaan mengambil tanah itu yang menjadi satu pertikaian yang sampai ke hari ini saya melihat ia telah menjadi suatu isu, iaitu dalam himpunan tanah baru-baru ini di Angsana seminggu selepas BERSIH hari Sabtu pertama. Lebih kurang 5,000 orang hadir yang mewakili pelbagai segmen masyarakat. Saya rasa ini isu yang seharusnya highlight kan khususnya kalau bercakap tentang pengundi Melayu.
Apa sebenarnya isu yang dimainkan dan apa kesannya kepada PAS sendiri dalam memenangi hati pengundi terutamanya pengundi Melayu.
Sudah barang pasti isu ini melibatkan sebahagian besar majoriti orang Melayu. Isunya adalah isu keadilan, kita boleh bayangkan satu tanah pertanian, tanah yang orang kampung duduk, mencari rezeki, bergantung kehidupan mereka dengan tanah itu atas nama pembangunan, (kerajaan) mereka ambil tanah itu.
Sebab itu kita masih lihat saki baki orang Melayu yang terpaksa menerima kesan langsung. Jadi mereka kehilangan tanah buat selama-lanya dan adakah bayaran itu mencukupi. Saya rasa ini isu yang kalau kita bercakap mengenai orang Melayu, mereka mengharapkan PAS mengambil isu ini. Sebab itu bila PAS mengatakan kita akan gantikan UMNO, sudah barang pasti PAS mesti menunjukkan komitmen yang tinggi. Rakyat ingin melihat betapa seriusnya kita memperjuangkan isu ini.
Persediaan pilihan raya di Johor bagaimana?
SALAHUDDIN: Ya seperti saya sebut tadi kita nak buat roadshow, kita nak buat himpunan. Respon sangat baik dan ini saya rasa kita tidak boleh memandang remeh isu ini yang kita rasa kita boleh untuk kita memberikan keyakinan kepada orang Melayu bahawa PAS sudah bergerak dan dilihat boleh ganti UMNO dan kita mampu untuk memperjuangkan nasib mereka.
PAS lebih rela berkawan dan berkongsi kuasa berbanding dengan UMNO. Isu itu cukup menghantui UMNO. Isu yang UMNO gunakan DAP yang merampas hak, melunturkan maruah serta martabat orang Melayu. PAS mengaku perjuangan orang Islam tidak rela bersatu (perpaduan) dengan UMNO adalah cubaan menjauhkan pengundi Melayu dengan PAS
Persepsi orang Melayu jika DAP menang, masyarakat Cina lebih ke hadapan dalam menyokong Pakatan tapi Melayu masih was-was, adakah perasaan takut hilang kuasa terlalu menebal pada Melayu?
A: Hilang kuasa, hilang tanah, itulah cara propaganda UMNO. Kerana itu masih ada orang Melayu yang tak puas hati dengan UMNO tapi tak bersedia bagi undi kepada PAS kerana takut ‘hilang kuasa’ orang Melayu. Memang sikap ini masih menebal. Bukan sekadar Melayu Johor tapi kelompok Melayu tegar penyokong UMNO dan khususnya mereka yang tidak ada akses dengan media baru dan hanya bergantung pada media arus perdana kawalan kerajaan BN.
Namun kita sudah berjaya menembusi banyak kawasan Melayu. Contohnya kawasan pendalaman Paya Mengkuang, Ulu Kulai, Gelang Patah, penempatan perkampungan Melayu tradisi, yang tanah diambil oleh projek yang kini sudah ada kawasan baru. Dulu tidak boleh masuk walau pun kita PAS. Ada juga gangguan polis cuba kacau kononnya tidak ada permit dan sebagainya tetapi kehadiran 200 hingga 300 orang yang sebelum ini tidak akan ada orang kampung keluar. UMNO buat laporan polis cuba ugut tuan rumah tapi kami masih teruskan ceramah sehingga jam 12 malam.
Kita akan memberikan fokus yang lebih terutamanya di kampung tradisi di Johor, dan sambutannya juga amat bagus. Kita bawa bersama risalah dan media baru ini secara berterusan. Ada yang hantar sms kepada semua setiap kali ada program dan ini amat berkesan. kami ada sistem khusus Sis-Pro yang dibayar oleh PAS dan penerima boleh mencecah 2,000 peneriman maklumat yang dihantar
Apakah sambutan ini boleh diterjemah kepada undi?
Itu persoaln yang lain tapi PAS yakin kerana walau pun bergerak perlahan dalam undi Melayu tapi amat drastik pada undi Cina, kita sentiasa meningkat. Sebab itu saya tidak bimbang undi Melayu hilang tapi ia akan menambah sedikit biar pun lambat. Kita ada sokongan kuat.
Media baru yang ada kumpulannya sendiri boleh sampai kepada orang muda, kelas pertengahan dan kelas pekerja yang menjadi sasaran. Ceramah kelompok menjadi tradisi yang serentak ceramah umum tapi lebih tumpu kepada kawasan yang sukar ditembusi dengan ceramah umum menggunakan Sis-Pro dengan ceramah kelompok.
Bagaimana tentang NFC skandal lembu kondo?
Dalam ceramah atau pun isu penerangan kepada masyarakat, mereka faham isu ini tidak sepatutnya jadi pada UMNO. Mereka kecewa, sebenarnya isu ini mudah untuk kita jawab, adakah walau pun dari segi perundangannya mungkin Dato Sharizat Jalil terlepas kerana isu ini terkena pada keluarga dia, suami, anak-anak dia dan syarikat suami dia. Ini yang kita katakan “you maybe legally right but morally wrong”. Jadi dia tetap bersalah. Adakah suami dia boleh dapat projek itu kalau isteri dia orang kampung biasa, kalau isteri penjaja gerai biasa? Kalau ikut kenyataannya ‘tidak salah’ tapi kes suami terbukti dan kes berada dalam mahkamah, isu ini lebih menarik.
Bagaimana dengan dakwaan penipuan undi yang dilakukan oleh BN?
Pengalaman di Terengganu dalam pilihan raya umum 2004 terasa akan wujud pekara itu seperti di Selangor di mana 486,000 pengundi baru termasuk undi pindah masuk. Memang mereka sengaja buat untuk itu. PAS, DAP dan PKR menyokong BERSIH kerana kita mahukan pilihan raya yang adil dan bersih kerana kita ke arah itu. Jadi dalam isu memenangi isu pengundi hantu ini kita perlu konsisten.
Mereka tak pedulikan Pakatan di Johor kerana mereka rasa ini kubu kuat mereka. Ada orang kata jangan terkejut mereka akan lebih fokus pada Selangor dan akan terlepas Johor. Saya lebih realistik. Saya yakin kalau pun kita tak tumbangkan atau ‘take over government pun, tapi kalau dah patahkan sedikit kuasa mereka pun dah cukup bagus untuk Pakatan di Johor. Bagi saya Johor mesti menyumbangkan sekurang-kurangnya 10 – 15 kerusi untuk ke Putrajaya
Secara realistik, PAS boleh menang berapa kerusi di Johor?
Saya rasa 17 kerusi Dewan Undangan Negeri. Ini berdasarkan kekuatan jentera pilihan raya kita. sokongan orang Melayu dan peratusan undi Cina yang sudah menolak BN. Memang pengundi Cina akan lebih memilih PAS sekarang tetapi kita tidak pernah lupakan pengundi Melayu. Kalau dilihat menang Maharani dan Sungai Abong, orang Cina beri hampir 60 peratus undi tapi juga betambahnya undi Melayu amat penting di dua tempat ini. Faktor itu penting, Melayu juga harus menyumbang manakala Cina pula sudah bersedia untuk berubah.
Suhu politik Johor?
Saya rasa ada perubahan sedang berlaku di Johor. Corak politik Johor juga sama dengan Selangor dari segi politik, geografi, komposisi kaum. Contohnya Shah Alam, Kelana Jaya, Ulu Langat (Parlimen) di mana kita hilang berbelas-belas ribu undi pada tahun 2004 tetapi pada 2008 apabila tsunami politik datang, semua jatuh kepada kita. Komposisi kaum Cina 35-40%, India 10 % menyumbang kepada kemenangan.
Johor bakal menjadi ransangan kerana semua orang di Johor sedang menunggu untuk membuat perubahan terutamanya di kalangan kaum Cina. Kajian daripada Havard, Oxford dan beberapa pihak lagi meramalkan undian Cina akan betukar sehingga 80%, terpulang sama ada anda percaya atau tidak. Inilah kajiannya
Benarkah saudara kembali ke Johor untuk bersedia menjadi Menteri Besar jika Pakatan menang?
Saya balik ke Johor kerana saya telah bersetuju untuk bersama berjuang kerana sejarah politik saya bermula di sini. Saya mahu menjadi sebahagian daripada sejarah itu. Saya tidak berada di Kubang Kerian bukan bermakna Kubang Kerian tak mahukan saya, tapi parti dah buat keputusan pada Disember tahun 2011, masa itu dah ada ura-ura ada pilihan raya umum.
Saya rasa tepat pada masanya. Sebagai Naib Presiden yang agak lama dalam parti, sepatutnya apabila rakyat perlukan anda, kenapa anda tidak balik ke tempat asal dan saya terima itu sebagai cabaran. Saya juga kaji tentang Johor sebelum saya balik. Ahli-ahli DAP juga dan mengalu-alukan kehadiran saya disini. Datuk Seri Anwar Ibrahim pun rasa ini adalah terbaik untuk kita dan PAS minta saya balik. Dan masa ni saya ini cuma sumbangan kecil saya, tunjukkan sedikit keberanian dan panduan berada di gelanggang UMNO. Lupakan isu siapa menteri besar, menang dulu.
Bukankah sukar untuk Pakatan menang di Johor buat masa ini?
Sama ada di segi politik ia adalah “bunuh diri” atau pun “terbunuh”, ini adat dalam politik. Saya dah bagi tahu orang Johor hidup mati saya di Johor. Kalau “terbunuh” pun sebagai seorang wira, saya bukan orang pengecut.
Dalam era politik baru, masih ada anggapan umum bahawa PAS adalah parti konservatif. Adakah pemikiran politik konservatif masih boleh betahan?
Saya tidak rasa PAS mengamalkan konservatif kerana saya sudah berada di dalam PAS selama 30 tahun dengan dasar parti kita amat jelas, kita ikut ajaran Islam. Islam ke arah kebaikan mengajar pemimpin kita agar lebih menjadi produktif, proaktif dan progresif dan ini cita-cita kita. Mungkin dulu ada sedikit stigma dalam dalam masyarakat PAS terlalu ekstrem, ada unsur-unsur fanatik dan seumpamanya. Tapi bila kita telah sampai ke tahap yang ada sekarang, ada juga orang yang datang untuk mengenali dan mendekati kita, kita ada banyak sesi dialog kita dah mula ada satu pakatan yang kuat.
Sekarang kita ada Pakatan Rakyat. Jadi sekarang orang ramai boleh melihat bagaimana keterbukaan PAS dalam menyesuaikan diri dalam arus perdana politik. Jadi saya rasa yang penting hari ini berilah kami peluang untuk kita buktikan kepimpinan dalam PAS. Jadi saya rasa yang ada dalam pemimpin tertinggi PAS semuanya tidak akan ada lagi masalah kerana rakyat boleh menilai mereka dalam sebagai pemimpin sama ada di Parlimen mahu pun di luar. Dalam diskusi kita di mana-mana forum dan seminar. Dan PAS tidak lagi asing dan apa yang disebut tadi luntur daripada pandangan.
Semakin ramai orang sertai PAS sekarang, bagaimana pula pandangan saudara tentang orang Melayu yang masuk DAP?
Ini juga perkembangan yang menarik yang juga, DAP berusaha kuat untuk memecahkan tembok mereka dengan masyarakat dan mungkin dengan beberapa peristiwa yang belaku kebelakangan ini yang berlaku seperti integriti kerajaan Pulau Pinang dan juga keyakinan mereka terhadap orang-orang muda dalam DAP macam Anthony Loke, Tony Pua, Liew Chin Tong, mereka semua banyak bercakap isu nasional, bukan lagi isu kecinaan. Ini yang mendorong orang-orang profesional Melayu ingin mencuba berpolitik dengan DAP. Ini bagus ia menyuburkan lagi pentas demokrasi dalam dunia kita.
Tentang masa depan PAS?
Ini masanya kita tunjukkan usaha membuang pemikiran yang menghantui PAS agar menjadikan PAS lebih moderat, lebih faham tentang landskap politik negara dan meletakkan yang penting memastikan kedudukan dalam arena politik negara. Kita lebih berperanan, lebih amanah, dan lebih bertanggungjawab menjadi contoh yang baik dari segi kepimpinan dan dua kerajaan negeri yang boleh kita jadikan bukti, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat di Kelantan dan Dato Azizan Razak di Kedah. Kita cukup jelas dengan gelombang yang kita bawa, kita juga sanggup bekerjasama dengan DAP dan PKR sekiranya kita diberi peluang di Putrajaya.
Sebagai mengakhiri wawancara, boleh ceritakan sedikit latar belakang politik saudara?
Saya dipilih sebagai Ketua Pemuda PAS Johor sepanjang tahun 1989 hingga 1999 kemudian sebagai Ketua Pemuda PAS Malaysia mulai 2003 hingga 2009. Selepas itu saya dipilih sebagai Naib Presiden PAS sejak 2009 hingga sekarang.
Saya berkelulusan sarjana muda Human Development daripada Universiti Putra Malaysia.
Dalam perjuangan politik, saya hanya mahukan keadilan untuk semua, jadi kita perlu membela rakyat, membela kaum masyarakat. Sebab itu dalam Islam kita tidak boleh berjuang mengikut perkauman. PAS cukup relevan dan saya sesuaikan dengan idealisme saya sekarang. Idealisme pejuangan itu dimiliki oleh PAS.
Paling menarik sekarang ini saya buat keputusan untuk balik ke Johor. Itu yang buat saya rasa bahagia dan bangga sebagai Naib Presiden. Yang paling tidak lupa ialah sewaktu menjadi Ketua Pemuda PAS Johor pada tahun 1989 di mana ketika itu saya tidak punya kerja tetapi kawan-kawan yang banyak membantu. Saya percaya wang bukan segala-galanya tapi terus kuat berjuang sehingga saya diberi peluang bertanding di Kelantan pada 2004. Dari tahun 1989 saya mula serius dalam jawatan yang besar sehingga 2004 saya tidak ada punca pendapatan yang tetap. Terima kasih pada tahun 1989 saya dapat RM300 sebulan dari PAS.
Saya sangat berterima kasih pada kawan-kawan yang banyak membantu. Tidak ada duit bukan alasan untuk tidak berjuang. Peringkat awal dikutuk oleh keluarga untuk berjuang untuk Islam sedangkan saya tak punya kerja tapi mahu perjuangkan Islam. Sekarang mereka faham. Isteri saya amat banyak membantu dan menjadi tulang belakang perjuangan saya. Saya juga bersyukur dengan enam anak yang mana lima sudah lepasan universiti. – Roketkini.com
Teringat raya tahun lepas makan 'berasak' kat Pontian. Orang Pontian memang sgt mesra...
ReplyDeleteYB, tanya org umah boleh tempah baju raya lg tak?