Kota Marudu : Senator Datuk
Maijol Mahap memberitahu, keputusannya untuk keluar dari BN bukanlah
sesuatu yang diambil dalam sekelip mata. Menurut bekas Naib Presiden
PasokMomogun Kadazan Dusun Murut (UPKO) itu, beliau telah memikirkan
secara teliti dan mengambil masa yang agak panjang mengenai perkara itu
namun masalah yang berlarutan di Sabah menjadi sebab utama beliau
mengambil langkah tersebut.
Maijol ada merupakan salah
seorang pemimpin kanan UPKO yang turut menyertai Timbalan Presiden parti
yang juga Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing
yang mengisytiharkan perletakan jawatan mereka dari parti dan BN ahad
lepas.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau hari ini, Maijol berkata beliau telah berada dalam BN selama 14 tahun.
"Boleh dikatakan, UPKO yang saya
anggotai adalah sebuah parti yang menarik dan mempunyai budaya yang
bagus. Presidennya, Tan Sri Bernard Dompok adalah seorang yang baik dan
pemimpin yang berketrampilan. UPKO sungguh bertuah kerana mempunyai
pemimpin seperti beliau. Bagaimanapun, setelah meneliti tentang masalah
yang berlarutan di Sabah sedangkan tiada usaha usaha penyelesaian
terlihat, dengan berat hati, saya terpaksa meninggalkan perjuangan itu"
"Saya tidak lagi menaruh
kepercayaan bahawa BN boleh atau akan menyelesaikan isu isu kritikal di
Sabah, contohnya seperti isu PATI yang telah lama berlarutan, kadar
kemiskinan yang tinggi di Sabah, penyisihan terhadap kaum KDM
(KadazanDusun Murut) dari perkhidmatan awam dan anugerah biasiswa,
masalah masalah tanah, royalti minyak 5%, Borneonisasi dan Dasar
Kabotaj," keluh Maijol.
Kerajaan BN, ujar beliau, telah berjanji untuk mengadakan satu Badan Siasatan Diraja (RCI) untuk menangani masalah pendatang tanpa izin di Sabah tapi hampir semua orang tahu bahawa ia hanyalah janji manis BN.
Terdapat kira kira 900 000 warga
asing di Sabah dan saya mengesyaki terdapat beratus ratus ribu lagi
yang bersembunyi disebalik identiti Melayu, Bajau dan kaum bumiputra
yang lain. Orang orang ini tiba tiba menjadi bumiputera malah lebih
bumiputera dari orang KDM. Cuba bayangkan apa yang kami rasa?" ujar
beliau lagi.
Menurut Maijol, orang orang KDM kekal orang yang paling miskin di Malaysia, sama kedudukannya dengan orang asli di Semenanjung.
Menurut statistik EPU, katanya, tahap kemiskinan di hampir setiap daerah di Sabah adalah sangat tinggi.
"Sebagi contoh pada tahun 2004,
tahap kemiskinan di Nabawan adalah 70%, Kota Marudu 42% dan Tambunan
44%. Daerah daerah yang lain juga menunjukkan peratusan yang lebih
kurang sama."
"Saya telah membaca statistik
untuk semua daerah di dalam Dewan Negara baru baru ini. Jawapan yang
diberikan oleh Jabatan Perdana Menteri mengatakan kadar tersebut telah
pun turun, tetapi apabila saya meneliti angkanya, penurunan yang berlaku
hanya sebanyak 5%. Dalam erti kata lain, purata kemiskinan disetiap
daerah masih sekitar 40%. Dasar dan perlaksanaan program pembasmian
kemiskinan telah gagal." ujarnya.
Maijol juga mengeluh apabila
masalah tanah masih terus menghantui penduduk dikawasan luar bandar,
satu satunya harta asas yang mereka miliki atau lebih dikenali sebagai
tanah adat, telah diambil/dirampas oleh syarikat syarikat besar dan
agensi agensi kerajaan dan menjadikan mereka berstatus penghuni haram
atas tanah milik mereka sendiri.
"Saya sudah tidak boleh bertolak
ansur dalam hal ni. Ini adalah merupakan satu diskriminasi terhadap
kehidupan rakyat." katanya sambil menyentuh isu perlantikan kaum KDM
dalam perkhidmatan awam.
"Bukanlah menjadi satu rahsia
bahawa masyarakat KDM berasa sangat tidak berpuas hati tentang
ketidakadilan yang berlaku dalam perkhidmatan awam, samada di peringkat
negeri ataupun persekutuan. Bilangan orang KDM dalam perkhidmatan adalah
sangat minima dari segi peratusan berbanding populasi dalam negeri."
kata Maijol.
Selain dari itu, mereka hanya
ditawarkan jawatan paling tinggi tempat ketiga atau keempat dijabatan
jabatan atau kementerian kementerian mereka, mereka telah diketepikan
sejak sekian lama. Kekecewaan mereka telah terkumpul dan pastinya akan
meledak menjelang tibanya pilihanraya.
No comments:
Post a Comment