Jika Muhyiddin Yassin mula mendapat perhatian yang semakin meluas sebagai
sosok yang dilihat lebih sesuai menggantikan Najib yang penuh dengan
segala macam masalah selepas piihanraya umum akan datang, nama Zahid
Hamidi turut meniti di bibir majoriti ahli dan perwakilan UMNO sebagai
tokoh yang paling mantap untuk bergandingan dengan Muhyiddin.
Tidak dapat dinafikan pilihanraya yang mesti diadakan sebelum April 2013 ini adalah
penentuan hidup dan mati karier politik Najib. Kalah atau gagal mendapat
majoriti dua pertiga, Najib pasti dihumban ke lembah persaraan. Hanya
kejayaan mendapat majoriti lebih dua pertiga saja yang mampu memberikan
talian hayat bagi bernafas lebih lama di Seri Perdana.
Sementara PR makin bertambah keyakinan disebalik pelbagai isu yang kini
hampir semuanya menjadikan UMNO dan BN semakin lemah, di dalam UMNO
sendiri Najib juga mula menghadapi bibit-bibit persaingan daripada
timbalannya, Muhyiddin.
Muhyiddin kini seakan memulakan apa yang dipanggil "constructive
critism" iaitu memberi komen seakan-akan bersetuju dengan sesuatu isu
yang dibangkitkan Najib tetapi sebenarnya memberi tekanan dalam masa
yang sama.
Contoh yang jelas ialah cadangan Muhyiddin agar BR1M diteruskan sebagai
program yang berpanjangan atas alasan ia mampu melonjakkan kuasa beli
rakyat sedangkan Najib pula hanya mahu menjadikan BR1M sebagai "umpan
politik" bagi menghadapi pilihanraya ini sahaja. Sementara Muhyiddin
mahukan ia diteruskan, Najib pula sehingga ini masih berdiam diri dan
tidak berani bersuara sama ada BR1M masih ada atau tidak pada tahun
hadapan jika BN terus berkuasa.
BR1M yang bernilai RM500 saja sudah memakan belanja lebih RM3 billion
setahun, dan dengan Najib mewujudkan juga BR1M untuk orang bujang
bernilai RM250, baucer buku kepada pelajar universiti sebanyak RM250 dan
bantuan RM100 kepada pelajar sekolah, jumlah wang tunai yang diperlukan
Najib sebagai "umpan politik" sebenarnya amatlah besar. Ditambah
dengan suasana ekonomi yang tidak berapa baik sekarang, pendekatan
membeli sokongan ini dilihat banyak pihak seperti mahu memufliskan
negara.
Cadangan Muhyiddin agar BR1M diteruskan lagi jelas mahu memberi tekanan
kepada Najib tetapi dalam masa yang sama pendekatan itu cuba memihak
kepada rakyat dalam jangka panjang berbanding Najib yang hanya mahu
berjangka pendek.
Selain itu, Muhyiddin juga berbeza pendapat dengan Najib mengenai
1Malaysia. Najib gah menggambarkan dirinya dengan slogan 1Malaysia
tetapi Muhyiddin tetap meletakkan dirinya Sebagai orang Melayu melebihi
sebagai rakyat Malaysia.
Mengekalkan jati dirinya sebagai lebih Melayu berbanding Najib dalam
kemelut politik yang getir sekarang jelas menggambarkan bahawa Muhyiddin
tidak mahu tergelincir daripada sokongan fundamental dalam UMNO itu
sendiri.
Dengan mengekalkan jiwa Melayunya, Muhyiddin tahu kelebihan akan memihak
kepadanya jika keputusan kurang daripada 140 kerusi Parlimen yang mampu
digapai oleh BN dalam pilihanraya akan datang.
Dalam konteks yang sama, seiring dengan melonjaknya nama Muhyiddin, nama
Zahid Hamidi kelihatan lebih ke depan berbanding dua lagi Naib Presiden
UMNO iaitu Hishammuddin Tun Hussein dan Shafie Afdal untuk menjadi
pemimpin utama UMNO.
Jika BN sekadar menang dengan majoriti tipis dan Muhyiddin didesak untuk
mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan sebagaimana yang pernah
berlaku kepada Pak Lah dulu, tidak syak lagi Zahid adalah gandingan yang
sesuai bersama-sama dengan Muhyiddin untuk memulihkan kembali kekuatan
UMNO.
Dengan pengalaman, rekod baik, peribadi serta rangkaian sokongan yang
luas di dalam dan di luar UMNO, Zahid jauh lebih diyakini berbanding
pesaing terdekatnya, Hishammuddin.
Sebagaimana Najib sering digambarkan sebagai PM paling lemah,
Hishammuddin juga digambarkan sebagai Menteri Dalam Negeri paling tidak
berwibawa sejak merdeka. Wibawanya berbanding dengan Tun Dr Ismail,
Ghazali Shafie dan Musa Hitam yang pernah menjadi Menteri Dalam Negeri
sebelum ini sering dijadikan perbandingan.
Kegagalan beliau menanganai isu perhimpunan Bersih dengan bijaksana,
menyatakan tindakan merampas kamera wartawan sebagai mematuhi SOP polis
tetapi kemudiannya dibantah oleh Ketua Polis Negara sendiri dan
kenyataan yang seperti tidak memberi jaminan terhadap keselamatan rakyat
dalam isu bas jelajah Anwar disimbah cat merah, jelas menggambarkan
beliau tidak mempunyai pengetahuan yang secukupnya mengenai bidang tugas
kementeriannya sendiri.
Keyakinan terhadap Hishammuddin bukan saja merudum di mata rakyat,
malahan juga terjejas teruk di kalangan ahli dan perwakilan UMNO
sendiri. Di laman sosial Facebook dan Twitter, beliau banyak dicemuh
oleh ahli UMNO sendiri ketika isu Bersih dulu.
Beliau mungkin hanya selamat jika Najib terus menang dengan cemerlang
tetapi dengan kemungkinan BN hampir mustahil mencapai kejayaan lebih
baik daripada 2008, dengan sendirinya kedudukan Hishammuddin juga
bagaikan telur di hujung tanduk.
Jika UMNO dan BN kalah pula, nasib Zahid Zahidi mungkin lebih menyerlah.
Selain kedudukannya tetap terjamin untuk bergandingan dengan Muhyiddin
bagi memulihkan UMNO, Zahid juga mungkin didesak untuk terus menerajui
UMNO bagi menghadapi piliharaya yang seterusnya. Ini kerana dengan
tumbangnya kerajaan Pusat ketika itu, ia juga mungkin dilihat sebagai
kegagalan gandingan Najib dan Muhyiddin dan ia menjadikan alasan terbaik
untuk menyingkirkan kedua-duanya sekali.
Dan kiranya BN terus kekal memerintah melebihi majoriti dua pertiga
serta Najib pula kekal sebagai Presiden UMNO dan PM, Zahid Hamidi juga
dilihat mungkin mencabar kedudukan nombor dua dalam UMNO bagi
menempatkan dirinya mengempuki kerusi Timbalan Perdana Menteri yang kini
diduduki oleh Muhyiddin.
Sama ada Zahid akan mencabar kedudukan Muhyiddin atau menjadikan
persaingan nanti kepada tiga penjuru dengan penyertaan Hishammuddin
dalam perebutan kerusi Timbalan Presiden UMNO itu, ramai yang percaya
Zahid akan mempunyai kelebihan dalam persaingan itu nanti.
Selain wataknya yang disenangi, mudah didekati, berpengalaman, rekod
baik dan peribadi yang meyakinkan, Zahid juga mempunyai rangkaian yang
luas dalam UMNO yang dikenali sebagai Grup Sahabat. Grup ini wujud
secara semulajadi bermula ketika Zahid menjadi Ketua Penerangan Pemuda
UMNO dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Grup ini dianggotai oleh kalangan
yang pernah menjadi Ketua Pemuda Bahagian atau perwakilan UMNO ketika
Zahid memegang kedua-dua jawatan tersebut.
Dengan Zahid kini menjadi Naib Presiden UMNO dan Menteri Pertahanan,
rangkaian grup ini menjadi semakin luas dan berkembang. Pertemuan,
perbincangan tidak rasmi, sembang kedai kopi dan majlis-majlis sosial
juga kerap mempertemuan mereka ini daripada seluruh negara.
Jamuan hari raya yang diadakan Zahid Hamidi yang mengundang limpahan
hadirin setiap tahun adalah salah satu ukuran yang boleh dilihat untuk
untuk menilai sokongan terhadapnya melalui kewujudan Grup Sahabat itu.
Selain itu, dengan kejayaan Angkatan Tentera Malaysia melangkah ke final
Piala Malaysia setelah 49 tahun menanti juga sedikit-sebanyak
melonjakkan lagi rating Zahid di mata umum.
Hakikatnya, berbanding Najib yang hampir pasti akan "tenggelam" selepas
pilihanraya akan datang dan Muhyiddin yang "entahkan hidup entahkan
mati" serta Hishammuddin pula tidak pasti antara "timbul dan tenggelam",
Zahid sebaliknya mempunyai cahaya yang lebih terang di hujung terowong
perjalanan karier politiknya. ( SH 16/10/2012)
No comments:
Post a Comment