MENJELANG pemilihan pimpinan PAS hujung tahun ini ternyata dua jawatan utama mulai menjadi perhatian umum iaitu Presiden dan Timbalan.
Media baik tradisional dan konvesional khususnya akhbar cetak mahupun
media baru iaitu laman sosial mula merenung pemilihan itu sebagai lazim
yang masing-masing perhatikan bagi setiap pertandingan baik dalam
negeri mahupun luar.
Pertandingan Presiden Amerika
Syarikat atau pemilihan pimpinan Parti Konservatif Britain tidak kena
mengena dengan kita, tetapi media kita ikut menyuluh perkara itu lama
sebelum pemilihan itu.
Tujuannya apa? Ialah untuk menyuluh masa depan
negara tersebut dan parti tersebut tentang semua kemungkinannya.
Maka kita wajar mengambl sikap terbuka jika media umum secara terbuka
membuat ramalan dan dugaan tentang pemilihan pimpinan PAS itu.
Kebebasan dan demokrasi itu tidak wajar disekat jika ada yang menyebut
Ustaz Abdul Hadi Awang mesti dikekalkan sebagai Presiden atau Mohamad
Sabu sebagai Timbalan Presiden mesti dicabar.
Apa pun Harakah
sebagai suara rasmi PAS, tidak punya kebebasan seperti lain media untuk
membuat sebarang unjuran kerana ia akhbar parti. Akhbar parti milik
semua ahli parti, ia tidak wajar mencadangkan orang itu mesti diganti
dan sebagainya.
Parti itu milik semua ahlinya. Maka ia tidak
boleh nyatakan satu sikap yang tidak disetujui oleh yang lain. Hal yang
tidak disetujui oleh semua biarlah dimainkan oleh orang lain.
Penglibatan media parti dalam hal yang demikian boleh mendorong
kecenderungan lobi melobi dan suatu budaya yang tidak menjadi amalan
PAS.
Jika sesama ahli PAS dan individu pimpinannya menyatakan
pandangan Presiden perlu dikekal atau digantikan dan demikian juga
Timbalan Presiden, dengan tidak menggunakan ruang Harakah, sekadar
menyatakan pandangannya kepada umum, maka terpulanglah kepada budi
bicara dan kebijaksaan masing-masing asal saja ia tidak memaksa dan
mempengaruhi ahli lain menerima pandangannya.
Seperti contoh,
Mursyidul Am, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat diberitakan berkata, Ustaz
Abdul Hadi perlu dikekalkan sebagai Presiden.
Ia adalah satu pandangan
umum, boleh jadi nasihat atau sekadar menyatakan pandangan bahawa itu
yang terbaik untuk parti.
Jika PAS Kelantan menyokongnya, bahawa itu
adalah kerana mereka mempu-nyai pandangan yang sama, tetapi PAS Kelantan
tidak dipaksa untuk menerima nasihatnya.
Saya pula sebagai ahli
biasa belum ada kuasa untuk mengundi boleh berkata, Ustaz Abdul Hadi
boleh dicabar. Mungkin ramai yang bersetuju dengan saya.
Tetapi
siapa pula yang sedia mencabarnya?
Mungkin ada yang lebih berupaya atau
setanding dengannya, tetapi masa ini kita tidak nampak ada orang
dicalon-kan selain daripadanya dan adakah orang yang sedia dicalokan?
Selagi kita tidak nampak calon yang boleh dan sedia diketengahkan, maka tidak berbangkit soal Presiden yang ada digantikan.
Ketika PAS dipimpin oleh Allahyarham Haji Yusof Rawa, kita dapat
sekurang-kurang tiga ulama yang dibariskan boleh menggantikannya iaitu
Allahyarham Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Abdul Hadi dan Ustaz Nik Abdul
Aziz. Keupayaan masing-masing tidak diragui.
Tetapi tidaklah kerana keupayaan mereka lebih, maka Haji Yusof perlu digantikan.
Tetapi kerana kesihatan dan keupayaannya meneruskan agak terbatas, maka
ada keperluan menggantikannya. Bahkan beliau sendiri merasa beliau
perlu digantikan masa itu, maka beliau merestuai beliau digantikan.
Parti pun tidak pertikai kesediaan Haji Yusof Rawa berundur kerana
menahannya daripada berundur, bererti menderanya dan penggantinya pula
tidak dipertikai oleh semua.
Dalam suasana pengganti itu tidak
jelas, kalaupun ada, belum tentu disepakati oleh semua seperti masa
Ustaz Fadzil menggantikan Haji Yusof, maka bercakap bagi menggantikan
Ustaz Abdul Hadi bukan suatu yang sesuai.
Saya tidak boleh halang
orang mencabarnya, tapi saya tidak menganjur beliau jangan dicabar,
tetapi saya rasa kita belum ada calon yang bersedia. Saya tidak suruh
orang sokong saya, tetapi kalau ada yang setuju dengan saya itu bukan
saya pengaruhi mereka. Mereka sendirilah yang bertindak begitu.
Adapun keadaan Mohamad Sabu berbeza. Pertama calon yang sedarjat
dengannya ramai. Jika diajukan dia sedia berundur, maka ramai yang
bersedia menawarkan diri jika menawar diri itu suatu budaya yang sihat
dan dikira bijak.
Ketika dia terpilih ke jawatannya, tidaklah
terserlah sebagai calon yang paling berwibawa. Beberapa tokoh penting
dicalonkan untuk mengganti penyandang jawatan yang dirasakan terhad
keupayaan pimpinannya tidak berjaya. Bukan keupayaan mereka terhad
tetapi mereka calon tidak boleh menang.
Mohamad Sabu adalah yang
boleh menang. Saya tidak bercadang mempengaruhi sesiapa mengekalkan
beliau atau menggantinya dengan orang lain. Gunakan kebijaksanaan
masing- masing apa yang perlu ditentukan.
Saya kira Mohamad Sabu
telah menjalankan khidmatnya dengan baik. Tidak apa yang patut ditakwil
tentang keupayaannya menjadi Timbalan Presiden selama ini.
Saya rasa
itulah jawatan paling tinggi yang sesuai untuknya. Se-perti yang Dr
Mahathir Mohamad fikir, bukan semua Timbalan Perdana Menteri di bawahnya
layak menggantikannya sebagai Perdana Menteri.
Musa Hitam,
Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim layak jadi TPM saja, tidak untuk jadi PM.
Hanya TPM seperti Abdullah Ahmad Badawi layak jadi PM. Maka itulah
kedudukan yang ramai kira tentang Mat Sabu.
Jika Mat Sabu sekadar jadi
Timbalan Presiden selama-lama tidak ada yang akan ada pandangan kedua
tentang kedudukannya pada jawatan.
Dia boleh kekal jadi Timbalan Presiden asal Presiden orang lain. Datang Presiden baru, dia Timbalan Presiden juga.
Tetapi sebagai Timbalan Presiden, Mat Sabu tidak semesti kekal sebagai
orang nombor dua saja. Dia bila-bila masa jadi orang nombor satu sama
ada suka atau tidak suka jika sesuatu berlaku pada Presiden.
Seperti yang terjadi pada Allahyarham Dato’ Asri Muda. Sekalipun masa
itu orang PAS tidak bercakap tentang kepimpinan ulama, tetapi PAS sudah
mengamalkan konsep kepimpinan ulama. Dua jawatan utama PAS masa itu
ulama iaitu Dr Burhanudin al-Hilmy sebagai Presiden dan Prof Zulkifli
Muhammad sebagai Timbalan Presiden.
Asri yang bukan ulama duduk
di tempat ketiga sebagai Naib Yang Dipertua Agung. Belum tentu parti
mudah terima beliau se-bagai Presiden jika dia pertanding jawatan itu
sebelum dia menjadi pemangku Presiden.
Kerana kedua-dua pimpinan
ulama di atasnya ditakdirkan mati semasa memegang jawatan, maka orang
yang ketika memangku jawatan nombor satu. Dalam masyarakat yang ada
sopan santun, sukarlah mereka menghalang pemangku Presiden daripada
menjadi Presiden. Apabila Asri jadi Presiden, berlaku isu PAS tidak
dipimpin oleh ulama.
Mat Sabu akan jadi Presiden dalam suasana
macam ini. Kepimpinan ulama dalam PAS diandaikan akan payah kalau Mat
Sabu jadi Presiden. Akan timbul pula isu kepimpinan ulama itu tidak
semestinya Presiden dan Timbalan Presidennya ulama, memadai konsep itu
dengan adanya Majlis Syura.
Akan ada pula yang kata, ia mesti berpresidenkan ulama juga. Banyak pula masa berpolemik atas suasana seperti itu.
Kerana ada ahli PAS yang bersikap begitu, maka timbullah pandangan
bahawa Mat Sabu patut dicabar oleh ulama juga. Tetapi kalau Mat Sabu
berpendirian, sebagai Timbalan Presiden, dia tidak bercadang untuk
memangku jawatan Presiden kiranya berlaku kekosongan, tapi sedia
menyokong manamana tokoh ulama untuk menjadi pemangku Presiden dan dia
kekal sebagai Timbalan.
Ingat, pandangan saya ini sekadar satu
analisis, bukan untuk melobi perwakilan mengapa orang itu patut jadi
Presiden dan mengapa yang lain tidak atau mengapa orang itu mesti
diganti dan orang lain tidak. Biarlah kerja itu dibuat oleh media yang
hen-dakkan PAS bergelombang.
Subky Latif
No comments:
Post a Comment