Isu perkahwinan anak lelaki Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam yang
dihadiri oleh 130 ribu orang tetamu dan dicatatkan dalam Malaysia Book
of Records(MBOR) sebagai majlis perkahwinan terbesar dan dihadiri oleh
paling ramai tetamu, kini menjadi bualan di mana-mana dan oleh sesiapa
saja.
Sebelum ini pelbagai pihak mendesak Ali Rustam menjelaskan kos dan
perbelanjaan majlis itu. Ini berikutan andaian jika kos jamuannya
sebanyak RM10 pun seorang untuk 130 ribu tetamu, ia sudah mencecah RM1.3
juta. Itu belum lagi termasuk kos-kos lain seperti dewan, hiasan,
pelamin, bunga telur dan sebagainya.
Jika kos jamuan tetamu meningkat kepada RM20 atau RM30 seorang, kosnya
tentulah berlipat kali ganda lagi. Dalam pada itu, dilaporkan juga
bahawa selepas ini beliau juga akan mengadakan satu lagi majlis di hotel
lima bintang di Kuala Lumpur untuk tetamu VIP yang tentunya menelan
belanja ratusan ribu ringgit lagi.
Semua orang memperkatakannya. Dari mana beliau mendapat duit sebanyak
itu. Daripada soal perbelanjaan, tajaan dan kemewahan majlis itu,
semuanya dipertikaikan. Meskipun Ali dilaporkan berkata, kos majlis itu
hanya sekitar RM600 ribu sahaja di mana beliau mengupah 30 orang chef
untuk menyediakan hidangan nasi beriani campur sementara ada pegawai di
pejabat Ketua Menteri pula mengatakan, majlis itu melibatkan tajaan dan
sumbangan sukarewan percuma pelbagai pihak, apa yang bermain di fikiran
ramai orang ialah "gila" apakah yang sudah menyampuk Ketua Menteri itu
sehingga menjemput sebegitu ramai tetamu dan membenarkan pula urusetia
MBOR hadir serta menyampaikan sijil pengiktirafan berkenaan majlis
perkahwinan anak lelakinya itu.
Sebagai Ketua Menteri yang memegang "kunci harta karun" kerajaan
Melaka, sebenarnya tidaklah memeranjatkan sangat tentang kos jamuan
sebesar itu. Beliau tentulah tahu bersilat untuk mendapatkan
perbelanjaan mengadakan majlis seperti itu.
Jika majlis itu melibatkan tajaan pula, ia juga bukanlah memeranjatkan.
Tentulah berebut ahli perniagaan dan golongan kapitalis yang ingin
bersikap murah hati terhadap beliau dengan menghulurkan tajaan dan
sumbangan. Ia boleh jadi disumbangkan oleh ahli perniagaan yang sudah
mendapatkan pertolongan beliau ataupun daripada ahli perniagaan yant
mahu menabur budi dengan harapan mendapat balasan di kemudian hari.
Apa yang mungkin memeranjatkan ialah bagaimana Ali Rustam sebagai ahli
politik berpengalaman tergamak mengadakan majlis semeriah itu dalam
suasana politik seperti sekarang ini. Kedudukan BN masih lagi tidak
menentu, entahkan menang, entahkan kalah. Najib juga tidak diketahui
sama ada kekal lagi sebagai PM atau tidak selepas pilihanraya nanti.
Mengadakan majlis semeriah 130 ribu tetamu dan meminta pula pihak pihak
MBOR mengiktiraf majlis itu sebagai yang terbesar dan dihadiri paling
ramai tetamu, tentulah menambahkan lagi hodohnya wajah UMNO di mata
umum. Ali Rustam seperti melonggokkan lagi calitan hitam ke wajah Najib
dan UMNO itu sendiri.
Meskipun keupayaan Ali mengadakan majlis itu boleh difahami kerana
kedudukannya sebagai pemegang kunci harta karun kerajaan Melaka tetapi
ia tetap dilihat menjengkelkan di mata rakyat. Rakyat akan melihat Ali
sebagai pemimpin yang suka bermewah dan menunjuk-nunjuk. Dakwaan
terhadap amalan rasuah dan membolot kekayaan juga tentunya sukar
dielakkan.
Di zaman BN tidak stabil ini, tentulah lebih elok jika seorang pemimpin
itu bersikap sederhana serta berpada-pada dalam kehidupan sehariannya.
Sikap berlagak dan menunjuk-nunjuk hanya menambah kebencian dan
mengurangkan undi.
Tetapi jika dihalusi gelora politik Melaka, majlis meriah Ali Rustam itu
sebenarnya mungkin untuk menyampaikan sesuatu mesej kepada Najib. Ali
Rustam sudah tiga penggal menjadi Ketua Menteri dan khabar angin sedang
bertiup kencang bahawa kedudukannya bakal diganti dengan tokoh lain.
Antara nama yang bakal disebut menggantikan Ali sebagai Ketua Menteri
Melaka ialah Idris Harun, Ahli MT UMNO dan Ahli Parlimen Tangga Batu
serta Ahmad Hamzah, menantu Allahyarham Tun Ghafar yang kini merupakan
Ahli Parlimen Jasin.
Ali Rustam dikhabarkan akan dbawa bertanding Parlimen dan akan dijadikan timbalan menteri semula.
Beliau yang sebelum ini sudah pernah menjadi Timbalan Menteri
Pengangkutan dikhabarkan mahu terus kekal sebagai Ketua Menteri
sekurang-kurangnya untuk sepenggal lagi. Menjadi timbalan menteri semula
hanyalah ibarat turun pangkat bagi Ali Rustam.
Lagi pula menjadi Ketua Menteri bukan saja lebih glamour tetapi kuasa
juga menjadi lebih besar berbanding sekadar menjadi timbalan menteri.
Inilah yang menjadikan beliau mahu terus kekal sebagai CEO Melaka.
Jika senario ini dapat difahami, tindakan Ali Rustam mengadakan malis
yang dianggap terbesar, bukan saja di Melaka tetapi juga di Malaysia itu
adalah semata-mata untuk memberitahu Najib dan pucuk pimpinan UMNO
bahawa beliau masih diterima dengan cukup baik oleh rakyat Melaka.
Beliau mungkin malu untuk berterus-terang kepada Najib untuk meminta
dikekalkan lagi jawatannya dan kebetulan anaknya pula mahu berkahwin,
maka kesempatan itu digunakan sebagai serampang dua mata.
Dengan mampu menggamit kehadiran 130 ribu tetapu, Ali Rustam bukan saja
ingin memberitahu tentang hebatnya beliau di Melaka, bahkan di Malaysia
juga. Oleh kerana rumah terbuka Najib di Putrajaya hanya dihadiri 100
ribu orang dan rumah terbukanya di Pekan, Pahang pula hanya dihadiri 50
ribu tetamu, dengan kehadiran 130 ribu tetamu itu, Ali juga ingin
memaklumkan beliau lebih hebat dari Najib sendiri.
Rumah terbuka Muhyiddin di Pagoh pula hanya dihadiri 10 ribu tetamu.
Mana-mana majlis jamuan oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri yang lain
juga sebelum ini, tidak pernah kehadiran dicatatkan melebihi 50 ribu
orang.
Dalam hal ini, Ali Rustam bukan saja dilihat lebih hebat sokongannya dan
lebih disukai berbanding Najib, bahkan juga melebihi mana-mana Ketua
Menteri dan Menteri Besar yang lain.
Maka itu, mesej Ali Rustam kepada Najib sebenarnya ialah "tolonglah
kekalkan saya sebagai Ketua Menteri sekurang-kurangnya sepenggal lagi."
(SH 03/10/2012)
No comments:
Post a Comment