Terkini dari sumber-sumber rapat- Najib tidak berani menghadap Agong mohon bubar parlimen kerana maklumat risikan menunjukkan bahawa BN akan kalah bukan seperti digembar-gemburkan kerana Najib tunggu dapat majoriti 2/3 kerusi.Admin
Memang segalanya serba tidak menjadi. Banyak strategi BN menikam diri
sendiri. Ada saja yang tidak kena kepada Umno-BN. Lupa sekejap masalah
lembu Shahrizat Jalil, timbul pula pelbagai isu berkaitan projek
kerajaan yang dibolot anak-anak menteri dan duta khas bertaraf menteri.
Skandal
kes Scorpene dan pembunuhan Altantuya muncul semula, dengan paparan
cerita yang lebih panas dan menggemparkan. Naib Presiden PAS, Mahfuz
Omar mengacah Jamil Khir Baharom isu pemindahan wang Tabung Haji, lebih
RM300,000, ke dalam akaun Ketua Pegawai Eksekutifnya.
Reda
sebentar kontroversi "wanita pertama" Rosmah Mansor, dengan segala
cincin, beg tangan dan gaya hidup mewah (strategis kempen BN sendiri
minta media mengendurkan kisahnya), meletup pula gosip tentang bakal
menantu dan besan Perdana Menteri.
Rakyat juga masih
terngiang-ngiang pendedahan pemandu peribadi seorang artis, yang
dikaitkan dengan skandal seorang menteri kanan, yang juga Naib Presiden
Umno. Pembekuan pinjaman PTPTN kepada Unisel membongkar mentaliti
bebalisme pemimpin Umno bertaraf menteri sehinggalah Timbalan Perdana
Menteri sendiri.
Dalam masa sama, di samping rantaian cerita
sensasi yang tidak berkesudahan itu, isu-isu yang lebih melibatkan
kepentingan ramai seperti penggadaian aset orang Melayu dalam Felda
melalui FGVH makin menjauhkan Umno daripada penyokong tradisinya selama
ini.
Sewaktu Najib Razak rimas dengan pelbagai faktor tolakan
kepada Umno, saingan paling digeruninya, PAS pula semakin mendapat
tempat dalam masyarakat Melayu.
Hampir semua penganalisis
bersepakat bahawa pengundi Melayu menjadi rebutan sengit parti-parti
yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, khususnya Umno dan PAS,
sementara masyarakat Tionghua terus diyakini bakal memberikan sokongan
lebih besar kepada Pakatan Rakyat.
Secara tiba-tiba, golongan
artis yang menghiasi dunia hiburan tanahair berduyun-duyun mendekati
PAS. Bermula seorang dua selibriti terkemuka, kini senarainya bertambah
panjang dan lebih membanggakan ia bermula dengan kesedaran untuk
menghayati Islam sebagai satu cara hidup.
Ya, sejak mengikuti
perkembangan PAS sejak akhir 1970-an, saya tidak pernah menjangkakan
Parti Islam ini akan mendapat sokongan hebat daripada masyarakat bukan
Islam dan juga kelompok artis; mutakhir ini ia menjadi satu fenomena!
Tidak
terhenti setakat itu, PAS juga menerima penyertaan bekas
pegawai-pegawai kanan kerajaan, daripada Ketua Setiausaha Kementerian
Tanah dan Koperasi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan terbaru,
Timbalan Menteri Pelajaran dari Sarawak.
Daripada demonstrasi
Bersih 3.0 dan Himpunan Hijau ke Putrajaya di Stadium Darul Aman, Alor
Setar, saya saksikan gelombang kesedaran politik anak-anak muda begitu
luar biasa.
Minggu lepas, semasa menghampiri lokasi Himpunan
10,000 Pesawah di Masjid Tinggi, Bagan Serai, Perak, saya lihat konvoi
anak-anak muda bermotosikal, yang menunggu kehadiran Tok Guru Nik Abd
Aziz, cukup bersemangat sekali, dengan jumlah yang begitu ramai. Wajah
mereka memancarkan keyakinan tinggi untuk melakukan perubahan besar
dalam PRU13.
Khamis lalu, semasa menziarahinya, Timbalan
Mursyidul Am PAS, Dr Haron Din menceritakan, dalam perjalanan pulang ke
tanahair selepas menjalani pembedahan jantung di California, Amerika
Syarikat, beliau secara kebetulan, bertemu ahli-ahli sukan negara di
Dubai, dari kalangan anak-anak muda, yang begitu teruja dan gembira
dapat bersua muka dengannya.
Sementara itu, dilaporkan, selepas
Najib cuba memperagakan diri dengan pelbagai bentuk transformasi (yang
sebahagian besarnya langsung tidak dipedulikan rakyat, malah oleh
ahli-ahli Umno sendiri), popularitinya terus merosot. Harus diingat,
sebelum PRU12, populariti Abdullah Ahmad Badawi berada pada tahap lebih
tinggi berbanding Najib sekarang.
Bermacam-macam insentif one-off
dicurahkan, sehingga Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pun mungkin akan
diberikan untuk pusingan kedua, namun reaksi rakyat terus membimbangkan
Najib. Bajet 2012 mungkin gula-gula terakhir sebelum membuka gelanggang
tempur PRU13.
Saya selalu membayangkan situasi paling buruk
bakal dihadapi pembangkang, berdasarkan kemungkinan pelbagai taktik dan
strategi jahat Umno-BN dalam pilihan raya, namun kali ini, saya lebih
yakin dengan potensi Pakatan.
Jika dapat dielak melakukan
kesilapan dan menghindari kealpaan, serta tidak memecahkan benteng
kekuatan sendiri, laluan ke Putrajaya sukar disekat lagi, insya-Allah.Ahmad Lutfi