https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiE0RGsUhFgFHXoYrgJF18sC6ucN8g3fcsxtP1WdaumsEnXRUzGADR3mdmboxA6gh6nW4ktgndsZKy69-JgoNX_XpJKSp9g8e3Xe-UxTC6T_Q66SJR3DkoP2cPybvb7PP3-0OAsUM6CH9pt/s1600/najib+penakut+1.jpgBALING - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengulangi peringatannya bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang adalah penentu survival Umno dan Barisan Nasional (BN).

Beliau turut mengingatkan anggota parti supaya belajar daripada pengalaman pilihan raya umum 2008 agar tidak melakukan perbuatan yang menyebabkan BN tewas di beberapa negeri.


"Saya tidak mahu lagi politik adu domba sesama kita, tidak mahu lagi politik puak sesama puak... tidak mahu lagi dalam kempen orang merajuk dan mengkhianati.


"Jika semua ahli sokong calon yang dipilih, mustahil kita boleh kalah pilihan raya," katanya berucap merasmikan mesyuarat perwakilan berkumpulan enam bahagian Umno Selatan Kedah di Kompleks Rakan Muda Baling di sini, hari ini.

  
Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah, timbalannya Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, ketua Umno bahagian Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan ketua Wanita Umno Baling Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, sebagai anggota sebuah parti yang cukup matang dan dewasa, segala masalah yang melanda seharusnya diselesaikan.


"Dah empat tahun. Jangan lagi ada masalah. Jangan tunjuk jari...sudah sudahlah. Rapatkan barisan.   

  
"Jika sayang parti, kita hendaklah reda. Dipilih Alhamdulillah, tak dipilih pun kita ucap Alhamdulillah. Jika itulah sikap kita bermakna kita telah dewasa dan matang," kata Najib yang juga Presiden Umno.
  
Najib berkata apabila beliau menyatakan parti hendakkan 'winnable candidate' (calon boleh menang) semua akan kata mereka adalah 'winnable candidate' tetapi sebenarnya separuh sahaja yang boleh menang.
  
Walaupun dalam politik ada pasang-surut, Umno masih lagi parti yang relevan dan akan hidup untuk satu jangka masa panjang.  

"Belajarlah daripada kejayaan tapi guru paling berkesan adalah kegagalan. Kita pula mudah berjanji sebaliknya sukar melaksanakannya. Kita patut sayang parti tanpa meletak syarat.


"Saya dah lama....bila salam dah boleh baca. Bila genggam lagi boleh baca. Semua calon PRU kita kena lulus ujian," katanya sambil memberitahu bahawa banyak petunjuk yang menunjukkan sokongan rakyat terhadap BN telah kembali.


Beliau berkata pelbagai program dan dasar kerajaan untuk membantu rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dihargai rakyat.


"Kami sedar tuntutan rakyat, tidak seperti pembangkang yang menimbulkan isu hukum hudud menjelang pilihan raya. Kami bina ribuan masjid. Pas pula bina dua masjid sahaja selama 22 tahun perintah Kelantan.

 
"Umno akan terus perjuangkan Islam dan peradabannya dipertingkat. InsyaAllah kami letakkan orang yang betul, layak dan amanah. Ulama dan umarak tidak disisih supaya kemajuan Islam terus berkembang," katanya.
  
Mengenai Kedah, Najib berkata, selatan Kedah adalah teras bagi BN memenangi semula negeri ini.
  
Pada akhir ucapannya, perdana menteri secara berseloroh berkata: "Semangat nak bubar Parlimen...tengoklah dulu".
  
Perdana Menteri dan isteri turut menghadiri jamuan Hari Raya bersama penduduk Baling sebelum berlepas ke Alor Setar untuk majlis Hari Raya bersama perdana menteri di perkarangan Stadium Darul Aman. - Bernama