Ucapan yang dilafazkan oleh Najib sejak akhir-akhir ini menggambarkan
jiwanya yang sedang resah. Beliau kelihatan amat gelisah tentang masa
depannya. Kedudukannya selepas pilihanraya akan datang sama ada masih
mampu menghuni Seri Perdana atau tidak, masih lagi kabur dan tidak
ketentuan.
Semalam dalam ucapannya di perasmian Pusat Transformasi Bandar, sebuah
kompleks yang dulunya dikenali sebagai Puduraya, Najib merayu agar
beliau diberi peluang sekurang-kurangnya sepenggal lagi untuk menjadi
Perdana Menteri.
Selepas itu di Johor Bahru, beliau pula berkata masa depan negara ini
terlalu tinggi nilainya untuk diserahkan kepada pihak lain. Beliau juga
seakan merayu agar pemerintahan BN terus dikekalkan.
Najib kononnya masih mempunyai banyak perancangan dan transformasi lagi
untuk dilaksanakan dan hanya dengan terus memberinya peluang menjadi
Perdana Menteri sahaja, semua itu dapat dilaksanakan.
Jika dulu nada ucapan Najib begitu tegas sambil menggariskan pelbagai
transformasi yang telah dilaksanakannya, tetapi kali ini nadanya
seakan-akan merayu pula. Jika dulu beliau menjerit-jerit dan
mengeluarkan perkataan "haramjadah" untuk menempelak orang yang mahu
mengamalkan demokrasi, kali ini rayuan dan pujukannya jelas dapat
dirasai.
Jika pasangan bercinta atau suami isteri yang sedang menghadapi masalah
keretakan hubungan, biasanya usaha memujuk dan merayu adalah pendekatan
terakhir untuk memulihkan hubungan supaya pulih seperti sediakala.
Apakah ini menandakan Najib sudah dapat membaca isyarat rakyat yang
makin menolak kepimpinannnya, lalu menggunakan usaha pujuk rayu ini
dengan harapan beliau dan Rosmah terus dapat tinggal mendakap kuasa di
singgahsana Seri Perdana?
Kepada siapakah rayuan itu sebenarnya ditujukan?
Najib sebenarnya bukan sahaja merayu kepada rakyat supaya terus memilih
UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang tetapi juga kepada ahli dan
perwakilan UMNO agar tidak menyingkirkannya jika dalam pilihanraya nanti
keputusan yang mampu dicapai oleh BN lebih buruk daripada keputusan
pilihanraya umum 2008.
Rakyat pelbagai lapisan kini umumnya seakan tidak sabar untuk menukar
kerajaan berikutan pentadbiran UMNO dan BN selama lebih 50 tahun yang
penuh dengan pelbagai masalah, skandal, rasuah dan penyelewengan. Rakyat
tidak boleh lagi sekadar berdiam diri melihat hasil kekayaan negara
dirompak oleh segelintir elit pemerintah sedangkan rakyat terus terbeban
dengan kenaikan harga barang serta kos sara hidup yang semakin
meningkat.
Pembaziran, pemborosan serta belanja mewah Najib sekeluarga sebagaimana
yang selalu menghiasi dada-dada media juga mahu ditamatkan episodnya
oleh rakyat.
Selain Anwar dan PR yang menjanjikan pelbagai pembaharuan dan kesenangan
untuk masa depan rakyat, majoriti rakyat kini juga semakin sedar
tentang hak dan kedudukan mereka yang sebenarnya. Rakyat tidak lagi
boleh diperbodohkan dengan siulan media konservatif yang sering
mengalunkan irama palsu untuk membuatkan rakyat terus alpa dan terlena.
Bagi rakyat, PRU 13 adalah penentuan untuk merubah nasib diri dan anak
cucu mereka. Jika perubahan dapat dilakukan, suasana dan sistem politik
negara akan berubah ke arah yang lebih baik di mana semua pihak yang
menjadi pemimpin selepas itu akan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat
dan negara melebihi segala kepentingan lainnya.
Tetapi jika perubahan tidak dapat dilakukan dalam pilihanraya ke 13 ini,
ia mungkin memerlukan masa 50 tahun lagi untuk melakukan perubahan yang
sama. Sebab itu, rakyat kini tidak sabar untuk melakukan perubahan dan
menumbangkan BN yang telah memerintah negara lebih 55 tahun ini. Mereka
tidak mahu menunggu 50 tahun akan datang untuk melakukan perubahan itu.
Kini segala transformasi dan janji-janji Najib tidak lagi melekat di
hati rakyat. Ia hanya ibarat taburan buih-buih sabun yang akan lenyap
ditiup angin. Bukan sahaja Najib menyedari hakikat itu, semua kepimpinan
UMNO juga menyedarinya. Mahathir yang pernah bertakhta selama 22 tahun
juga menyedari hakikat penolakan rakyat terhadap UMNO sekarang ini.
Selain rayuannya itu ditujukan kepada rakyat dan pengundi, Najib juga
sebenarnya sedang merayu kepada ahli dan perwakilan UMNO supaya tidak
menyingkirkannya jika beliau hanya mampu memberi kemenangan tipis kepada
UMNO dan BN. Najib juga secara halusnya sedang merayu kepada
timbalannya, Muhyiddin Yassin agar tidak mengambil alih tempatnya
meskipun ketika itu nanti desakan ke arah itu begitu kuat.
Najib sendiri menyedari sentimen ahli UMNO sekarang. Oleh kerana Pak Lah
dipaksa undur pada 2009 kerana kemenangan hanya 140 kerusi dan hilang
majoriti dua pertiga pada piihanraya 2008, nasib yang sama juga bakal
menimpanya jika gagal memperbaiki pencapaian itu.
Tinjauan umum banyak mendapati bahawa agak mustahil untuk Najib
memperbaiki pencapaian 140 kerusi itu. Dengan segala macam skandal dan
penyelewengan berterusan, amalan kronisme dan nepotisme terus
diperkukuhkan, di samping Najib sendiri dilihat lebih lemah daripada Pak
Lah, hakikatnya apa sedang menunggu beliau ialah sama ada kalah atau
pun hanya mampu menang dengan kelebihan yang sangat tipis. Mungkin hanya
5 hingga 9 kerusi Parlimen sahaja.
Jika begitu kedudukannya, masa depan Najb tidak boleh diselamatkan lagi.
Ahli dan perwakilan UMNO akan menolaknya dengan cara yang lebih kejam
daripada yang dialami oleh Pak Lah.
Sehingga ini pun, sudah banyak kedengaran suara di peringkat akar umbi
yang tidak puas hati dengan Najib, terutamanya berkaitan amalan
berbelanja mewah, boros serta hobi bergaya mahal yang melibatkan
anak-anak dan isteri kesayangannya Rosmah Mansor.
Ramai yang bersungut dengan perbuatan itu kerana sementara ahli dan
pemimpin peringkat akar umbi sering diminta berusaha menarik sokongan
rakyat tetapi perbuatan yang dilakukan oleh Rosmah dan anak-anaknya
jelas menyebabkan rakyat semakin menjauhi UMNO dan BN. Kontradiksi ini
menyebabkan jika keadaan memerlukan, Najib pasti akan disingkirkan
kerana antara punca sebenarnya penolakan rakyat adalah kelemahan Najib
sendiri dalam mengawal perilaku ahli keluarganya.
Oleh sebab itu, andainya UMNO dan BN terus menang dalam piliharaya akan
datang tetapi dengan majoriti yang lebih kecil atau gagal mendapat
majoriti dua pertiga, Najib sebenarnya mempunyai lebih banyak alasan
untuk dipaksa berundur.
Najib memang menyedari hakikat itu. Ia kini diperkatakan di mana-mana.
Nama Muhyiddin juga sudah semakin kerap disebut-sebut. Perbandingan
watak Najib dengan Muhyiddin juga mulai diperkatakan. Perwatakan isteri
kedua-duanya juga sedang diperbualkan. Dan kesimpulan daripada semua
itu, keadaan yang sedang berlaku sama-sekali tidak memihak kepada Najib.
Najib kini sedang menggunakan usaha terakhirnya untuk menyelamatkan diri
dan masa depan politiknya iaitu memujuk dan merayu. Rakyat dan ahli
UMNO akan terus dipujuk dan dirayu untuk memberinya peluang sepenggal
lagi sebagai Perdana Menteri.
Rakyat dan ahli UMNO mungkin akan mendengar pelbagai kata-kata mendayu
dan menusuk kalbu lagi selepas ini daripada Najib. Inilah usaha
terakhirnya untuk menyelamatkan diri. (SH 23/09/2012)
bukan kat ucapan dia je dia merayu.... kat TV lagi lah banyak rayuan dia... naik menyampah tengok.... asal ada ruang je dia punya iklan.... BOSAN.
ReplyDelete