BERA 8 Feb: 40 peneroka Felda termasuk Ketua Cawangan dan Ketua Pemuda
Umno Triang 1, Bera keluar parti ekoran tidak puas hati dengan
penyenaraian Felda Global Ventures Berhad (FGVH).
Kecewa
dengan penipuan Felda, kumpulan itu menganggotai KEADILAN dalam majlis
penubuhan Ranting Felda Triang 1, dekat sini, malam tadi sempena
kemasukan mereka.
Borang keahlian diserahkan kepada Ketua Cabang Bera, Abas Awang.
Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said
berkata, peneroka terbabit yang juga ahli Umno kecewa ditipu janji manis
Felda berhubung FGVH.
“Banyak perkara peneroka tak setuju, antaranya FGVH. Sebelum ini Felda
menjanjikan kekayaaan dan kesenangan kepada peneroka tetapi apa yang
mereka dapat hanya bebanan hutang,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Suhaimi, antara punca lain mendorong peneroka kawasan tersebut
menyertai KEADILAN kerana pemimpin Umno peringkat pusat dan bahagian
Bera tidak bersunguh-sungguh peduli nasib peneroka.
“Kelmarin, peneroka Felda Triang 2 berdemo tak puas hati dengan gaji
yang mereka terima. Sebelum ini mereka tak kisah mengenai kebajikan
kerja tetapi sejak tanah mereka digadai kepada FGVH, mereka rasa
teraniaya, lebih-lebih lagi bila KWSP dan Socso tidak disedia,” jelas
Suhaimi.
Suhaimi yakin dengan perkembangan ini, peluang kemenangan cerah di
Triang 1 dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayam dalam pilihan raya umum
nanti.
“Harapan cerah untuk menang. Kita sebelum ini meramalkan peluang 50-50
tetapi dengan kesedaran yang kian meningkat, kita yakin pengundi semakin
berpihak kepada Pakatan Rakyat,” katanya.
“Ini hanya permulaan, ramai lagi yang akan menyertai kita (KEADILAN) selepas ini,” tambah Suhaimi.
“Pada 17 Februari, dua lagi Ranting akan dirasmikan di Kampung Kuala
Tahan, dalam DUN Tahan. Dijangka 200 kemasukan ahli baru di sana,”
jelasnya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=44616
No comments:
Post a Comment