Seorang
timbalan menteri yang masih berkhidmat telah menawarkan untuk
mengakhiri kehidupan penyiasat persendirian P Balasubramaniam dalam
buangan di India jika dia bersedia untuk didakwa dan mengaku bersalah
memalsukan akuan sumpahnya (SD) yang pertama.
Balasubramaniam mendakwa timbalan menteri berkenaan, yang secara rahsia
menemuinya sebanyak dua kali tahun lalu - sekali "di Singapura dan kali
kedua di Kuala Lumpur - telah menjanjikan dia (Balasubramaniam)
dikenakan denda seminima mungkin dan bersetuju untuk menyelamatkannya
daripada hukuman penjara jika dia bekerjasama.
"Mungkin dia merasakan BN tidak selamat dan sekurang-kurangnya dia
(perlu) memperbetulkan keadaan... (dan) menutup kes saya," kata
Balasubramaniam kepada Malaysiakini dalam satu temubual awal bulan
lepas.
Tawaran itu dibuat beberapa bulan selepas percubaan kedua untuk
merasuahnya supaya memburuk-burukkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar
Ibrahim menjelang pilihan raya negeri Sarawak tahun lepas.
Balasubramaniam, individu penting dalam kontroversi yang menyelubungi
pembunuhan warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu, terpaksa
melarikan diri ke India bersama keluarganya tidak lama sejurus selepas
dia membuat dua akuan bersumpah yang bercanggah.
Dia kemudian mendakwa bahawa dia telah diancam dan dibayar untuk
menandatangani akuan bersumpah kedua, untuk mengatakan yang akuan
bersumpah pertamanya dibuat "kerana ugutan ".
Akuan bersumpah pertamanya yang dibuat pada 2008 mengandungi dakwaan
yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib
Tun Razak dengan Altantuya.
Najib
telah menafikan dakwaan Balasubramaniam yang beliau mempunyai hubungan
dengan wanita Mongolia itu dan tidak dipanggil untuk memberi keterangan
apabila orang kepercayaannya, Abdul Razak Baginda, didakwa bersubahat
dalam pembunuhan Altantuya.
Abdul Razak dibebaskan daripada tuduhan tersebut tetapi dua anggota Unit
Tindakan Khas yang berkhidmat sebagai pengawal peribadi Najib, telah
disabitkan atas tuduhan membunuh Altantuya.
http://www.malaysiakini.com/news/205341
No comments:
Post a Comment