Selepas senyap lebih dua bulan sejak kalah dalam pilihanraya lalu,
Presiden Perkasa, Ibrahim Ali membuatkan kemunculannya di persada media
baru-baru ini menjadi perhatian umum semula.
Selain meluahkan rasa
kecewanya atas layanan UMNO terhadap Perkasa selama ini sambil
membandingkannya dengan layanan yang diberi terhadap Dong Ziong, Hindraf
dan paderi-paderi Kristian, Ibrahim Ali juga mengecam beberapa
pendekatakan Najib yang dianggapnya retorik.
Dalam masa yang sama, Ibrahim Ali juga meluahkan kesusahan hidupnya
untuk menyara keluarga sehingga membayangkan akan menjadi pemandu teksi
selepas ini.
Dengan membawa Perkasa memperjuangkan banyak kepentingan politik Najib
dan UMNO, kekecewaaan Ibrahim Ali tidak sukar difahami.
Sementara
Perkasa tidak mendapat apa-apa, bahkan sebagai calon pilihanraya pun
diabaikan dan mujur Mahathir muncul menghulurkan pertolongan di saat
akhir, beliau sebaliknya mendapati NGO yang memperjuangkan hak kaum
India iaitu Hindraf lebih diberikan kasih sayang oleh Najib dengan
pemimpinnya diberikan jawatan timbalan menteri pula.
Begitu juga Najib sedia hadir ke majlis anjuran Dong Ziong dan menjemput
paderi-paderi Kristian ke pejabatnya mengadakan perbincangan. Tetapi
Perkasa tidak pernah diberikan layanan sebegitu rupa.
Perkasa tak ubah
seperti "hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong" dengan UMNO.
Mujurlah ada Mahathir yang banyak memberi sokongan kepadanya.
Jika tanpa Mahathir, Perkasa mungkin umpama anak tiri yang hitam legam dimata Najib dan UMNO. Langsung tidak dipedulikan.
Selain mendapati pemimpin Hindraf diberikan jawatan timbalan menteri,
kemunculan semula Ibrahim Ali mengecam Najib dan mahu menjadi pemandu
teksi juga hampir serentak dengan musim pemimpin-pemimpin UMNO yang lain
menerima habuan durian runtuh melalui pelbagai jawatan dalam GLC dan
agensi kerajaan.
Antaranya ialah Dr Latif sebagai Pengerusi SPNB, Azeez Rahim Pengerusi
Tabung Haji, Annuar Musa Pengerusi MARA, Ghani Othman Pengerusi Sime
Darby serta Rais Yatim dilantik Presiden UIA.
Beberapa pemimpin lain
juga dikhabarkan akan menerima khabar bakal dilantik sebagai Pengerusi
atau Ahli Lembaga Pengarah GLC yang lain dan berita mengenainya akan
menyusul satu demi satu tidak lama lagi.
Di celah-celah semua perlantikan itu, rupa-rupanya ada lagi berita yang
mengejutkan. Rais Yatim yang telah dijadikan Presiden UIA, dalam masa
yang saman turut juga dilantik sebagai penasihat kerajaan dalam hal
ehwal sosial dan kebudayaan yang bertaraf menteri.
Seolah-olah kewujudan
pelbagai kementerian tidak memadai sehingga Najib perlu diberikan
nasihat khusus oleh Rais Yatim mengenai aspek sosial dan budaya.
Ini bermakna Rais Yatim yang sudah berkhidmat dalam kerajaan sejak era
Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, mendapat ganjaran berganda di zaman
Najib, disebalik penggugurannya daripada bertanding di Jelebu dalam
pilihanraya lalu.
Perlantikan Rais sebagai sebagai penasihat yang bertaraf menteri juga
bermakna bertambah seorang lagi penasihat Najib.
Jika sebelum ini beliau
sudah ada penasihat yang juga bertaraf menteri dalam bidang agama iaitu
Abdullah Mohd Zain, Jamaluddin Jarjis pula sebagai penasihat khas
mengenai Anerika Syarikat dan penasihat lain seperti Alies Nor, Omar Ong
dalam politik dan puluhan nama lain dalam bidang media dan sebagainya,
perlantikan Rais Yatim ini jika dicampur dengan pegawai khas,
Setiausaha Politik dan seumpamanya yang sedia ada di JPM, ia mungkin
menjadikan Najib sebagai Perdana Menteri yang paling ramai penasihatnya.
Bahkan sudah menjadi percakapan umum dalam UMNO bahawa beberapa Ahli
Parlimen dan bekas menteri lagi akan dilantik sebagai penasihat kerajaan
yang juga bertaraf menteri juga tidak lama lagi.
Jika dilihat daripada keghairahan Najib mahu mengagih dan memfaraidkan
jawatan dalam kerajaan lebih kepada kawan-kawan dan kenalan rapatnya,
tidak mustahil Ibrahim Ali akan tercicir sekali lagi.
Ibrahim Ali
mungkin merasakan beliau juga layak difaraidkan jawatan atau kedudukan
berikutan sokongan dan perjuangannya mempertahankan Najib dan UMNO
selama ini walaupun beliau bukan ahli UMNO.
Berbanding mereka yang sudah diberikan jawatan itu, Ibrahim Ali mungkin
merasakan beliau tidak jauh bezanya, malah kadangkala lebih ke depan dan
lantang dalam membela Najib dan UMNO. Jika dibandingkan dengan Dr Latif
atau Rais misalnya, suara Ibrahim jauh lebih kuat dan nyaring membela
UMNO atau menempelak Anwar Ibrahim.
Begitu juga jika dibandingkan dengan
Azeez Rahim, Ibrahim Ali juga tidak kurang sumbangannya kepada
masyarakat. Bahkan jika Azeez Rahim kerap mencium tangan Rosmah Mansor,
Ibrahim Ali juga tidak lupa berbuat demikian setiap kali bersalam dengan
isteri Perdana Menteri itu.
Kalau Hindraf boleh diberikan jawatan timbalan menteri, apa pula
istimewanya Rais Yatim sampai diberikan dua jawatan sekaligus? Begitu
juga dengan nama-nama lain yang sudah dan bakal diberikan jawatan oleh
Najib yang kini mulai menjadi percakapan ramai.
Barangkali kemunculan
semula Ibrahim Ali dengan gaya gempaknya baru-baru ini sekadar mahu
mengingatkan Najib tentang dirinya yang selalu dianak-tirikan.
Sekali-sekal jadikanlah "anak manja" pula, kalau pun tidak mungkin
dijadikan "anak emas". (SH 07/07/2013)
Dah diberi 2 kerusi parlimen siap dengan pewarna makanan dalam PRU13 pun tak puas hati lagi? Sekarang siapa tak kenang siapa agaknya.
ReplyDeleteSaya setuju. Dato Ibrahim Ali sepatutnya diberi jawatan yang sesuai untuk beliau dan Perkasa "contribute to nation building". Agak2nya UMNO perlu tak Perkasa dalam PRU14?
ReplyDeleteBrehim Ali tak tahu rupanya bahawa dalam politik yang ada politik....kenang2 budi ni tak main la...adios Brehim...
ReplyDelete