Tuesday, July 17, 2012

TOLAK CALON WINNABLE!!! Ketua UMNO Bahagian berkomplot di Jakarta



Masalah utama yang dihadapi oleh Najib untuk meletakkan calon-calon yang dianggap winnable tetapi berada di luar kepimpinan UMNO bahagian ialah sikap-sikap kebanyakan Ketua-Ketua UMNO Bahagian yang didapati masih kemaruk untuk bergelar YB walaupun sudah menjadi wakil rakyat lebih daripada dua penggal.

Mereka ini didapati masih belum bersedia memberi ruang kepada orang lain mengganti-pakai gelaran YB itu walaupun Najib sudah berulang kali menyebut tentang keinginan untuk meletakkan calon yang dianggap winnable itu.


Disebalik Najib bercakap soal winnable yang bermaksud calon baru yang bersih serta boleh diterima rakyat, wakil-wakil rakyat lama ini tetap juga beranggapan mereka juga adalah winnable walaupun dalam  pilihanraya lalu kemenangan yang diperolehi sekadar cukup makan sahaja.


Di Selangor, wakil-wakil rakyat lama yang terdiri daripada pemegang jawatan Ketua Bahagian dan lain-lain jawatan dalam UMNO didapati masih ghairah melobi dan menonjolkan diri dengan harapan dipilih lagi sebagai calon pilihanraya.


Selain Dr. Khir Toyo yang masih menghadapi kes mahkamah dan mengumumkan mahu berundur, didapati tiada pemimpin lain yang berbuat demikian.


Mereka bukan saja didapati masih ghairah melobi untuk menjadi calon tetapi beberapa wakil rakyat Selangor juga sudah mengadakan pertemuan sulit di Jakarta untuk membentuk 'kesatuan' bagi membolehkan mereka melakukan desakan yang lebih mantap dan tersusun kepada pucuk pimpinan.


Dengan melakukan komplot sehingga ke Jakarta bagi membolehkan terus dipilih sebagai calon pilihanraya, bermakna harapan pucuk pimpinan untuk meletakkan calon-calon winnable yang berada di luar kepimpinan UMNO Bahagian pastinya melalui jalan sukar dan tidak mustahil hanya tinggal angan-angan saja.


Difahamkan antara perbincangan yang dibuat selain mendesak untuk terus dipilih sebagai calon, mereka juga turut menyentuh mengenai proses pemilihan UMNO yang akan diadakan selepas pilihanraya nanti.


Di Johor pula, beberapa wakil rakyat yang sudah lebih tiga penggal memegang jawatan itu turut didapati masih ghairah melobi dan tidak segan-segan bercerita tentang hasrat mahu terus bertanding dalam pilihanraya akan datang ini.


Sebahagian daripada mereka juga didapati makin rancak memasang kain rentang di seluruh pelusuk kawasan masing-masing memuji-muji kepimpinan Najib dengan pelbagai ungkapan manis sambil meletakkan gambar mereka bersebelahan dengan Perdana Menteri di kain rentang tersebut.


Keadaan ini tentunya  tidak lain adalah didorong oleh keghairahan yang tidak pernah padam untuk terus menjadi wakil rakyat. Dan sekali lagi keghairahan ini turut menyukarkan kemasukan calon-calon baru yang dianggap winnable untuk dipilih sebagai calon pilihanraya.


Di Sabah juga keadaan yang sama berlaku di mana sebahagian besar wakil rakyat UMNO sedia ada secara terbuka menyatakan keinginan untuk terus bertanding.


Di sebuah negeri di utara pula berlaku keadaan yang lebih terbuka di mana beberapa wakil rakyat yang terdiri daripada pimpinan UMNO Bahagian bukan saja meluahkan hasrat untuk terus menjadi calon, bahkan terdapat yang menggambarkan kemungkinan untuk bertanding sebagai calon Bebas jika diketepikan oleh UMNO.


Tinjauan secara rambang di semua negeri sebenarnya mendapati kebanyakan wakil rakyat yang terdiri daripada Ketua Bahagian dan pemegang lain-lain jawatan dalam UMNO masih mahu terus menjadi calon walaupun menyedari usia mereka makin meningkat dan sudah pun merasai nikmat beberapa penggal menjadi wakil rakyat.


Pimpinan UMNO Bahagian ini langsung tidak peduli soal kemenangan UMNO dan BN secara keseluruhannya, apatah lagi mahu memberi ruang kepada calon-calon baru menjadi wakil rakyat. Apa yang difikir dan diusahakan ialah memastikan mereka terus dipilih sebagai calon pilihanraya.


Dalam hal ini Najib sudah tentu serba salah kerana jika  Ketua Bahagian dan wakil-wakil rakyat  yang sudah lama terus dipilih sebagai calon ia akan menyukarkan impian kemenangan yang ingin digapai kerana rakyat akan menilai Najib gagal dalam transformasinya serta tidak mengotakan janji untuk meletakkan calon-calon baru yang dianggap winnable.


Di sisi yang lain, jika Ketua Bahagian terlalu ramai diketepikan ia mungkin pula menjejaskan kedudukan Najib dalam pemilihan UMNO selepas itu, terutama jika UMNO dan BN cuma menang tipis saja dalam PRU 13 nanti. Ketua-ketua Bahagian yang diketepikan ini kemungkinan akan bersuara lantang  mendesak agar Najib mengundur diri dan digantikan dengan pemimpin lain.


Soalnya mampukah Najib menjadi seorang yang tegas dan tidak tunduk kepada pelbagai karenah yang ditimbulkan oleh wakil-wakil rakyat usang serta pimpinan UMNO Bahagian ini sedangkan selama ini beliau sudah dicop sebagai Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah Malaysia? (Sahbudin 17/07/2012).

1 comment:

  1. Masing-masing kaki songlap dan gila jawatan,biasa la tu....UMNO

    ReplyDelete