Projek memburuk-burukkan pembangkang dengan jutawan George Soros --
seperti yang dilaporkan meluas oleh media sekarang -- telah dirancang
oleh sebuah jabatan khas Kementerian Penerangan, Komunikasi dan
Kebudayaan sejak pertengahan tahun ini.
Melalui sebuah buku tebal Panduan Penjelasan Isu Semasa
terbitan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Ketua Umum PKR Awar Ibrahim
didakwa mendapat dana spekulator mata wang dunia itu bagi menghadapi
pilihan raya umum.
Dengan menonjolkan beliau sebagai ejen Yahudi
Zionis, Soros melalui Institut Masyarakat Terbuka (OSI) didakwa
mendanai Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) yang disertai Anwar.
"... Anwar merupakan antara ahli majlis eksekutif ICG ... sebahagian
besar (pemimpin) dalam ICG adalah berbangsa Yahudi," buku setebal 322
halaman itu dipetik.
"Soros mengkritik tindakan kerajaan Malaysia dan membela Anwar semasa beliau didakwa atas (tuduhan) salah guna kuasa."
Hubungan Soros-Anwar ini dimuatkan dalam bab "Kumpulan Krisis
Antarabangsa (ICG) dan hubungan Zionis", satu daripada 22 bab yang
disusun bagi menjawab isu dan program yang dibangkitkan oleh Pakatan
Rakyat sehingga Jun lalu.
Bagi menggambarkan perhimpunan "BERSIH
3.0 itu kotor" pula, Anwar didakwa memulakan huru-hara pada 28 April
lalu dan beliau sendiri disokong oleh ahli parlimen Australia yang
pro-hubungan seks sejenis.
Isu-isu lain yang dimuatkan di
bahagian ini termasuklah kontroversi Pusat Fidlot Nasional, himpunan
BERSIH 3.0, pemerolehan Scorpene, loji pemprosesan nadir bumi Lynas,
program Buku Jingga, kematian Teoh Beng Hock, durian runtuh Felda dan
penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGV), tuntutan pelobi
pendidikan Cina Dong Zong dan kritikan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR).
Buku yang ditulis dalam bentuk soal jawab ringkas ini turut memberikan perhatian khusus kepada Kelantan dan Sabah.
Isu-isu utama berkaitan negeri pimpinan PAS itu dimuatkan dalam tiga
bab khas: tuntutan royalti petroleum, pencemaran air paip dan projek
ladang rakyat.
Tiga bab lagi ditujukan bagi menjawab isu di Sabah: kebanjiran pendatang asing, tanah adat dan kempen "Sabah for Sabahans".
Bagaimanapun bab terakhir "tuduhan pembunuhan Altantuya (Shaariibuu)"
tidak memakai format soal jawab atau penjelasan lengkap seperti bab-bab
lain.
Ia hanya memuatkan sepenuhnya sumpah Perdana Menteri Najib
Abdul Razak sewaktu menafikan pembabitannya dengan wanita Mongolia itu
bersempena kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 2008.
Sementara 22 bab lagi disusun bagi menjelaskan dasar-dasar kerajaan dan senarai program yang dimajukannya.
Dibahagikan kepada tiga, bahagian pertama 'dasar-dasar negara'
dimulakan dengan bab-bab berikut: Wawasan 2020, gagasan 1Malaysia,
Rancangan Malaysia ke-10 dan program transformasi kerajaan (GTP).
Ia juga menjelaskan tentang Bajet 2012, skim Bantuan Rakyat 1Malaysia
(BR1M), kempen kerajaan mengurangkan rasuah dan kadar jenayah serta
langkah mengawal kenaikan harga dan program meningkatkan taraf hidup
rakyat berpendapatan rendah.
Satu halaman diperuntukkan untuk
menyenaraikan 20 tokoh paling kaya di Malaysia dengan kesimpulan: " ...
orang Melayu hanya tiga orang (15 peratus) manakala Cina 16 orang (80
peratus) dan India seorang (5 peratus)."
Ia juga memuatkan
statistik-statistik lain yang menunjukkan kemunduran Melayu dalam bidang
ikhtisas (profesional), pemilikan ekuiti dan premis perniagaan.
Bab-bab ini diikuti dengan program memajukan bumiputera seperti Teraju sebelum melakarkan "kejayaan negara" di mata dunia.
Malaysia digambarkan aman makmur walaupun penduduknya berbilang-bilang
kaum dan agama; tidak seperti hura-hara yang dialami dalam krisis Asia
Barat beberapa bulan kebelakangan.
Buku panduan berbahasa Melayu
ini disediakan sebagai rujukan pegawai kempen Jasa -- satu daripada
beberapa badan utama gerak saraf kerajaan -- dan ia dibuka dengan
petikan kata-kata Najib.
"Kebebasan bersuara yang dijamin dalam
Perlembagaan Persekutuan tidak sesekali bermaksud sebagai kewenangan hak
kepada mana-mana pihak untuk membuat fitnah dan menghasut api
kebencian."
Dalam kata pengantarnya, ketua pengarah JASA, yang
juga pemimpin lama Umno, Fuad Hassan berkata buku ini disediakan bagi
menjawab sebaran maklumat pantas melalui media Internet.
Pada
Mac lalu, menteri penerangan, komunikasi dan kebudayaan Rais Yatim
dilaporkan berkata sebanyak 50,000 naskhah akan dicetak, termasuk untuk
rujukan orang awam di luar bandar.
Selain JASA, menurut beliau
lagi, agensi-agensi yang merujuk buku panduan itu termasuklah Jabatan
Penerangan, agensi berita rasmi Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Satu salinan buku ini diperolehi oleh Malaysiakini bulan lalu sewaktu menghadiri siri penjelasan JASA di Kuala Lumpur berhubung bantahan pindaan Seksyen 114A Akta Keterangan.
Edisi digital buku ini boleh juga diperolehi di laman web rasmi Jasa.
Walaupun bahan-bahan ini disediakan di antara selepas perhimpunan
BERSIH pada hujung April lalu dan menjelang penyenaraian FGV akhir Jun,
tidak dapat dipastikan bila ia mula dicetak dan diedarkan.
No comments:
Post a Comment