Thursday, January 17, 2013

BERI IC PADA WARGA ASING!!! Gantung tugas Timbalan Pengerusi SPR

Angkatan Muda KEADILAN Malaysia (AMK) memandang serius akan pendedahan dua orang saksi yang memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan pemberian kewarganegaraan untuk jadi pengundi di Sabah.

Kedua-dua saksi yang merupakan bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negeri Sabah mendedahkan bagaimana wujud campur tangan langsung melibatkan tokoh-tokoh Umno termasuklah Tun Dr Mahathir Mohamad serta Tan Sri Abd Aziz Shamsuddin dan Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob.

Modus operandi yang dilaksanakan ialah dengan memproses kad pengenalan biru kepada pendatang asing bagi membolehkan mereka mengundi selaku ‘pengundi berdaftar’.

Beban pembuktian paling besar kini berada di tangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). 


Isu pengundi hantu merupakan isu yang secara konsisten diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat di dalam kempen saban waktu. Dan dalam setiap keadaan juga, SPR konsisten mempertahankan bahawa tidak ada pengundi hantu di dalam sistem pilihanraya Malaysia usai 55 tahun kemerdekaan.

Pendedahan di dalam Suruhanjaya Di Raja ini membuktikan secara jelas bahawa Projek IC yang didakwa sebelum ini ternyata wujud. 

Terdahulu pada tahun lepas tersebar luas pendedahan oleh seorang bekas staf Jabatan Pendaftaran Negara yang juga merupakan tahanan ISA, Yakub Damsah mengenai Ops Gembleng yang dilaksanakan untuk memastikan pertambahan pengundi melalui pemberian Kad Pengenalan Biru kepada warga asing untuk memastikan Barisan Nasional menang dalam PRU 1995.

AMK mencabar SPR untuk menyatakan pendirian mengenai pendedahan ini. Apakah selama ini SPR benar-benar melaksanakan tugas dengan amanah dan integriti yang tinggi ataupun sebenarnya menjadi pencacai Umno-BN selaku ‘jentera kemenangan pilihanraya’ Umno-BN?

Pendedahan ini tentunya menimbulkan keraguan mengenai tahap sebenar ketelusan sistem pilihanraya negara ini, kerana berdasarkan pendedahan ini, wujud kebarangkalian bahawa tindakan serupa juga akan terus dilakukan oleh Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, yang dibabitkan secara langsung di dalam projek IC ini apatah lagi kini beliau menjawat jawatan Timbalan Pengerusi SPR.

Maka AMK mendesak Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar digantung tugasnya serta merta demi menjaga nama baik SPR dan menghalang krisis kepercayaan terhadap badan itu, sehingga siasatan selesai dijalankan oleh Suruhanjaya DiRaja.

AMK Malaysia juga mendesak sekiranya tuduhan ini tidak benar, maka Datuk Wan Ahmad Wan Omar harus dengan segera menafikan dakwaan ini dan bertanggungjawab serta berani untuk berhadapan dengan rakyat yang inginkan penjelasan, bukannya mengelak dan berselindung di sebalik alasan prosiding Suruhanjaya DiRaja masih berjalan.

Penelitian yang dibuat di laman sesawang www.spr.gov.my juga memaparkan bahawa antara jawatan yang pernah disandang oleh Datuk Wira Wan Ahmad ialah sebagai Penasihat Politik Kedutaan Malaysia di Filipina pada sekitar tahun 80an dan kemudiannya pada ketika Ops Durian Buruk dijalankan beliau menjawat jawatan sebagai Setiausaha Bahagian (Keselamatan dan Politik) Jabatan Perdana Menteri. 

Tentunya jawatan-jawatan yang pernah disandang oleh beliau memungkin secara kuat bahawa keterlibatan beliau tidak boleh disangkal lagi.

Pendedahan ini, jelas terbukti masa depan Malaysia makin tergadai di tangan pendatang asing dek keserakahan nafsu dan tamak kuasa pimpinan Umno untuk terus membolot kekayaan negara, khususnya negeri Sabah.

Rakyat Sabah khasnya dan rakyat Malaysia khususnya harus membuka mata dengan pendedahan ini, dan kembalikan kemerdekaan negara ke tangan rakyat.

Masa untuk Umno ‘menjajah’ Malaysia perlu dihentikan segera.

Ketua AMK
Shamsul Iskandar Mohd Akin

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=43443

2 comments:

  1. Cepat cepat francis terbaru.baru saja lulus.Boleh dapat banyak untung.KEDAI JUAL IC 1 MALAYSIA KAH KAH KAH.kursus disediakan.Deposit tak payah under table mesti ada. Pengerusi mamak lakhanatullah. Bantuan akan diberi terutamanya yang hendak membuka cawangan diluar negara cepat cepat sapa dulu dia dapat.tawaran tidak akan ditutup sehingga hancur negara

    ReplyDelete
  2. Molek gantung tugas dulu. Sprm kena siasat. Jangan wat senyap je. Mane AG.. Ape citer ni... Sendiri mau ingat... Pru 13 Rakyat jadi penentu. Hidup Pakatan Rakyat... Kih.kih.kih...

    ReplyDelete