KUALA LUMPUR 7 Oktober: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak wajib hadir memberi
keterangan dalam perbicaraan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di
mahkamah.
Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh berkata, kedua-duanya, termasuk
Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak boleh memberi alasan untuk lari
daripada undang-undang.
Beliau mengulas keterangan bekas menteri pengangkutan, Tun Dr Ling
Liong Sik bahawa ketiga-tiga mereka mempunyai kepentingan peribadi dalam
projek itu.
Namun, Fuziah tidak menolak kemungkinan mereka memilih untuk berdiam diri dan tidak hadir dalam perbicaraan.
“Kita perlu ingat ketika kes Fitnah 1 pada tahun 1998, Mahathir juga
disapina oleh peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim namun beliau tidak hadir.
“Mahathir manusia yang kebal dari undang-undang, malah beliau
mengatasi undang-undang yang ada dan kesinambungan kekuasaan mutlak itu
diteruskan Najib.
“Jadi saya tidak terkejut jika mereka memilih untuk tidak hadir,” katanya.
Akhbar Sinar Harian semalam melaporkan 3 Perdana Menteri iaitu Tun Dr
Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Razak dan Tun Abdullah Ahmad Badawi
akan disapina untuk memberi keterangan dalam perbicaraan skandal PKFZ
membabitkan mantan Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik.
Dr Ling didakwa atas satu tuduhan utama dan satu tuduhan pilihan
menipu kerajaan Malaysia dengan mengelirukan Jemaah Menteri untuk
memberi persetujuan terhadap pembelian tanah di Pulau Indah, Pelabuhan
Klang.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu antara 25 September 2002 dan 6
November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana
Putra di Putrajaya.
Mengikut pertuduhan utama, Dr Ling didakwa menipu kabinet untuk
mempersetujui pembelian tanah mengikut terma-terma yang dipersetujui
antara Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan lembaga Pelabuhan Klang (LPK).SK
No comments:
Post a Comment