Tuesday, July 17, 2012

ZAMAN NAJIB!!! 24 jam fikir politik tapi PRU tak berani buat jugak

Oleh ZULKIFLI YAHAYA
(Nota Utara, Harakah)
Musim bolasepak piala Eropah baru berakhir. Sewaktu pertandingan itu berada di dalam musimnya ia berjaya menarik berjuta umat manusia untuk meminatinya. Manusia sanggup berjaga malam untuk menyempurnakan minat yang datang empat tahun sekali itu. Apabila musim bolasepak itu berakhir, tumpuan sebahagian besar manusia tidak lagi ke situ. Banyak lagi agenda lain yang perlu dibereskan dalam kehidupan seharian.

Politik pun begitu. Ia sewajarnya adalah agenda bermusim dalam kehidupan manusia. Sepatutnya penentuan siapa berkuasa hanya berlaku dalam satu tempoh masa, di mana semua orang akan 'dipaksa' untuk memberi perhatian kepadanya. Selepas ianya berakhir maka banyak lagi agenda penting dalam kehidupan perlu diberi perhatian.


Situasi di Malaysia yang amalan demokrasinya amat primitif ini, khususnya di era Najib ini, politik berkaitan penumpuan terhadap pilihanraya kelihatan berlaku sepanjang masa, khususnya sejak pilihanraya umum ke 12 Mac 2008. Usaha meraih sokongan dan menghasut kebencian terhadap pihak lain berlaku sepanjang tempoh itu tanpa henti walaupun sehari.

Ada orang yang cuba untuk tidak mahu mendengar propaganda politik melalui RTM, TV3 atau lain-lain siaran radio atau televisyen dalam sehari - namun mereka gagal menemui. Ada orang yang tidak mahu membaca berita mengenai kenyataan Ummi Hafilda, Zulkifli Nordin, Perkasa, Jati, Tibai atau isu yang menghentam Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng - maka mereka sekali-kali tidak dapat mengelaknya kecuali langsung tidak menatap langsung Utusan Malaysia, Berita Harian atau mana-mana akhbar harian.

Rakyat disajikan dengan kebencian politik terhadap pihak lain oleh kerajaan yang berkuasa secara harian seperti lazimnya laungan azan dikumandangkan lima kali sehari, setiap hari. Agenda politik di Malaysia bukan lagi bermusim.


Bagaimana pula dengan parti pembangkang? Jawapannya, pembangkang juga sama '2x5, 5x2'. Cuma bezanya pembangkang tidak menguasai media utama dan tidak mampu (dan mungkin tidak akan) menyalahgunakan jentera kerajaan Pusat. Jadi tentulah pihak yang memerintah, yang berkuasa itu, adalah pencetus terhadap agenda politik 24 jam, sepanjang waktu itu. Logiknya parti yang berkuasa adalah pencetus dan pembangkang hanyalah pemberi reaksi. Tidak boleh diterima akal jika dikatakan kerajaan yang berkuasa itu hanya memberi reaksi terhadap agenda politik 24 jam yang dicetuskan pembangkang yang tidak menguasai apa-apa.


Di zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah Badawi isu politik tidaklah dihangatkan sepanjang waktu seperti sekarang. Situasi terburuk dalam sejarah negara ini berlaku kerana Najib merasakan dia dan BN sudah tidak selamat untuk menghadapi PRU13. Ditakdirkan juga selepas PRU12, hampir setiap dua atau tiga bulan sekali berlaku pilihanraya kecil, maka rentetan pilihanraya yang bersiri itu memaksa isu politik dibicarakan sepanjang tahun.


Sejak zaman tun Mahathir pentas kerajaan disalahgunakan untuk tujuan politik. Dikira pada masa itu ia sudah pun menjolok mata. Namun di masa Najib, ia lebih menjolok mata dan hati. Seorang Perdana Menteri boleh berbicara 'isu bontot' dalam program rasmi kerajaan. Bangkrap betul cara berfikir seorang Perdana Menteri. Pegawai dari Bukit Aman turun berkempen politik kepartian secara terus terang dengan mengeksploit isu keselamatan (kononnya) tidak berlaku di masa lima perdana menteri sebelum ini, ia berlaku di zaman suami Rosmah menjadi Perdana Menteri.


Mandat kerajaan BN di Pusat sudah berada di tahun kelima, maka mahu tidak mahu aturcara politik terpaksa diagendakan secara harian oleh semua parti politik. Rakyat Malaysia sudah melaluinya selama lebih empat tahun. Setiap hari dengar cerita merapu mengikut versi BN perihal politik.


Percayalah akhirnya nanti sebahagian rakyat akan menyampah dengan politik. Kecil atau besar golongan tersebut mungkin belum diukur setakat ini, cuma di kedai-kedai kita sering mendengar "Tak habis-habis isu itu, dah tak ada modal lain ke..". Kepada siapa undi golongan yang menyampah ini akan diberikan?


Harap-harap mereka tidak beri kepada BN pencetus dan pembekal sampah sarap di bumi satu Malaysia ini

No comments:

Post a Comment